Peranan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah lebih besar daripada sebuah kelab yang hanya berjuang dalam permainan bola sepak. Konseptual organisasi ini telah mempengaruhi usaha kebajikan yang giat dilakukan sejak dari awal kewujudan lagi.
Rasionalnya selain menerapkan asas perpaduan dikalangan Bangsa Johor serta para penyokong JDT amnya, JDT tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Interpretasi ini dibuktikan dengan responsif organisasi JDT dalam memberi pelbagai sumbangan sejak bertahun lalu. Sumbangan kepada mangsa bencana alam, pembangunan keagamaan, asnaf, orang kurang upaya, dan merealisasikan impian kanak-kanak yang kurang bernasib baik membuktikan organisasi JDT mempunyai empati yang kompleks pada distres emosional orang sekeliling.
Terbaharu rangkaian organisasi JDT komited membantu rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 serta menggunakan kekuatan jenama JDT sebagai transportasi dalam usaha membantu kerajaan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
HEBAHAN KEMPEN KESEDARAN MELALUI MEDIA RASMI
Media sosial adalah medium komunikasi berkesan dalam era kebangkitan revolusi bola sepak tanah air. Organisasi JDT amat menitikberatkan keperkasaan media sosial supaya menjadi platform utama interaksi maya tanpa sempadan bersama penyokong mahupun pengkritik tegar Harimau Selatan.
Kerana kesedaran itu, melalui platform media sosial rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) yang mempunyai lebih 2.7 juta pengikut, satu kempen bersifat komunikatif menyeru penyokong Harimau Selatan dan rakyat Malaysia untuk mendaftar dan mendapatkan vaksinasi Covid-19 telah dilancarkan.
Operasional hebahan komprehensif dibuat atas kepekaan tanggungjawab sosial dan keprihatinan apabila melihat situasi pandemik Covid-19 di negara ini semakin meruncing dari hari ke hari. Organisasi JDT berpendapat, satu-satunya harapan adalah melaksanakan pelan kontingensi publikasi kempen kesedaran kepentingan vaksinasi bagi membantu pihak berwajib mempercepatkan kadar implementasi.
Untuk makluman, impak vaksinasi membolehkan kita mencapai imuniti kelompok. Di negara Barat program pemberian vaksin berskala besar telah berjaya menurunkan jumlah kes dengan sangat pantas. Ini terbukti apabila sekitar 60,000 penonton telah memenuhi Stadium Wembley, London ketika menyaksikan final Euro 2020 antara Italy menentang England pada 12 Julai 2021.
JDT DAN UNCEF BERGANDING BAHU MEMPERLUASKAN KEMPEN VAKSINASI
Sekitar 17 Disember 2020, pengiktirafan penuh penghormatan, UNICEF telah memilih JDT menjadi satu-satunya kelab di Asia yang dilihat berpotensi besar menyampaikan mesej jelas mengenai kesedaran bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dengan sihat dan gembira, menjalani kehidupan dalam persekitaran selamat juga kondusif, melindungi perkembangan emosi, nutrisi serta masa depan mereka secara optimum.
Situasi terbaharu, dalam era kekangan Pandemik Covid-19, kolaborasi JDT dan UNICEF menterjemahkan titik persamaan apabila berganding bahu melancarkan kempen #SayYesToVaccine bagi memerangi fenomena global tersebut.
Kempen ini dibuat bertujuan membawa mesej kepada penyokong bola sepak bahawa vaksin terbukti berkesan merangsang imuniti untuk mempertahankan diri daripada pandemik berjangkit ini dalam kalangan manusia, terutama kanak-kanak. Gandingan gagasan JDT—Unicef juga memberi galakan kepada penyokong bola sepak mendapat vaksinasi untuk mengurangkan kebarangkalian jangkitan.
KONSTRUKSI NILAI POSITIF YANG SEMAKIN UNGGUL DALAM ORGANISASI
Pemilik organisasi JDT merupakan antara penyumbang yang begitu prihatin dalam usaha meringankan beban bagi rakyat yang terkait dengan pandemik Covid-19 ini. Sumbangan seperti kurniaan bantuan kewangan, keperluan asas dan harian serta lain-lain telah disalurkan secara terus oleh baginda serata negeri Johor tanpa mengira status, ras, bangsa mahupun agama.
Nilai positif itu tidak stagnasi disitu, ianya berjaya mendidik pemain JDT supaya sentiasa peka juga prihatin kewajiban tanggungjawab sosial dalam kehidupan. Pemain bintang JDT, Safawi Rasid telah menyumbang sejumlah 1000 botol cecair pembasmi kuman kepada KPJ Johor.
Pada 26 Mac 2020 pula, dalam kepekaan memperkukuhkan hubungan interpersonal, para pemain Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah menyumbangkan sebahagian daripada gaji kepada Tabung Bencana Negeri Johor dengan harapan ia dapat meringankan beban golongan yang terjejas disebabkan oleh penularan wabak Covid-19.
TRANSPARENSI YAYASAN JDT, AMANAH DALAM AMANAT MEMBANTU GOLONGAN YANG MEMERLUKAN
Salah satu rangkaian dalam organisasi JDT iaitu Yayasan JDT juga terlibat secara langsung dalam kerja kebajikan ketika pendemik. Selaras penubuhan Yayasan JDT iaitu menyempurnakan amanah dan amanat para penyumbang dengan menyalurkan hasil sumbangan mereka kepada masyarakat memerlukan, Yayasan JDT— Help. Empaty. Responsive. Open (YJDT- H.E.R.O) telah menjadi metaforikal bagi program tanggungjawab korporat (CSR) dengan memberi fokus menyalurkan sumbangan kepada golongan yang terkesan khusunya kepada rakyat Johor.
Pada 29 Jun 2021, Yayasan JDT melalui program YJDT-H.E.R.O telah menyumbang sebanyak RM30,000.00 kepada Tabung Bencana Negeri Johor bagi membantu meringankan beban mereka yang terkesan ekoran penularan pandemik Covid-19.
Akhir penulisan, sesungguhnya JDT bukan sahaja mengubah atmosfera bola sepak Malaysia tetapi juga representasi sebuah organisasi yang sentiasa mendokong nilai kemanusiaan serta membantu kemelut sosial dalam membina hubungan erat, perkongsian rezeki, muafakat, saling menghormati dan memahami perit getir rakyat marhaen.