Melintasi ruang masa musim 2022. Satu persatu cabaran dan rintangan telah ditempuhi. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melalui perlawanan ke-16 serta kekal mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2022 sejak Jun 2022. Setakat ini, Harimau Selatan berkelebihan enam mata berbanding pasukan pesaing yang menduduki tangga kedua liga Sabah FC.
MENGEKALKAN REKOD TANPA KALAH, LIGA SUPER MALAYSIA 2022 BERBAKI 6 PERLAWANAN
JDT masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan Liga Super Malaysia sejak 14 September 2021. Verifikasi catatan maraton 28 perlawanan tanpa tewas, seluruh pasukan formalistik mengekalkan reputasi dan superioriti. Mentaliti, prinsip, disiplin yang tinggi serta terpuji juga telah berjaya ditunjukkan oleh pemain-pemain JDT. Rasionalnya berpandukan konstruksi elemen tersebut akhirnya berjaya menjadikan JDT kekal superlatif.
Dalam situasi terkini, JDT bakal berhadapan dengan 6 lagi perlawanan Liga Super Malaysia 2022 yang berbaki iaitu LS18 PJ City FC (15 September 2022), LS19 Negeri Sembilan FC (1 Oktober 2022), LS10 KDA FC (4 Oktober 2022), LS20 Sri Pahang FC (7 Oktober 2022), LS21 KDA FC (11 Oktober 2022) dan menutup tirai persaingan musim ini dengan bertemu Sabah FC (15 Oktober 2022).
JDT II BERADA DI PUNCAK CARTA LIGA PREMIER 2022, PERLAWANAN TERAKHIR MENJADI PENENTU
Skuad JDT ll yang bersaing di Liga Premier 2022 dilihat berada dalam intensiti tepat di kedudukan superior carta liga ketika ini. Dengan keputusan 12 menang, 3 seri dan 2 kekalahan, 39 mata terkumulatif sepanjang 17 perlawanan yang telah berlangsung. Bukan itu sahaja, JDT II juga muncul sebagai pasukan paling banyak menghasilkan jaringan dengan mengumpul 37 gol setakat ini.
Kemenangan 3-0 keatas Terengganu FC II pada 4 September 2022 di Stadium MPPG, Pasir Gudang telah berjaya menjarakkan kedudukan dengan pencabar terdekat Kelantan FC.
Perlawanan LP18 bertemu Selangor FC 2 di Stadium UiTM, Shah Alam pada Ahad, 30 September 2022 merupakan perlawanan terakhir Liga Premier 2022 dan bakal menjadi penentu apabila skuad bimbingan Mariano Echeverría hanya memerlukan keputusan seri untuk menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam sejarah moden skuad Liga Premier Harimau Selatan.
HATRIK KALI KEEMPAT BERGSON SEPANJANG MENYARUNG JERSI JDT
Pada musim 2022, Bergson Da Silva masih gah berketerampilan sebagai mesin gol buat Harimau Selatan. Sofistikasi mengadaptasi falsafah kelab telah diterjemahkan dengan menghasilkan 21 gol dalam 14 perlawanan Liga Super Malaysia 2022. Bukan itu sahaja, ketika menewaskan Melaka United 4-0 pada 29 Ogos 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, beliau telah menghasilkan jaringan hatrik peribadi buat kali keempat sejak menyarung jersi kebanggaan ini pada musim 2021.
Imbas kembali, pada musim 2021 pemain prolifik berusia 30 tahun itu pada mulanya hadir sebagai pemain pinjaman sebelum ditandatangani secara tetap pada 20 Mei 2021. Untuk rekod, beliau telah menjaringkan 30 gol sepanjang 32 penampilan bersama JDT pada musim 2021 lantas diangkat sebagai penerima anugerah Kasut Emas di Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2021.
48 GOL TERHASIL DI STADIUM SULTAN IBRAHIM DALAM KEJOHANAN LIGA DOMESTIK MUSIM INI
Sepanjang bulan Ogos 2022, Harimau Selatan telah menghadapi 3 perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim termasuk satu perlawanan peringkat Separuh akhir Piala FA 2022. Namun bermula dari perlawanan tertunda LS16, JDT akan berterusan beraksi di gelanggang lawan sehingga tamat bulan September ini.
Mengimbas kembali memorabilia indah di dalam kejohanan Liga Super Malaysia musim ini, Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi total 29 gol yang terhasil dari 8 perlawanan. Satu peningkatan memberangsangkan berbanding musim 2021 apabila 26 gol terhasil dalam 11 perlawanan secara keseluruhan. Tidak stagnasi rekod di saingan Liga Super Malaysia, Harimau Selatan telah menghasilkan 19 gol di Stadium Sultan Ibrahim ketika menghadapi Kompetisi Piala FA 2022.
Para penyokong Harimau Selatan juga dihidangkan dengan pesta gol di stadium ikonik tersebut antaranya kemenangan 6-0 ke atas Sarawak United pada 9 Mac 2022, 5-1 keatas Selangor FC pada 24 Jun 2022 dan 5-0 keatas Kuala Lumpur City pada 1 Ogos 2022. Di pentas Piala FA 2022 pula, JDT mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas wakil Liga M3, BRM FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac 2022 serta membelasah Penang FC dengan jaringan 6-1 di peringkat separuh akhir Piala FA 2022 pada 5 Ogos 2022.
Akhir kata, beberapa hari lagi sahaja akan berlangsungnya penentuan kejuaraan Piala FA 2022 antara JDT dan Terengganu FC. Ironinya penyokong Harimau Selatan pastinya tidak sabar menanti detik tersebut berikutan kali terakhir JDT beraksi di perlawanan akhir Piala FA adalah pada musim 2016. Bukan sekadar retorik, satu fenomena luar biasa pasti akan tercipta oleh generasi penyokong terbaik Harimau Selatan ini kelak.
Dengan semangat, percaya, dan diiringi dengan doa, segala impian pasti dapat direalisasi. Maka, nyalakan obor semangat, cambahkan rasa percaya dan jangan berhenti berdoa Keluarga JDT!
Semoga kejayaan milik kita!