Berbaki beberapa hari lagi untuk pertembungan timbal balik aksi pusingan kedua suku akhir TM Piala Malaysia 2021 akan berlangsung. Lapan belas haribulan, dalam bulan sebelas dijadualkan Harimau Selatan untuk turun bertarung. Maka berdetiklah jam randik seperti laju dalam kitaran. Menanti hari dan masa untuk segera melangsaikan segala perhitungan.
    Terasa tidak sabar tetapi sedikit berdebar. Si Murai galak mencabar, semangat menjadi berkobar-kobar. Apa pun terjadi, di Stadium Sultan Ibrahim kemenangan perlu menjadi aspirasi. Maka sempurna jati diri, mesti diterjemah ketika tiba hari konkurensi.
    “Muafakat lalu didalam gelap, adat lalu ditengah terang”
    Perlawanan bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di persaingan suku akhir kedua kelak adalah hari penentu sejauh mana kemaraan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Piala Malaysia. Peluang ini harus jangan dipersia, misi mara ke pentas separuh akhir bukan lagi satu rahsia. Maka benteng pertahanan lawan perlu kesateria Harimau Selatan cuba infiltrasi. Pastikan runtuh egosentrik si Helang berbaka Kenari, apabila keseluruhan posisi kita dominasi.
    Disebalik sebuah misi yang mahu diimplementasi. Tersimpan notasi satu deklarasi. Deklarasi tentang inspirasi Harimau Selatan bagi mengharungi rintangan sepanjang perlawanan. Agar lancar segala taktikal juga perancangan. Namun ianya perlu disertakan bersama semaksimanya sokongan. Sokongan dari penyokong Harimau Selatan yang wajib ada mengiringi perjuangan.
    Rantaian organisasi, pasukan dan penyokong dalam Keluarga Harimau Selatan. Rasionalnya, kuatnya afiliasi antara satu sama lain, menjadikan organisasi ini sentiasa berinteraksi dan saling memerlukan. JDT mengkonsolidasikan ikatan kekeluargaan dengan menjadikan penyokong sebahagian daripada ramuan utama dalam ambisi melakar sejarah baharu. Serta penawar paling efektif dalam menambahbaik semangat ketika melalui waktu-waktu krusial untuk terus memandang kehadapan tanpa celaru.
    Secara konseptualnya, penyokong memberi sokongan tanpa prejudis menjadi fundamental paling terbaik dalam konstruksi sebuah empayar unggul.
    Mekanisme keupayaan corak pemikiran ini telah membantu JDT memiliki kekuatan moral dalam sirkulasi gembira atau masyghul.
    “Ingatlah ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencocok, duri yang akan mengait”
    Tidak kiralah sehebat manapun provokasi pasukan yang bakal dilayan. Atau sekuat mana pun reputasi mereka dalam keterampilan. Ianya hanyalah satu tanggapan. Dan bukannya kenyataan yang boleh dimuktamadkan.
    Sesungguhnya kelebihan sesebuah pasukan bola sepak itu tiada yang tetap jurang dan nisbah. Segalanya sekelip mata boleh berubah. Dan kerana itulah penyebab penyokong harus sentiasa bersama. Untuk menghasilkan gema Ngauman Selatan yang akan menjadi pemacu semangat paling utama!
    Buktikanlah! Ngauman Selatan bukan sekadar mitos atau dongeng yang kabur. Ianya adalah atmosfera sebenar di stadium ikonik Johor yang tersohor!
    Ayuh! Jangan biarkan sokongan berkurang. Bersama menjulang panji untuk terus berjuang. Kita tolak segala impresionistik yang menjadi jurang. Penuhkan stadium di setiap sudut dan juga ruang!
    Akhir kalam, doa dan sokonglah dengan jiwa yang luhur. Demi Johor, semangat ini tidak akan luntur!
    Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
    Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
    Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.