Debaran melihat rekabentuk jersi terbaharu JDT musim 2023 telah terlerai pada 18 Februari 2023. Dengan penajaan dan kerjasama gagasan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT)-NIKE yang memasuki musim ke-9, ianya dilihat antara kolaborasi di peringkat global yang paling efektif serta berkaitan rapat dengan nilai komersial, publisiti dan kebanggaan.

    Konsepsi jersi bagi musim 2023 kekal berpaksikan warna-warna keramat bendera negeri Johor bagi versi tuan rumah manakala bagi versi tempat lawan, JDT telah mengenakan kombinasi tona putih, biru dan merah. Pembelian boleh dibuat secara fizikal menerusi pengedar- pengedar rasmi Southern Tigers Sdn Bhd (STSB) atau pembelian secara dalam talian di https://jdtfc.com.my/

    GABUNGAN NILAI PRESTIJ JDT DAN SOCIOS.COM

    Musim 2023 ini Harimau Selatan tampil dengan wajah baharu. Selain revolusi rekabentuk jersi tajaan NIKE, logo Socios.com

    menjadi paparan baharu di bahagian hadapan jersi Harimau Selatan lantas menjadi penambah nilai eksklusif jersi pada musim ini.

    Imbas kembali, sekitar 26 September 2022, JDT dan Socios.com

    secara rasmi memerterai kerjasama memanfaatkan kekuatan platform penjenamaan masing-masing melalui perkongsian publisiti dan populariti. Kejayaan pelan penajaan yang dirangka organisasi telah mencipta pengalaman dan peluang baharu penyokong Harimau Selatan menerusi JDT Fan Tokens.

    JDT Fan Tokens merupakan satu aset kripto (cryptoasset) yang diurusniaga dalam aplikasi Socios.com

    menerusi pautan https://jdtdigital.io.

    Melalui ruang unik JDT Digital yang juga dikenali sebagai realiti digital (Metaverse) ini, pemegang JDT Fan Tokens mendapat akses mengumpul, berkongsi dan berdagang Koleksi Digital. Selain itu, pemegang JDT Fan Tokens juga berpeluang memenangi hadiah istimewa termasuk jersi ‘match-worn’ pemain, tiket-tiket VIP dan pelbagai barangan cenderahati yang tidak pernah dihasilkan sebelum ini untuk dibeli oleh penyokong.

    Untuk rekod, antara kelab bola sepak terkemuka yang bekerjasama dengan Socios.com

    adalah FC Barcelona, Paris Saint-Germain, Manchester City, Juventus, AC Milan, Inter Milan, Arsenal, Napoli, Valencia, Atlético de Madrid dan banyak lagi pasukan Eropah.

    WAJAH DAN PENAMPILAN BAHARU MENGIRINGI MUSIM PANJANG 2023 YANG MENCABAR
    Jumaat, 24 Februari 2023. JDT memulakan cabaran pertama pada musim baharu dengan misi mempertahankan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Kembali kepada format asal, perebutan gelaran pembuka tirai ini turut dikira sebagai perlawanan pertama (LS1) Liga Super Malaysia 2023.
    Untuk rekod, tirai Liga Super Malaysia 2023 dibuka secara rasmi bermula 24 Februari hingga 4 Jun 2023, diikuti pusingan kedua bermula 7 Jun hingga 17 Disember 2023. JDT akan bersaing bersama 13 kelab lain berbanding 11 kelab pada musim lepas lantas menjadi musim paling panjang harus dilalui rentetan tirai Liga Super Malaysia hanya melabuhkan tirai pada pertengahan bulan Disember 2023.
    Bagi Penyokong setia JDT, masih belum terlambat untuk menjadi pemegang Pas Bermusim Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk musim 2023. Terdapat enam pakej istimewa untuk menjadi pilihan iaitu Bronze (zone A) RM410, Bronze (zone C) RM515, Silver (zone C) RM814, Jewel (Grandstand) RM1,948, Jewel Plus (Grandstand) RM2,400 dan Diamond VIP (Grandstand) RM5,728.
    Dengan memiliki Pas Bermusim tersebut, penyokong berpeluang menikmati ganjaran-ganjaran menarik yang disediakan. Pembelian pas bermusim boleh dibuat dengan hadir ke kaunter yang telah dikhaskan di Stadium Sultan Ibrahim bermula jam 10.00 pagi hingga 4.30 petang pada hari Ahad sehingga Khamis (kecuali cuti umum).
    Akhir kata, setiap cerita yang di cipta, mencipta kita. Persediaan terbaik untuk hari esok, adalah melakukan yang terbaik pada hari ini.
    Masanya telah tiba, ‘Elevate the game!’.
    Luaskan Kuasamu Johor!