Menjengah bulan kedua 2023 bakal menyaksikan jendela musim baharu Liga Malaysia akan dibuka. Bagi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), ketibaan musim baharu ini diiringi bersama aspirasi dan ambisi untuk terus progresif bergerak lebih jauh ke hadapan.
Inspeksi sepanjang bulan Februari 2023, berikut beberapa perkara menarik yang menjadi tumpuan;
SEGALANYA SEMPURNA, BERAKHIRNYA JELAJAH PRAMUSIM DI DUBAI
7 Februari 2023, berakhirnya jelajah pramusim yang istimewa buat JDT di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Bukan sekadar retorik, jelajah pramusim yang telah diaturkan oleh organisasi JDT ini telah mendapat liputan ekstensif media dalam dan luar negara sepanjang 15 hari berkampung di selatan Semenanjung Tanah Arab tersebut.
23 Januari 2023 merupakan hari pertama buat keseluruhan pemain JDT memulakan latihan pramusim di Stadium multifungsi The Sevens Stadium, Dubai. Disebalik perlawanan persahabatan berintensiti tinggi dan kerjasama baharu yang berjaya dimeterai, logo Hublot penuh prestij terpampang di hadapan jersi latihan 2023 Harimau Selatan buat kali pertama sepanjang penajaan adalah satu perkara yang amat menarik perhatian umum.
Imbas kembali, sekitar 13 September 2019, JDT telah mengumumkan secara rasmi bahawa syarikat pembuat jam tangan mewah Swizerland iaitu Hublot, menjadi antara syarikat antarabangsa gergasi yang menaja JDT. Melalui tajaan tersebut, Hublot tampil sebagai jam tangan dan penjaga masa rasmi Harimau Selatan.
MENGUBAT KERINDUAN, PIALA SUMBANGSIH MENJADI MISI PERTAMA MUSIM 2023
Piala Sumbangsih 2023 merupakan edisi ke-38 sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1985. Kembali kepada format asal, perebutan gelaran pembuka tirai ini turut dikira sebagai perlawanan pertama (LS1) Liga Super Malaysia 2023.
Maka pada hari Jumaat, 24 Februari 2023, kerinduan penyokong setia Harimau Selatan pastinya akan terubat apabila JDT akan memulakan cabaran pertama pada musim baharu dalam perebutan Piala Sumbangsih menentang Terengganu FC di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Imbas kembali, pada perebutan Piala Sumbangsih musim lalu yang berlangsung pada 26 Februari 2022, Harimau Selatan berjaya menyempurnakan misi pertama musim tersebut dengan mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih apabila menewaskan cabaran Kuala Lumpur City di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan jaringan 3-0.
Pada tarikh tersebut juga, satu sejarah baharu telah terlakar apabila JDT menjadi kelab paling lama mempertahankan Piala Sumbangsih setelah memonopoli kejuaraan selama lima tahun berturut-turut. Untuk rekod, JDT telah merangkul kejuaraan ini sejak tahun 2018 sehingga 2022.
MENGIRA DETIK, REKAAN EKSKLUSIF JERSI MUSIM BAHARU HARIMAU SELATAN
Tajaan NIKE adalah berkaitan dengan nilai komersial, publisiti dan kebanggaan bagi JDT. Penajaan NIKE yang memasuki musim ke-9 dilihat antara kolaborasi di peringkat global yang paling efektif.
Saban musim, rekaan jersi musim baharu adalah antara perkara yang dinantikan oleh semua penyokong. Secara tradisinya, satu acara rasmi pelancaran jersi baharu JDT beserta gimik bakal diadakan serentak di serata daerah seluruh negeri Johor.
Imbas kembali musim lalu, pada 18 Februari 2022, JDT telah melancarkan jersi tajaan NIKE yang terbaharu. Konsepsi jersi bagi musim 2022 kekal berpaksikan warna-warna keramat bendera negeri Johor bagi versi tuan rumah manakala bagi versi tempat lawan, JDT telah mengenakan kombinasi tona putih dan merah jambu. Untuk rekod, kali terakhir JDT tampil bersama jersi yang mempunyai tona Merah Jambu adalah pada musim 2014.
Kualitatif jersi yang dibuka untuk jualan kepada penyokong pada musim 2022 dilihat kontrastif jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini. Pada musim tersebut jersi yang dijual kepada penyokong adalah merupakan versi stadium (stadium version). Istimewanya, jersi ini menggunakan material (DRI FIT) yang hampir sama seperti edisi pemain (player issue).
Selain itu, jersi versi stadium yang bersifat ‘breathable’ itu dilihat lebih eksklusif berbanding edisi penyokong (fans issue). Untuk pertama kalinya, pada musim baharu 2022 itu juga, NIKE telah melancarkan jersi khas untuk wanita dan juga kanak-kanak.
Akhir kata, Keluarga JDT! ayuh kita raikan pertemuan semula di bulan Februari!
Luaskan Kuasamu Johor!