Cita-cita atau aspirasi adalah berkaitan dengan kemahuan dan sasaran yang jauh serta mendalam terutamanya yang berkaitan dengan perkem­bangan pencapaian masa depan atau wawasan. Namun harus realistik!
    Keunggulan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam mendominasi kancah bola sepak tanah air adalah kerana wujudnya signifikasi cita-cita yang realistik pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
    CITA-CITA DALAM MENCETAK KEJAYAAN YANG SELAMA INI MEREKA KATA HANYA FANTASI
    Keinginan dalam mencetak lebih banyak kejayaan serta mendominasi liga domestik dan serantau merupakan antara cita-cita paling utama Harimau Selatan. Ini juga merupakan satu faktor dan titik tolak dalam bangkitnya Harimau Selatan dari lena yang panjang. DYAM Tunku Mahkota Johor berorientasi melonjakkan imej bola sepak Johor sentiasa dipandang tinggi sebagai salah satu impian yang tiada berpenghujung.
    Rentetan itu, sejak 2013, JDT terus mengalami transformasi cita-cita secara berfasa dari tahun ke tahun, lalu berbagai-bagai kejayaan berjaya dikecapi. Dengan adanya momentum dalam mengimplementasi sebuah visi dalam merealisasikan cita-cita, DYAM Tunku Mahkota Johor dilihat sentiasa ingin terus memajukan JDT dan tidak akan membiarkan kelab ini terlalu selesa dibuai kejayaan.
    Empat belas kejuaraan, enam tahun berturut-turut merangkul kejuaraan Liga Super Malaysia, kelab pertama Asia Tenggara menjulang Piala AFC dan memberi saingan sengit dalam aksi Liga Juara-Juara AFC (ACL) menjadi satu cita-cita yang berjaya direalisasi.
    CITA-CITA MENJADIKAN PENGURUSAN ORGANISASI SENTIASA EFISIEN
    Cita-cita menubuhkan sebuah pengurusan organisasi sentiasa efisien menjadi salah satu sasaran DYAM Tunku Mahkota Johor. Kerana itu, pengurusan sentiasa ditambahbaik sekerap yang mungkin oleh baginda supaya organisasi yang mengendalikan kelab kebanggaan Bangsa Johor ini sentiasa sempurna dan tiada cacat cela. DYAM Tunku Mahkota Johor juga amat tegas menitikberatkan kesempurnaan dalam pengurusan malah sentiasa memegang prinsip ‘Make or become better by removing or putting right what is bad or wrong’.
    Semua sedar bagaimana keadaan awal organisasi ini semasa DYAM Tunku Mahkota Johor mengambil alih. Proses menstrukturkan kembali visi, tanggungjawab dan hala tuju organisasi JDT dahulu adalah proses transformasi yang radikal dan total.
    Setelah itu, saban tahun operasional organisasi JDT telah melalui proses pembaharuan yang sistematik dan sangat teliti lalu menjadikan organisasi ini sebagai paling efisien dalam Malaysia malah negara serantau. Ini adalah cita-cita realistik baginda terhadap organisasi yang termanifestasi.
    CITA-CITA MEMILIKI FASILITI DAN INFRASTRUKTUR BERKELAS DUNIA
    Anjakan paradigma bola sepak Johor dapat disaksikan oleh semua penyokong Harimau Selatan. Kita dapat melihat sepanjang tahun 2013 sehingga kini bagaimana cita-cita menampilkan JDT sebagai sebuah kelab yang mempunyai fasiliti dan infrastruktur berkelas dunia menjadi proposisi DYAM Tunku Mahkota Johor. Setelah berjaya mengubah status Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin gah sebagai stadium paling sempurna di Malaysia bermula tahun 2013 lagi, kini Stadium Sultan Ibrahim dan bangunan Ibu Pejabat JDT pula menjadi mercu tanda terbaharu bagi Harimau Selatan. Tersergam indah serta bertaraf dunia!
    Manakala beberapa projek mega terbaharu bakal diimplementasi tidak lama lagi apabila baginda mengumumkan bahawa RM75 juta akan diperuntukkan untuk membina pusat latihan baharu merangkumi stadium mini yang berkapasiti 8000 tempat duduk serta membina dua padang tertutup khas untuk pemain muda JDT yang berumur 12 tahun sehingga ke skuad utama. Agenda terbaharu ini dinamakan sebagai ‘JDT Compound’.
    CITA-CITA DALAM MENDIDIK MINDA DAN CARA PEMIKIRAN KELUARGA JDT
    DYAM Tunku Mahkota Johor berpendapat kemajuan bukan sahaja berkaitan dengan infrastruktur, fasiliti atau teknologi terkini tetapi juga berkaitan dengan perubahan minda dan cara berfikir. Cita-cita ini antara perkara realistik yang mahu direalisasikan oleh baginda. Dengan berbagai-bagai motivasi dan usaha yang dilakukan oleh baginda, dalam masa yang singkat, cita-cita ini superlatif tercapai.
    Hasilnya, barisan kejurulatihan dan pemain sentiasa peka dalam mengejar tanda aras yang telah ditetapkan, berkemahuan tinggi tanpa terlalu puas dengan pencapaian serta menghargai serta bangga dengan peluang menyarung jersi merah biru. Penyokong pula sentiasa matang dalam memberi sokongan, sentiasa berdiri dibelakang pasukan, statik berada dalam radius kitaran berfikiran positif serta yakin, percaya malah teramat sayang sepenuhnya kepada baginda dan keseluruhan pasukan walaupun berdepan dalam apa sahaja situasi.
    Akhir kata, jika dilihat dari sudut perspektif nilai positif, proses implementasi cita-cita realistik JDT telah menjadikan JDT sentiasa menjadi pencetus, peneraju, ikon, ‘blueprint’ serta memberi kesedaran kepada sesetengah pihak tentang betapa pentingnya eksistensi cita-cita realistik, rasional, logikal dan bukan sekadar berhalusinasi.
    “Dalam kehidupan ianya sangat penting untuk menyedari siapa diri kita dan dimana kita. Anda boleh mempunyai cita-cita tetapi anda mesti realistik. Hidup dalam realiti dan bukannya berhalusinasi”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
    Sumber artikel: Media JST
    Hidup Johor Demi Johor