“Dikesempatan ini saya juga berjanji kepada anda semua iaitu saya akan buat apa sahaja untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak Johor”- 4 September 2012, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

    Tidak pernah jemu untuk diceritakan. Selamanya alegori ini menjadi ingatan. Pada malam bertuah yang membuka lembaran. Bilamana riba Bangsa Johor bakal ditimpa sang rembulan.

    Empat September dua ribu dua belas menghidupkan ambisi yang dahulu mati. Konsekuensi satu antidot disuntik agar merah dan biru berseri kembali.

    “Kurnia terhebat Putera Mahkota”

    Waktu itu, jam menunjukkan pukul sepuluh lima puluh minit malam. Pertama kali intonasi suara seorang Putera Mahkota bergema didalam stadium berlampu limpah suram dan hampir
    padam. Bagai memecah segala aura negatif yang telah lama bersarang dan terkumulatif. Maka janji itu sah terpatri diatas paksi stadium yang serba kekurangan dan amat daif.

    Saya antara orang yang amat beruntung. Dapat mendengar dan menyaksikan secara langsung. Meraikan janji Tunku di stadium yang hampir kosong. Secara tidak sedar, air mata mengiringi sokongan yang hampir-hampir mahu terpesong.

    Sesiapa sahaja yang ada pada malam itu, apabila mendengar serta melihat gerak laku dan apa yang disampaikan oleh Tunku. Pasti jiwa mereka akan terbit gabung jalin sebuah semangat yang baharu. Sesungguhnya itulah kelebihan Tunku yang tidak boleh disangkal. Kredibiliti luar biasa yang begitu pesona dan amat integral.

    “Operasional korektif organisasi”

    Jengking sah ditamatkan khidmat. Giliran Harimau Selatan mengambil tempat. Organisasi bola sepak Negeri Johor total Tunku ambil alih. Baginda fokus pada reformasi pengurusan supaya beralih. Rombak barisan parasit yang ada dalam organisasi. Bersihkan segala kotornya debu yang telah berasimilasi. Setiap kulat yang kuat mencengkam melekat. Tunku racun satu persatu biar terencat!

    Pesimistik dan reaksionis yang regresif ditendang keluar supaya tidak terus menjadi barah, lalu organisasi bola sepak Negeri Johor dijenamakan semula dalam usaha gerak kerja untuk mencetak sejarah. Konseptual, idea, strategi, prosedur kerja, teori dan hipotesis satu-satu Tunku atur secara sistematik. Di peringkat ini JDT mula bersedia untuk bangkit dan memandang kehadapan tanpa fatalistik. JDT mula menampakkan ciri-ciri kuasa bola sepak baharu yang dominan dan eksklusif. Maka Harimau Selatan mula dihurung oleh hati-hati yang cemburu dan juga posesif.

    “Jurnal Kontigensi Merah Biru”

    Malangnya, tahun dua ribu tiga belas menyaksikan JDT gagal mendakap sebarang kejuaraan. Sehingga menjadi bahan karikatural makanan ruji dalam menjalani kehidupan seharian. Namun Tunku positif bahawa ini hanyalah satu tahun latihan pemanas badan. Bilamana tahun berikutnya JDT pasti akan menamatkan kemarau ketandusan kejayaaan!

    “Saya berjanji akan sentiasa bekerja keras untuk memantapkan lagi pasukan Johor dan memperbaiki sistem dan projek bolasepak Johor secara keseluruhan. Ini baru tahun pertama kita, dan kita harus berasa bangga atas percapaian kita pada musim ini”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

    Tunku memiliki pemikiran projektif yang berkeupayaan berfikir perkara yang akan berlaku dan kontigensi. Segala yang baginda ucapkan seperti satu prediksi yang bakal terjadi umpama hipotetis pintas teleportasi. Dua ribu empat belas menyaksikan segalanya berjalan seperti dirancang. Pada tahun itu JDT menjuarai Liga Super Malaysia satu Malaya jadi goyang. Tanggal dua puluh lima Jun dua ribu empat belas akan sentiasa menjadi memorabilia. Apabila Stadium Negeri di Kuching menjadi saksi bagaimana kita semua merasakan nikmatnya dimasyurkan buat julung kalinya sebagai juara liga super Malaysia!

    Dengan mengutip empat puluh mata dan layak ke piala AFC 2015 buat kali pertama. Dalam diam, Tunku bangkit bina JDT menjadi kelab yang unggul konstruktif prestij berjenama.

    “Literal Kuratif dan Introspeksi ”

    “Hari ini saya akan lakukan apa yang lain tidak mahu lakukan dan esok saya akan mencapai apa yang lain tidak mampu capai”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

    Masa pantas berlalu, kini bola sepak Johor telah mengalami anjakan paradigma secara drastik dan progresif. Kita dapat melihat sepanjang tahun dua ribu tiga belas sehingga dua ribu sembilan belas bagaimana visi direncana cantik dan superlatif.

    Rasionalnya, walaupun martabat bola sepak Negeri Johor berjaya dijulang. Tunku tetap sama, tidak mahu langsung bersenang-lenang. Masih lagi seorang yang sentiasa mahu menaiktaraf kemajuan dari hari ke hari. Masih lagi seorang yang tidak mudah bersenang hati dengan kejayaan yang dikecapi. Tunku sentiasa berusaha memperbaiki lagi apa yang sudah baik. Malah sentiasa optimis mencari idea-idea baharu supaya JDT tampil paling terbaik. Maka tidak menghairankan, sehingga kini JDT sentiasa berada di depan. Di situasi mereka malas berkayuh maka perahu hanyut di lautan.

    Baginda sentiasa berfikir tentang hala tuju JDT di masa hadapan. Bagaimana mahu menjana lebih banyak kejayaan, bagaimana mahu mengekalkan keseimbangan pengurusan kewangan, apa perkara yang mesti didahulukan, apa perkara yang boleh dikemudiankan. Ini adalah antara soalan-soalan yang sentiasa ada di dalam kitaran pusingan fikiran.

    Akhir kalam, empat September menjadi saksi, sebuah janji yang berjaya direalisasi.

    “Kami adalah pelakar sejarah. Kami adalah peneraju. Kami adalah JDT!”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.

    Artistik dari Manusia Satu Denyut,

    Terimalah,

    “ATRIBUT EMPAT SEPTEMBER DUA RIBU DUA BELAS”

    Congak corak taktikal bergerak,
    Nampak tegak rentak bergolak,
    Gempur tempur jangan tersungkur,
    Merah tak kabur biru tak luntur.

    Merah itu darahmu, Biru itu nyawamu.

    Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
    Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.