Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebuah kelab yang mempunyai misi, visi dan aspirasi yang telah diatur dengan rapi sejak awal kewujudannya. Sentiasa dahagakan kejayaan dan sentiasa berkemahuan tinggi untuk menggapai lebih banyak kemajuan.
Rasionalnya, JDT kini representatif sebuah kelab bola sepak profesional Asia Tenggara yang serba sempurna dilengkapi pemain yang bernilai tinggi, pengurusan yang efisien, fasiliti dan prasarana bertaraf dunia serta mempunyai penyokong paling terbaik di Malaysia.
PENYOKONG ADALAH TUNJANG KEKUATAN HARIMAU SELATAN
Penyokong. Penyokong merupakan tunjang dan tulang belakang kepada Keluarga JDT. Penyokong juga merupakan antara komposisi penting dalam organisasi ini. Dengan kuatnya afiliasi antara satu sama lain, menjadikan organisasi ini sentiasa berinteraksi dan saling memerlukan.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menerapkan konseptualisasi kekeluargaan dan menjadikan penyokong sebahagian dari ramuan utama kejayaan JDT.
Di sini, elemen tersebut menjadikan Keluarga JDT menjadi luar biasa. Asosiasi keakraban baginda bersama pihak pengurusan hingga ke penyokong menyebabkan JDT ini terbina bukan sekadar sebuah kelab bolasepak.
“Walaupun kelab JDT dah berjaya macam-macam kejayaan, kelab tidak pernah lupakan penyokong dan saya sentiasa memastikan hubungan akrab antara kelab dan penyokong. Kita adalah ‘JDT Family’” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
DYAM TMJ BERJAYA MENTERJEMAHKAN ARTIKULASI PENYATUAN BANGSA JOHOR
Melalui JDT, DYAM Tunku Mahkota Johor berjaya menterjemahkan perpaduan antara kaum dalam negeri Johor. Baginda telah bertitah tiada perbezaan kasta, ras, agama, status, reputasi dalam menyokong bola sepak. Pada baginda kesemuanya perlu sama bersatu dalam menyokong dan memberikan sepenuh kepercayaan tanpa skeptikal kepada organisasi.
Dahulu, adalah sangat sukar melihat kaum-kaum lain memakai jersi kelab liga tempatan, tetapi kini atas nama Bangsa Johor, berbilang kaum di Johor amat berbangga apabila memakai jersi berlogokan JDT. Malahan mereka tanpa segan silu bersama-sama memeriahkan stadium dalam setiap perlawanan.
“Saya suka melihat rakyat saya bersatu. Bola sepak adalah faktor perpaduan, tidak mengira kaum atau agama” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
MENGUTAMAKAN PEMBABITAN PENYOKONG
DYAM Tunku Mahkota Johor juga sering mengutamakan penyokong JDT. Pada baginda, apa pun terjadi penyokong tidak boleh diketepikan. Jika beberapa perkara mengenai kelab yang dirasakan perlu dikongsi dalam mengelakkan penyokong mendapat maklumat yang salah, satu sesi perjumpaan secara terbuka dan santai akan diadakan.
Untuk makluman, DYAM Tunku Mahkota Johor adalah satu-satunya pemilik kelab bola sepak yang berani berhadapan dengan penyokong dan soalan tanpa tapisan wartawan. Sesi dialog bersama penyokong dan media adalah pendekatan yang amat dinanti kerana mereka dapat berada lebih dekat mengajukan soalan secara terus kepada baginda.
Baginda juga sentiasa mahukan penyokong JDT menerima tempias dari kemajuan dari projek naiktaraf organisasi ini seperti menyediakan ‘shuttle bus’ percuma pada hari perlawanan.
Paling menarik, pada 1 Julai 2019 DYAM Tunku Mahkota Johor pernah menjemput dua orang penyokong bertuah bermain dalam perlawanan jemputan JDT All-Stars bersama 12 legenda bola sepak di Stadium Tan Sri Dato’ Hj. Hassan Yunos, Larkin. Pada tahun 2020 pula, baginda telah berbesar hati mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak bersama beberapa penyokong Harimau Selatan serta kelab bola sepak amatur yang terpilih. Satu kurniaan paling istimewa apabila dapat merasai atmosfera serta berkongsi lapangan padang bersama deretan legenda dunia dan bermain di antara stadium paling unggul dalam Asia iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
TIDAK AKAN MEMBIARKAN PENYOKONG JDT MENERIMA KESUSAHAN
Sifat altruistik dalam diri DYAM Tunku Mahkota Johor amat tebal. Baginda terlalu menyayangi penyokong JDT sehingga sanggup membahayakan diri. Paling diingati, pada 28 Mei 2013 suatu tragedi dan insiden yang tidak boleh dilupakan. Sejarah hitam bola sepak Malaysia telah terlakar di Stadium Darul Makmur ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA 2013 antara Pahang dan JDT sehingga terpaksa ditangguhkan susulan rusuhan penyokong tuan rumah.
Menjadi lebih kritikal, apabila kumpulan penyokong JDT diserang oleh penyokong tuan rumah sehingga menyebabkan beberapa penyokong mengalami kecederaan. Konsekuensi perkara tersebut akhirnya memaksa komisioner perlawanan memutuskan untuk menunda perlawanan atas faktor keselamatan. Keseluruhan pemain JDT termasuk DYAM Tunku Mahkota Johor yang ketika itu turut sama hadir menyaksikan perlawanan, diiringi pulang ke hotel penginapan.
Namun baginda kembali semula ke stadium walaupun dinasihatkan oleh pihak polis supaya tidak berbuat demikian dengan tujuan untuk membantu dan memastikan para penyokong Harimau Selatan yang terkepung dapat keluar dengan selamat.
“Penyokong itu adalah rakyat saya, jika saya perlu bermandi darah bersama mereka, saya akan lakukan”” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
APRESIASI BUAT PENYOKONG YANG DISAYANGI
DYAM Tunku Mahkota Johor mendedikasi 16 trofi kejuaraan yang dimenangi JDT sepanjang penglibatan dalam persaingan peringkat domestik dan antarabangsa kepada penyokong setia JDT yang selama ini sentiasa menyokong dengan penuh keazaman, kesetiaan dan kepercayaan.
Selain itu, majlis penghargaan untuk para penyokong pasukan Harimau Selatan juga sering diadakan. Sama ada ketika majlis perasmian fasiliti, majlis pelancaran jersi bagi musim baharu atau pun acara sambutan menjulang kejuaraan. Setiap upacara akan diadakan secara gilang gemilang dan spektakular.
Pada 2 Oktober 2020, perlawanan menentang Sabah FA pada pusingan kesepuluh CIMB Liga Super Malaysia 2020 dan merupakan perlawanan terakhir yang dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim. Pada perlawanan itu, JDT berjaya mengutip 3 mata penuh lantas mengesahkan kejuaraan kali ketujuh berturut-turut.
Acara menjulang piala terus dilangsungkan pada malam tersebut. Namun tidak seperti tahun-tahun sebelum ini, prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 telah menghalang kemasukan penyokong ke stadium. Konsekuensi prosedur tersebut, demi penyokong, buat julung kalinya program ‘in car viewing party’ telah dianjurkan agar penyokong tidak terlepas untuk sama-sama meraikan kejayaan JDT. Maka, 1,500 kenderaan dinaiki penyokong skuad Harimau Selatan telah menyaksikan siaran langsung perlawanan JDT menentang Sabah termasuk gimik ‘extended reality’ dan pertunjukan bunga api melalui lima skrin layar gergasi yang disediakan di luar pekarangan stadium.
Pada 23 September 2017 iaitu tiga hari selepas JDT menjulang piala liga super Malaysia 2017, beberapa siri perlawanan English Premier League (EPL) di England telah terpapar ucapan tahniah kepada pasukan JDT yang menjuarai Liga Super Malaysia 4 tahun berturut-turut di ‘LED board’ selama 3 minit. DYAM Tunku Mahkota Johor menyatakan itu adalah hadiah dari baginda kepada Bangsa Johor, negeri Johor dan juga penyokong JDT apabila berjaya meletakkan Kelab Bolasepak JDT dan juga negeri Johor di mata dunia.
Sekitar tahun 2018 pula, penyokong JDT telah menerima durian runtuh apabila organisasi JDT berbesar hati menaja para penyokong JDT tiket perlawanan Piala Juara-Juara Antarabangsa 2018 (ICC) di Singapura secara percuma. Piala Juara-Juara Antarabangsa 2018 (ICC) merupakan kejohanan tiga penjuru membabitkan pasukan elit dunia iaitu gergasi English Premier League (EPL) Arsenal, kelab terkemuka La Liga, Atletico Madrid dan juga juara Ligue 1, Paris Saint Germain.
“Adalah sangat penting untuk memastikan pemain dan seluruh Keluarga JDT gembira”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Akhir kata, dengan berbagai memorabilia suka, duka yang telah bercampur baur sejak kewujudan JDT membuatkan ikatan antara DYAM Tunku Mahkota Johor, pengurusan, jurulatih, pemain dan penyokong menjadi semakin kuat tersimpul mati tanpa tergugat.
‘Blood makes us Related, Loyalty makes us Family!’
Sumber artikel: Media JST