Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sedang giat membuat persediaan rapi menghadapi musim panjang Liga Malaysia 2024-25 dan Kejohanan edisi pertama di bawah penjenamaan baharu kejohanan bola sepak kelab utama Asia iaitu Liga Juara-Juara AFC Elit 2024–25 (ACLE).

    Dari segi kontekstual, pelan kontingensi baharu yang dirangka bermula dari latihan pramusim dan seterusnya kempen pramusim di Sepanyol merupakan mekanisme terbaik kepada keseluruhan pemain untuk menyesuaikan diri dengan dinamik sosial serta piawaian organisasi menjelang musim baharu kelak.

    PRAMUSIM MENJANA KEYAKINAN MENJELANG MUSIM BAHARU BUAT JDT

    Pramusim adalah waktu paling ideal bagi pemain Harimau Selatan memupuk kesefahaman serta memulihkan kembali kecergasan, fisiologi dan psikologi setelah berehat terlalu panjang sejak aksi penutup tirai Liga Super Malaysia musim 2023 pada 16 Disember 2023.

    Tidak seperti kelaziman seperti tahun-tahun yang lepas apabila sesi latihan bermula seawal bulan Januari, sesi latihan intensif pramusim 2024-25 JDT hanya dimulakan secara rasmi sekitar 14 Februari 2024 di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam. Rekrut luar negara terbaharu JDT seperti Murilo Henrique, Nicolao Dumitru Cardoso dan Francisco Geraldes turut berada dalam sesi latihan kali pertama tersebut.

    Pada Februari 2024, keseluruhan pemain JDT bagi musim 2024-25 yang terlibat dengan kejohanan di Piala Asia Qatar telah melapor diri antaranya pemain bintang tempatan seperti Arif Aiman, Ahmad Syihan Hazmi, La’Vere Corbin Ong, Matthew Davies, Endrick Dos Santos, Naxto Insa, pemain naturalisasi baharu JDT Romel Morales, ketua pasukan Jordi Amat dan bintang luar negara baharu JDT Jalil ElΓ­as.

    Sekitar 27 Februari 2024, barisan pemain telah dipanggil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Perubatan dan Kecergasan JDT, Padang Seri Gelam bagi memantau tahap kesihatan dan kesesuaian nutrisi pemain agar berada pada tahap paling terbaik.

    Pada situasi terkini, walaupun berada dalam bulan Ramadan, ianya bukan satu kekangan atau halangan besar untuk rutin latihan kekal berlangsung mengikut jadual.

    ERA BAHARU 2024, KOTA EROPAH SEPANYOL MENJADI LOKASI PEMANAS BADAN JDT

    Membuka naskhah baharu musim 2024-25, organisasi JDT telah mengumumkan bahawa Harimau Selatan akan diterbangkan buat kali pertama ke Alicante, Valencia, Sepanyol untuk kempen pramusim luar negara menjelang musim baharu 2024-25.

    Antara perlawanan persahabatan yang telah berada dalam perancangan adalah mengadakan tujuh perlawanan berintensiti tinggi dalam tempoh dua minggu iaitu dari 14 hingga 30 April 2024. Dengan beberapa siri perlawanan persahabatan yang diatur, secara konseptualnya, pemain-pemain bakal mendapat bayangan awal mengenai falsafah, taktikal dan strategi ketua jurulatih baharu Hector Bidoglio yang akan mengendalikan pasukan pada musim 2024-25.

    Untuk rekod, JDT akan berkampung di Pusat Bola Sepak MeliΓ‘ Villaitana, Kota Benidorm, wilayah Alicante, Valencia. Berada di lingkaran pantai Mediterranean, pusat latihan ini memiliki kemudahan seperti dua padang bola sepak 11 sebelah, dua padang bola sepak 7 sebelah, bilik persalinan profesional dan gimnasium yang dilengkapi peralatan terkini. Beberapa kelab dan pasukan kebangsaan terkemuka pernah melakukan latihan disini antaranya Pasukan Kebangsaan Olimpik Sepanyol, FC Schalke 04 dan Zenit.

    Akhir kata, baik, lebih baik dan terbaik. Jangan biarkan ia berehat. Ayuh Harimau Selatan! Tetapkanlah fokus, berani, berdiri dan bersedia menghadapi apa sahaja cabaran di musim baharu!

    Luaskan Kuasamu Johor!