Cabaran Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di kejohanan penutup tirai musim tahunan bola sepak negara yang juga merupakan antara kejohanan tertua di rantau Asia iaitu Piala Malaysia yang memasuki tahun ke-100 ini telah bermula.

Melihat kembali perlawanan didalam kumpulan D yang telah dilalui Harimau Selatan, berikut beberapa perkara menarik yang menjadi tumpuan;

KEAZAMAN MENGEKALKAN MOMENTUM, TIGA BELAS KEMENANGAN BERTURUT-TURUT DALAM LIGA DOMESTIK SEJAK MEI 2021

Inspeksi sepanjang dua perlawanan yang telah dilalui Harimau Selatan, dua kemenangan menyaksikan JDT mengumpul enam mata dan mengungguli kumpulan D bagi persaingan peringkat kumpulan Piala Malaysia 2021.

Kejayaan menundukkan Kelantan FC 2-0 pada 27 September 2021 dan PJ City 1-0 pada 30 September 2021 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri memberi keyakinan bahawa JDT berada pada laluan sebenar. Safawi Rasid, Bergson Gustavo Silveira da Silva dan Gonzalo Cabrera telah mencatat nama sebagai penjaring bagi kedua-dua perlawanan tersebut lantas menjadi penutup kisah gembira buat kelab termasuk penyokong setia Harimau Selatan sebelum persaingan Piala Malaysia 2021 berehat dalam tempoh yang panjang.

Interpretasi yang tidak boleh disangkal. Statistikal jelas menunjukkan JDT berjaya melalui perlawanan demi perlawanan dengan aksi dinamik dan bertenaga. Secara kumulaltif, sehingga 30 September 2021, JDT masih mengekalkan 13 rekod kemenangan berturut-turut dalam kejohanan domestik sejak 4 Mei 2021.

Dari segi kontekstual, ianya memberi persepsi bahawa seluruh pasukan konsisten dan sentiasa fokus mengimplementasi misi walaupun berdepan cabaran yang sukar dalam setiap konkurensi. Sentiasa peka mengonsolidasikan objektif, optimistik, penambahbaikan segera pada titik kelemahan serta semangat bekerja berpasukan menjadi fundamental pemain-pemain JDT lantas menampilkan skuad Harimau Selatan berada pada prestasi optimum, sentiasa bersedia, tidak dibelenggu depresi dan tidak memandang rendah pihak lawan.

PIALA MALAYSIA, PERTANDINGAN PENUTUP MUSIM YANG MEMBERI MOTIVASI DAN PELUANG KEPADA PEMAIN UNTUK MEMBALAS KEPERCAYAAN

Dalam keadaan perlawanan Piala Malaysia 2021 dijalankan dengan proteksi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), JDT dilihat giat berusaha memberikan tumpuan paling maksimum dalam mengharungi jadual yang padat dan tempoh rehat yang singkat.

Malah sesi latihan secara ‘Camp Based Training’ atau latihan secara berpusat sepanjang penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan juga menjadi kelebihan kepada keseluruhan skuad Harimau Selatan dan amat efektif untuk memupuk lebih keserasian dalam persaingan merebut kesebelasan utama dikalangan pemain.

Persaingan sihat harus berorientasikan kepada ambisi mencapai ekspektasi matlamat organisasi dan karier pemain itu sendiri. Disamping itu, ianya juga memberi manfaat kepada pengaruh psikososial atas mentaliti, prinsip dan disiplin seseorang pemain bola sepak tersebut membawa pasukan yang diwakili agar progresif untuk memecahkan rekod serta agresif mencapai sesuatu yang baharu.

Perkara itu dibuktikan pemain-pemain seperti Haziq Nadzli, Daniel Amier, Syahrian Abimanyu dan Hazwan Bakri apabila berjaya mempamerkan prestasi memberangsangkan malah menjadi sebahagian daripada watak utama JDT ketika kejayaan mengutip tiga mata penuh pada dua perlawanan peringkat kumpulan yang telah berlangsung rentetan diberi kepercayaan barisan jurulatih untuk diturunkan dalam kesebelasan utama.

KHABAR GEMBIRA KEHADIRAN PENYOKONG AKHIRNYA DIBENARKAN, STADIUM SULTAN IBRAHIM BAKAL KEMBALI BERGEGAR

Usaha gigih Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam membuat rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan memberi kebenaran buat penyokong kembali hadir ke stadium telah membuahkan hasil.

Susulan pengumuman rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 29 September 2021 yang mengeluarkan permisif bagi kehadiran penyokong ke lokasi perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 maka secara automatik ianya akan menamatkan penantian penuh penyeksaan penyokong JDT untuk kembali ke stadium.

Perlawanan keempat peringkat kumpulan D iaitu pertemuan pusingan kedua Piala Malaysia 2021 JDT menentang Sabah FC pada 3 November 2021 bakal menjadi medan melepaskan kerinduan membuak-buak penyokong Harimau Selatan yang ternyata merindui saat-saat menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Sultan Ibrahim.

Mengikut penjelasan terperinci Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pandemik memutuskan bahawa kebenaran itu akan diiringi Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat seperti hanya penyokong telah menerima vaksinasi lengkap dibenarkan masuk, memakai pelitup muka sepanjang perlawanan, tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium dan hanya individu berusia 18 tahun ke atas dibenarkan menyaksikan perlawanan yang berlangsung.

Akhir penulisan, ironinya keazaman, kepercayaan dan kegembiraan akan mewarnai dan mengiringi sepanjang perjuangan kesateria Harimau Selatan di persaingan Piala Malaysia pada musim ini.

Ayuh Harimau Selatan! Luaskanlah Kuasamu!