Kejuaraan. Bagi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ianya bukan hanya mengenai menjulang piala. Ia mengenai bagaimana meraikan kejuaraan dengan bergaya.
Saban musim, organisasi JDT akan mendedikasikan setiap kejuaraan yang dimenangi kepada seluruh keluarga JDT. Kerana itu, majlis penghargaan untuk para penyokong akan diadakan secara besar-besaran serta diraikan dengan elemen penuh kejutan yang bersifat sofistikated.
SAMBUTAN KEJUARAAN, PARTISIPASI PENYOKONG SEIRING KEJAYAAN KELAB
Dua tahun berturut-turut acara sambutan kejuaraan diadakan secara ‘in car viewing party’ konsekuensi dibelenggu prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang menghalang kemasukan penyokong JDT ke stadium.
Akhirnya pada musim 2022, sekitar 15 Oktober 2022 iaitu sejurus perlawanan terakhir Liga Super Malaysia musim ini, penyokong akan kembali bersama-sama berpartisipasi menyaksikan kemeriahan upacara eksklusif penyampaian trofi Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim kelak.
Lebih istimewa, bukan sahaja hanya sambutan kejuaraan kesembilan berturut-turut Liga Super Malaysia, tetapi turut meraikan kejayaan spektakular Harimau Selatan dari pasukan senior hingga junior pada musim 2022.
‘TRIPLE HATRIK’ NARATIF SEJARAH LIGA SUPER MALAYSIA YANG EPIK
1 Oktober 2022. Pada aksi ke-18 ketika mencatatkan kemenangan besar keatas Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Ibrahim, JDT telah sah dinobatkan selaku juara Liga Super Malaysia edisi ke-19 buat kali kesembilan berturut-turut.
Bukan sekadar retorik, kejuaraan ‘Triple Hatrik’ yang dilakar oleh JDT ini seharusnya satu pencapaian yang begitu epik dan rekod yang sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan di masa hadapan kelak.
Mengimbas kembali memorabilia indah di dalam kejohanan Liga Super Malaysia 2022, selepas melangsaikan misi pertama musim ini iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali ketujuh, Harimau Selatan meneruskan langkah kanan apabila menewaskan Penang FC 1-0 di Stadium ikonik kebanggaan pada perlawanan pembuka tirai Liga Super Malaysia 2022. Selepas itu, mata demi mata berjaya dikutip secara konsisten sehingga Harimau Selatan agak selesa di puncak Liga Super Malaysia.
Tidak mahu terbuai dengan kejayaan, realitinya perjuangan Harimau Selatan belum lagi tamat. Misi mengekalkan status ‘invincible’ dan mempertahankan rekod kebal Stadium Sultan Ibrahim menjadi indikator dalam dua perlawanan terakhir musim ini.
Untuk makluman, JDT dijadualkan menentang KDA FC pada hari Selasa, 11 Oktober 2022. Berselang 4 hari selepas perlawanan tersebut, JDT akan melayan kunjungan Sabah FC pada hari Sabtu, 15 Oktober 2022 lantas menjadi perlawanan terakhir dalam kalender Liga super Malaysia 2022 edisi ke-19.
LEGASI JUARA EDISI TERAKHIR LIGA PREMIER, TROFI AKAN TERUS KEKAL DIBUMI JOHOR
Musim 2022 merupakan edisi terakhir Liga Premier rentetan badan penganjur Malaysian Football League (MFL) mengeluarkan ultimatum supaya kempen saingan divisyen kedua itu dilupuskan bermula tahun depan.
Sejak bermulanya era moden Liga Premier Malaysia pada tahun 2004, tiada pasukan dari Negeri Johor pernah menjuarai kejohanan tersebut. Namun setelah 18 tahun dan melalui beberapa revolusi format kejohanan selepas itu, pada musim 2022, satu sejarah baharu telah tercipta bilamana JDT II dinobatkan sebagai juara edisi terakhir kejohanan tersebut.
Imbas kembali, sekitar 5 Mac 2022, JDT II bermula dengan tewas 2-1 kepada Kelantan United pada aksi sulung Liga Premier 2022 di gelanggang sendiri. Pulangan dari kesedaran untuk segera bangkit memperbaiki segala kelemahan dan kesilapan, 6 kemenangan berturut-turut telah berjaya dicatat bermula dari 18 Mac 2022 sehingga 7 Mei 2022.
Namun reputasi cemerlang JDT II sedikit tercalar pada aksi LP8, 20 Mei 2022 apabila tewas 2-1 kepada Terengganu FC II di gelanggang lawan. Namun apa yang menarik, selepas tragedi kekalahan tersebut, skuad JDT II tidak menoleh kebelakang lagi. Lonjakan prestasi berjaya diterjemahkan lantas meletakkan skuad JDT ll berada dalam intensiti tepat di kedudukan superior carta Liga Premier 2022 ketika itu.
Perlawanan LP18 bertemu Selangor FC 2 di Stadium UiTM, Shah Alam pada Ahad, 30 September 2022 merupakan perlawanan terakhir Liga Premier 2022. Kemuncaknya, kemenangan 0-1 ketas tuan rumah telah mengesahkan bahawa skuad bimbingan Mariano Echeverría menjulang kejuaraan liga buat kali pertama dalam sejarah moden skuad Liga Premier Harimau Selatan.
PENCAPAIAN MEMBERANGSANGKAN AKADEMI JDT, 7 TROFI BERJAYA DIRANGKUL PADA MUSIM 2022
Pencapaian Akademi JDT untuk musim 2022 juga dilihat antara paling memberangsangkan. 7 trofi telah berada berjaya dirangkul okeh Akademi JDT antaranya Juara MSSM (JDT B12), Juara Kejohanan Yakult – Aidil Zaquan Cup, Juara ‘JSSL International Professional 7s’ (JDT B13), Juara Milo Challenger Cup 2022, Juara Laliga Youth Tournament (JDT B14) dan Juara MSSM (JDT B17).
Tidak stagnasi di situ, pencapaian spektakular Akademi JDT bertali arus pada musim 2022 apabila skuad JDT lll kendalian Javier Jorda Ribera berjaya membawa pulang Piala Presiden ke bumi Johor sejak kali terakhir piala itu dirangkul kira-kira 13 tahun lalu iaitu sekitar tahun 2009.
Akhir kata, kejuaraan dan kejayaan yang dirangkul Harimau Selatan pada hari ini mempunyai gambaran lebih besar. Ia bukan sahaja tentang sekadar menjulang sebuah piala, tetapi juga mengenai pulangan kerja keras setiap hari dan ganjaran daripada jatuh bangun sepanjang perjalanan hingga ke hari ini.
Luaskan Kuasamu Johor!