Ketika itu beberapa minit sebelum azan Isyak berkumandang. Kurang satu jam sebelum perlawanan kelapan Harimau Selatan turun untuk berjuang. Kelihatan jauh termenung DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor melihat tepat kepada kain rentang yang dipasang secara horizontal. Sambil baginda tersenyum, seharusnya mesej yang mahu disampaikan berjaya mencapai titik paling optimal.
‘Vision without execution is hallucination.’ Ketika siaran langsung begitu jelas kelihatan di kaca televisyen. Terpampang kata-kata mutiara kain rentang mega yang menjadi kapsyen. Indikator segala aspirasi DYAM Tunku Mahkota Johor di organisasi JDT bukanlah sebuah fiksyen.
“Seekor harimau tidak perlu memberitahu siapa dirinya, ianya terus menerkam”
Ya! Aspirasi DYAM Tunku Mahkota Johor terhadap JDT bukan sekadar kata-kata kosong. Setiap yang baginda rencanakan sejak awal kewujudan kelab ini tidak pernah terpesong. Sebagai penyokong Harimau Selatan, dipanjatkan kesyukuran kerana terlalu beruntung. Kegembiraan dicurahkan baginda terlalu banyak untuk dikira mahupun dihitung.
Bertahun-tahun dahulu, baginda menyatakan telah mendapat satu semangat yang luar biasa apabila sentiasa dikelilingi orang-orang yang sering memperlekehkan inovasi yang menjadi ambisi. Ada juga segelintir pihak yang cuba memberi gambaran bahawa usaha yang dinyata baginda, hanyalah cakap-cakap kosong tiada isi. Namun semua itu tidak dihiraukan, baginda ubah segala kata-kata skeptis sebagai motivasi. Dengan motivasi itu, akhirnya diolah menjadi pelancar amunisi agar impian yang disasar tepat direalisasi.
“Saya mendapat satu semangat yang luar biasa apabila saya sentiasa dikelilingi orang-orang yang mempertikaikan atau mana-mana pihak yang cuba memberi gambaran bahawa mereka tidak percaya setiap apa yang saya lakukan. Ia menjadi motivasi yang luar biasa, satu semangat yang sungguh luar biasa membuktikan bahawa saya boleh lakukan!”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
“Seekor harimau tidak terganggu tidurnya disebabkan pandangan kambing biri-biri”
Sedar tidak sedar, persaingan Liga Super Malaysia musim dua puluh puluh sudahpun tamat. Mempertahankan kejuaraan pada tujuh musim berturut-turut adalah sesuatu pencapaian yang tersangat hebat.
Namun tidak dinafikan, pada musim ini format satu pusingan begitu mendebarkan. Sedikit kesilapan mampu membuat segala direncana bakal terlepas dari tangan. Hanya konsistensi dan konsentrasi yang menjadi koalisi ampuh dan tuntas. Dalam mempertahankan Piala Liga Super Malaysia dari pasukan lain yang berkeinginan tinggi rakus mahu merampas.
Namun ramai yang masih sukar untuk menerima kenyataan. Segala kejayaan JDT ini tidak diterima dengan kerelaan.
Akibat terlalu banyak dikhayalkan dengan janji-janji bersifat halusinasi, fantasi, imaginasi dan melodramatik. Segelintir penyokong-penyokong pesaing telah berjaya diserapkan dengan doktrin bahawa kekayaan punca JDT mendominasi persaingan liga domestik.
“JDT kaya, tidak adil bagi pasukan liga tempatan! JDT kaya, kerana itulah menjadi juara yang tidak mampu dikalahkan!”
Itu antara petikan kata-kata mereka yang menjadi perisai. Dimuatnaik di halaman sosial tanpa menyedari betapa naifnya pendapat yang mereka hurai. Adakah ini sahaja taraf pemikiran segelintir penyokong bola sepak Malaysia? Masih kurangkah kelompok penyokong bersifat neutral dan inteligensia?
“Ngauman harimau, pandangan harimau, kehebatan sejati dalam pertarungan”
Konseptualisasi kebanyakan pasukan Liga Malaysia masih lagi di takuk lama. Ada lebihan wang, kebanyakan pengurusan hanya berminat mencari pemain mahal dan ternama. Hingga sanggup berhabis wang asal nampak bergaya walaupun papa kedana. Akhirnya dipertengahan musim kelak, jurulatih, kakitangan serta pemain yang menanggung akibat, bala dan juga bencana.
Amat berbeza pada modus operandi organisasi JDT yang telah sebati diterapkan. Pelan jangka masa panjang bersistematik sentiasa menjadi matlamat dalam percaturan. Berbelanja mengikut kemampuan, mengukur kantung supaya tidak keterlaluan. Dalam pada masa yang sama, penambahbaikan, pembangunan fasiliti serta infrastruktur tidak pernah sesekali ketinggalan dalam perancangan.
“Bagi saya, pengurusan efisien adalah kunci kepada kejayaan organisasi dan wang hanyalah salah satu daripadanya. Ia bukan segalanya.”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Akhir kalam, tidak semudah mencipta stensil mencetak bait-bait setiap perkataan. Segala kejayaan yang ada pada hari ini, galang gantinya adalah sebuah pengorbanan yang perlu dipertaruhkan. DYAM Tunku Mahkota Johor telah mengorbankan masa, wang, emosi, jiwa dan raga walaupun berada tinggi di puncak sistem monarki. Demi memastikan empayar ini akan sentiasa utuh dan gah, nombor satu dalam kedudukan tangga hierarki!
“Kejayaan sememangnya ada dalam DNA saya. Saya tidak mempunyai pilihan dan akan berjuang hingga ke akhir!”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.