Masa hampir tiba. Debaran semakin terasa. Keterujaan menjadi begitu luar biasa. Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi cabaran Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di kompetisi liga bola sepak paling elit di Asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024 edisi ke-42 akan bermula. Naib juara liga utama Jepun (J1 League) musim 2023 Kawasaki Frontale akan menjadi lawan pertama JDT dalam Kumpulan I pada Selasa, 19 September 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Selepas mengharungi perlawanan pembuka tirai kelak, JDT akan turun menentang BG Phantum United pada 3 Oktober 2023 di Stadium BG, Thailand, Ulsan Hyundai FC pada 24 Oktober 2023 di Stadium Ulsan Munsu, Republik Korea dan seterusnya mengharungi pusingan kedua peringkat kumpulan I dengan bertemu kembali Ulsan Hyundai FC pada 7 November 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Kawasaki Frontale pada 28 November 2023 di Stadium Kawasaki Todoroki, Jepun dan menutup aksi Kumpulan I di Stadium Sultan Ibrahim dengan pertemuan BG Phantum United pada 12 Disember 2023.

    Antara pemain-pemain yang bakal menjadi tumpuan dalam kumpulan ini antaranya pemain bintang yang terkenal dengan keraian gol “The Black Panther” yang ikonik Bafétimbi Gomis (Kawasaki Frontale), penjaring terbanyak KLeague 1 2023 setakat ini Min-Kyu Joo (Ulsan Hyundai) serta pemain Asean yang pernah memecahkan rekod perpindahan domestik tertinggi J.League musim 2022 ketika menyertai Kawasaki Frontale iaitu Chanathip Songkrasin (BG Phantum).

    INTROSPEKSI MEMORABILIA INDAH HARIMAU SELATAN 2019 SEHINGGA 2021

    Naratif perjalanan JDT dalam cabaran Liga Juara-Juara AFC (ACL) sejak debut pertama JDT pada musim 2019 sehingga musim 2022 amat menarik. Bermula dari sekecil impian bercambah menjadi besar, lalu perlahan-lahan bangkit untuk berdiri sama tinggi bersama kelab-kelab terkemuka di pentas Asia.

    Menyelongkar semula nostalgia serta retrospeksi penyertaan JDT buat julung kalinya pada musim 2019, tarikh 8 Mei 2019 menjadi antara pencapaian terbaik Harimau Selatan rentetan berjaya membuat kejutan terhebat menundukkan juara bertahan Liga Juara-Juara Asia (ACL) ketika itu, Kashima Antlers 1-0 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Kemenangan pada aksi kelima Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019 itu juga merupakan kemenangan pertama JDT dalam saingan berprestij tersebut.

    Masih segar dalam ingatan, pada 3 Mac 2020 berlangsungnya perlawanan kedua JDT dalam persaingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020. Ketika itu, JDT turun menentang juara Piala FA Republik Korea, Suwon Samsung Bluewings. Keseluruhan pemain Harimau Selatan mempamerkan aksi luar biasa seterusnya mencetus keajaiban dengan membenam kelab gergasi liga utama Republik Korea (KLeague 1) itu 2-1 pada aksi Kumpulan G di Stadium Sultan Ibrahim.

    Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2021 yang berlangsung pada 22 Jun hingga 7 Julai 2021 juga penuh warna warni, kita dapat menyaksikan bagaimana impian Safiq Rahim untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) menjadi kenyataan, debut gemilang pemain termuda JDT beraksi di kejohanan tertinggi Asia iaitu Arif Aiman ketika berdepan Nagoya Grampus serta Muhd Ramadhan Saifullah Usman mencatat sejarah menjadi pemain paling muda menjaringkan gol untuk Harimau Selatan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) juga ketika bertemu Nagoya Grampus.

    LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2022, ANJAKAN REPUTASI HARIMAU SELATAN

    Musim demi musim berlalu, JDT mempamerkan peningkatan drastik dalam kejohanan berkelas tinggi ini. Pada musim 2022, satu lagi sejarah telah tercipta. JDT melangkah ke pusingan pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41 menerusi kemaraan epik dan dramatik. 13 mata yang terkumpul secara keseluruhan menyaksikan JDT mengetepikan cabaran tiga kelab terkemuka Asia iaitu Ulsan Hyundai FC, Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC untuk ditabalkan sebagai Juara Kumpulan I lantas merekodkan pencapaian paling gemilang sepanjang empat penampilan di kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL).

    Walaubagaimanapun pada tanggal 19 Ogos 2022, langkah Harimau Selatan terhenti di peringkat pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022. JDT tewas kepada kelab gergasi Jepun dan juga merupakan juara musim tersebut iaitu Urawa Red Diamonds di venue berpusat, Stadium Saitama, Bandar Saitama, Jepun.

    Akhir kata, semua impian akan menjadi kenyataan jika kita memiliki keberanian untuk mengejarnya! Sesungguhnya tiada lautan dapat diseberangi jika tiada keberanian melupakan pantai.

    19 September 2023, ayuh penyokong Harimau Selatan! Kita penuhkan setiap ruang stadium kebanggaan!

    Luaskan Kuasamu Johor!