Kemenangan 10-0 JDT ke atas Kelantan FC pada 19 Ogos 2023, perlawanan kedua (2nd leg) peringkat ‘Round of 16’ Piala Malaysia 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri telah mengesahkan kemaraan JDT ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2023. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dijadualkan bakal bertemu Negeri Sembilan FC pada peringkat seterusnya.
Untuk rekod, ini bukan kali pertama 10 gol berjaya dihasilkan oleh skuad Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim. Imbas kembali, sekitar 13 Mac 2022, JDT mencatat kemenangan besar 10-0 ke atas wakil Liga M3, BRM FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 kejohanan Piala FA 2022.
KOMITMEN DAN DEDIKASI PEMAIN LUAR NEGARA BAHARU JDT
Perlawanan kedua (2nd leg) peringkat ‘Round of 16’ Piala Malaysia 2023 menentang Kelantan FC pada 19 Ogos 2023 di Stadium Sultan Ibrahim juga merupakan debut pertama pemain luar negara baharu JDT kelahiran Fukuoka, Jepun, Takahiro Kunimoto. Pada perlawanan tersebut, pemain tengah berjersi nombor 88 ini telah menjaringkan 2 gol dan membuat 1 bantuan gol.
Reminisensi kembali naratif pada musim ini beberapa orang pemain luar negara JDT turut berjaya mencetak nama sebagai penjaring dalam penampilan pertama bersama JDT antaranya;
Pemain luar negara JDT yang berasal dari Sao Paulo, Brazil, Heberty Fernandes telah membuka akaun jaringan bersama JDT pada perlawanan ke-18 (LS18) Liga Super Malaysia 2023 ketika menewaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim. Paling memberi keterujaan, pemain ini menunjukkan impak yang besar dalam kelab apabila menjaringkan 6 gol dalam 5 penampilan setakat ini.
24 Februari 2023, debut mempersonakan pemain luar negara baharu JDT ketika itu, Juan Muniz telah menghasilkan gol sulung Liga Super Malaysia 2023 dalam aksi Piala Sumbangsih 2023 bertemu Terengganu FC di Stadium Sultan Ibrahim. Pada perlawanan tersebut JDT menewaskan Terengganu FC 2-0 lantas mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali keenam berturut-turut. Situasi terkini, Juan Muniz telah membuat 20 penampilan dengan 7 gol dan 7 bantuan jaringan.
Konklusinya, secara eksplisit ianya memberi persepsi bahawa pemain-pemain luar negara JDT mempunyai karisma, abiliti, kreativiti, kredibiliti, kualiti serta pantas menyesuaikan diri dengan dinamik sosial, piawaian organisasi, corak serta gaya permainan skuad Harimau Selatan lantas menjadikan ianya satu pembelian yang amat berbaloi buat organisasi.
DOMINASI PEMAIN JDT DALAM LIGA DOMESTIK MALAYSIA
Pada musim ini, JDT dilihat berjaya melalui perlawanan demi perlawanan dengan aksi dinamik dan bertenaga. Jika ditelusuri, JDT bukan sahaja mendominasi carta kedudukan liga tetapi pemain JDT juga telah mendominasi carta penjaring terbanyak, bantuan gol terbanyak dan ‘cleen sheet’ terbanyak Liga Domestik.
Walaupun tidak diturunkan sejak perlawanan ke-18 (LS18) Liga Super Malaysia 2023 akibat dibelenggu masalah kecederaan, Fernando Forestieri masih kekal mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan Liga Super Malaysia 2023 setelah menghasilkan 17 gol dari 16 penampilan.
Bergson da Silva pula semakin agresif memburu gol apabila berada di kedudukan ketiga penjaring terbanyak liga dengan kumulatif 15 jaringan hasil dari 15 penampilan setakat ini. Arif Aiman terus konsisten mendahului kedudukan bantuan gol terbanyak dengan mencatat 11 bantuan gol dalam 19 penampilan di Kejohanan Liga Super Malaysia 2023 manakala Penjaga gol utama JDT, Ahmad Syihan Hazmi pula cemerlang dengan catatan menakjubkan 16 ‘Clean Sheet’ dalam 20 perlawanan Liga Super Malaysia 2023.
Pada kejohanan Piala Malaysia 2023, Bergson da Silva mengungguli carta penjaring terbanyak kejohanan tersebut dengan mengumpul 4 gol dan diekori rapat Heberty Fernandes yang mengumpul 3 gol di tangga kedua.
Tidak stagnasi disitu, Bergson da Silva merupakan penjaring terbanyak Liga Domestik setakat ini dengan 21 gol secara keseluruhan meliputi kejohanan Liga Super Malaysia (15 gol), Piala FA (2 gol) dan Piala Malaysia (4 gol).
Imbas kembali, pada kejohanan Piala FA 2023, Arif Aiman Mohd Hanapi telah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 4 gol.
Bagi saingan Liga Simpanan iaitu Piala MFL 2023, penyerang muda JDT ll yang berpotensi besar, Gabriel Nistelrooy Anak Tamin kini berada pada puncak carta penjaring terbanyak Piala MFL 2023 dengan catatan 12 gol yang terkumpul setakat ini.
Akhir kata, JDT akan meneruskan perlawanan ke-21 (LS21) Liga Super Malaysia 2023 menentang Kedah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu, 26 Ogos 2023.
Semoga kejayaan milik kita! Luaskan Kuasamu Johor!