Konsistensi, dedikasi, keazaman, fokus dan keinginan untuk menang. Representatif sebahagian superstruktur elemen yang menyokong konstruksi empayar Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
    Dari segi kontekstual, hipotetikal eksistensi elemen tersebut telah membentuk imuniti lantas menjadikan JDT kekal dinamik mencetak berjilid monograf kejayaan, tambahan koleksi kejuaraan serta mengekstrapolasi sejarah-sejarah baharu.
    ‘UNBEATEN’ KALI KETIGA MELENGKAPKAN KEJUARAAN LIGA SUPER MALAYSIA KALI KESEMBILAN HARIMAU SELATAN
    Interpretasi muncul sebagai juara 2022 sebenarnya sudah terlihat sejak dari awal lagi. Imbas kembali, pada hari Sabtu, 26 Februari 2022, JDT memulakan langkah kanan pada musim 2022 apabila menamatkan cabaran Kuala Lumpur City 3-0 di Stadium Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri lantas memonopoli kejuaraan Piala Sumbangsih selama lima tahun berturut-turut sejak tahun 2018 sehingga kini. Keputusan itu juga membawa kepada jaringan terbesar pernah dihasilkan oleh JDT sepanjang 7 kali menjulang Piala Sumbangsih.
    Lebih kurang 6 hari selepas itu, JDT telah memulakan kempen Kejohanan Liga Super Malaysia 2022 dengan melayan kunjungan kelab ‘Penang Panthers’ Penang FC pada 4 Mac 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Rentak kemenangan Harimau Selatan diteruskan apabila berjaya menundukkan Penang FC 1-0. Jaringan Bergson da Silva pada minit ke-70’ menjadi mukadimah interpolasi persaingan Liga Super Malaysia musim 2022 ini.
    Ketika kompetisi Liga Super Malaysia 2022 berehat seketika selepas aksi LS16, Skuad Harimau Selatan telah meraih trofi kedua musim 2022 dan ke-20 secara keseluruhan selepas dinobatkan sebagai juara edisi ke-32 Piala FA musim 2022 menerusi kemenangan 3-1 ke atas Terengganu FC dalam aksi final di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada hari Sabtu, 10 September 2022.
    Selepas itu, tanpa terbuai dengan kejayaan, mata demi mata berjaya dikutip secara konsisten. Kemuncaknya pada aksi LS18 ketika mencatatkan kemenangan besar keatas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, JDT telah sah ditabalkan selaku juara Liga Super Malaysia edisi ke-19.
    Pada 15 Oktober 2022 dalam aksi terakhir LS22 Liga Super Malaysia, JDT telah mencatat kemenangan 3-0 menentang Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim. Paling menarik, jaringan akrobatik Bergson da Silva pada minit ke-55’ telah menoktahkan kempen Liga Super 2022.
    Secara rasminya, selain dimahkotakan sebagai juara bertahan 9 musim berturut-turut sejak musim 2014, JDT unggul mencatat rekod tanpa sebarang kekalahan buat kali ketiga selepas melakukannya pada musim 2016 dan 2020.
    ‘A NIGHT OF JOHOR CHAMPIONS’, DIRAIKAN ATAS PENTAS KEJUARAAN YANG SAMA
    Ganjaran yang amat berbaloi! Masih terbayang di mata, cahaya bintang piroteknik meletus menerangi rona awan hitam, gimik ekstravaganza ‘Augmented Reality’ yang memukau dan persembahan sofistikated pancaran Laser yang penuh elemen futuristik ketika meraikan kejayaan Harimau Selatan menakhluk Liga Super Malaysia buat kali ke-9 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
    Sambutan kejuaraan Liga Super Malaysia kali ke-9 berturut-turut JDT kali ini juga disambut amat berbeza dari sambutan-sambutan sebelumnya. Pada musim 2022, partisipasi 11 trofi yang dimenangi JDT dari peringkat Akademi JDT sehingga ke Skuad Senior telah diletakkan di atas pentas kejuaraan yang sama.
    Tidak stagnasi di situ, sambutan tersebut turut meraikan kejayaan kontinjen Negeri Johor yang menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) buat kali pertama sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1986, kejayaan Pasukan Hoki Ais JDT yang menjuarai Weekend Warriors Ice Hockey League, kejayaan Pasukan Johor Jewels muncul sebagai kuasa baharu arena bola jaring apabila menjulang kejuaraan Sooka Netball Super League (NSL) 2022, kejayaan Johor Tigris mencipta sejarah tersendiri apabila membawa pulang trofi Liga Sepak Takraw (STL) Champion Cup dan kejayaan Johor Rugby menjuarai Harps MR Championship 2022.
    Akhir kata, perjuangan Harimau Selatan dalam mencapai kejayaan adalah proses yang tidak pernah berakhir. Sejarah baharu perlu sentiasa dilakar dan dikecapi dalam setiap lapisan generasi.
    Berjumpa kembali di Persaingan Piala Malaysia 2022. Luaskan Kuasamu Johor!