Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk saingan Liga Super Malaysia 2021 kembali bersambung. Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) akan memulakan aksi keempat belas Liga Super Malaysia 2021 pada hari Ahad, 25 Julai 2021 dengan melayan kunjungan pasukan ‘The Lion Troops’ UiTM FC di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Namun konsekuensi usaha membendung penularan pandemik Covid-19, perlawanan liga masih kekal diadakan tanpa kehadiran penyokong berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS).

    KEHADIRAN PENYOKONG MASIH TIDAK DIBENARKAN

    Penyokong Harimau Selatan pastinya amat merindui saat-saat menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium kebanggaan Stadium Sultan Ibrahim. Rindu itu semakin kuat apabila perlawanan keempat belas kelak bakal berlangsung di gelanggang sendiri. Namun Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan telah mengumumkan penyokong JDT masih lagi tidak dibenarkan ke stadium menjelang sepak mula pada 25 Julai ini.

    Mengimbas kembali memorabilia indah, usaha gigih Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysian Football League (MFL) dalam membuat rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ber­kenaan memberi kebenaran buat penyokong kembali hadir ke stadium pada saingan Liga Malaysia 2021 (Liga M) telah membuahkan hasil.

    Sebaik sahaja permisif dikeluarkan secara rasmi, maka perlawanan Liga Super keenam iaitu pertemuan JDT menentang Melaka United FC pada 2 April 2021 dijadikan projek perintis bagi kemasukan penonton ke stadium.

    Buat pertama kalinya, setelah kali terakhir penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim pada 7 Mac 2020, Stadium Sultan Ibrahim telah kembali gegak gempita dengan sorakan penyokong walaupun kehadiran yang dibenarkan dalam kuota terhad. Seperti meraikan kehadiran penyokong setia, Harimau Selatan telah berjaya menewaskan Melaka United dengan keputusan 3-0. Gol-gol JDT disumbangkan oleh Adam Nor Azlin dan jaringan berganda oleh penyerang import sensasi Bergson Gustavo Silveira da Silva.

    PENUH KEAZAMAN UNTUK MENGEKALKAN RENTAK CEMERLANG

    Inspeksi sepanjang tiga belas perlawanan yang telah dilalui Harimau Selatan, sembilan kemenangan, tiga seri serta satu kekalahan menyaksikan JDT mengumpul tiga puluh mata dan masih kekal mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia sejak Mac 2021.

    Kejayaan menundukkan Penang FC 0-3 pada 8 Mei 2021 di Stadium Bandaraya memberi keyakinan bahawa JDT berada pada laluan sebenar. Jaringan Safawi Rasid, Bergson Gustavo Silveira da Silva dan Mohamadou Sumareh menjadi penutup kisah gembira buat kelab termasuk penyokong setia Harimau Selatan sebelum liga berehat dalam tempoh yang panjang.

    Interpretasi yang tidak boleh disangkal. Statistikal jelas menunjukkan JDT berjaya melalui perlawanan demi perlawanan dengan aksi dinamik dan penuh karismatik. JDT muncul sebagai pasukan paling banyak menjaringkan gol iaitu sebanyak 28 gol serta pasukan paling sedikit bolos apabila hanya bocor 6 gol sepanjang tiga belas perlawanan yang berlangsung.

    Dari segi kontekstual, ianya memberi persepsi bahawa seluruh pasukan konsisten dan sentiasa fokus mengimplementasi misi walaupun berdepan cabaran yang sukar dalam setiap konkurensi. Sentiasa peka mengonsolidasikan objektif, optimistik, penambahbaikan segera pada titik kelemahan serta semangat bekerja berpasukan menjadi fundamental pemain-pemain JDT lantas menampilkan skuad Harimau Selatan berada pada prestasi optimum, sentiasa bersedia dan tidak dibelenggu depresi.

    JENAMA ANTARABANGSA F&N RASMI MENJADI PENAJA BAHARU JDT

    Misi RM1 Billion, hala tuju jelas serta perancangan jangka masa panjang bersistematik, menampilkan JDT representatif sebagai sebuah kelab yang mempunyai stabiliti kewangan, memiliki proteksi, fleksibiliti, berdikari malah mampu menarik minat penajaan syarikat-syarikat gergasi dalam usaha memanfaatkan kekuatan platform penjenamaan masing-masing melalui perkongsian publisiti dan populariti. Kejayaan pelan kontingensi yang dirangka organisasi dalam mendapat kepercayaan jenama antarabangsa ini, memperluaskan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global.

    Terbaharu, sejurus tamatnya cabaran Harimau Selatan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021 edisi ke-40, pihak pengurusan JDT telah mengumumkan bahawa jenama antarabangsa Fraser & Neave (F&N) telah bersetuju memberikan penajaan selama tiga tahun enam bulan yang bakal menyaksikan jenama 100PLUS, minuman isotonik terkenal dalam arena sukan menjadi rakan pembekal rasmi minuman isotonik kepada Harimau Selatan.

    Sebelum ini, antara jenama antarabangsa lain yang turut berkolaborasi bersama JDT adalah UNICEF dan Spartan Stadion, gagasan kerjasama dalam penajaan jangka masa panjang NIKE, serta penajaan menakjubkan dari HUBLOT, SWAG Electric Vehicle serta Subway.

    HAMPARAN PADANG STADIUM SULTAN IBRAHIM SUDAH SEDIA DIGUNAKAN

    Dalam usaha mengekalkan reputasi Stadium Sultan Ibrahim sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara, organisasi JDT telah bertekad bahawa stadium ini harus mengutamakan dua kerangka konseptual iaitu fasiliti berkelas dunia dan mempunyai padang berkualiti tinggi setanding dengan stadium-stadium terbaik di dunia.

    Walaupun lapangan rumput Zeon Zyosia sedia ada telah mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), itu tidak bermakna penambahbaikan akan berhenti serta merta. Sekitar bulan Mei 2021 selepas proses pembaharuan besar-besaran sekitar 27 Oktober 2020, lapangan padang Stadium Sultan Ibrahim telah menjalani proses penambahbaikan dan penyelenggaraan berkala.

    Paling menarik perhatian pihak pengurusan Padang Stadium Sultan Ibrahim telah mempratikkan mekanisme teknologi moden bagi pemantauan kualitatif padang dengan menggunakan ‘Turf-Tec Stress Detection Glasses.’ Aplikasi terkini menggunakan kaca mata yang direkayasa untuk mengenalpasti kematangan padang dari jarak dekat atau pada jarak yang jauh. Kawasan-kawasan rumput bermasalah dapat didiagnosis lebih awal sebelum ia jelas kelihatan secara visual, sekaligus pemeliharaan padang dapat dilakukan dengan lebih efisien.

    Secara eksplisit, perkara ini membuktikan bahawa organisasi JDT tidak leka dalam mempertingkatkan lagi aspek kualiti dan mahukan hanya yang terbaik berada di stadium ini. Disamping itu, pada masa yang sama, kerja-kerja mencantikkan lagi kawasan-kawasan di sekitar Stadium Sultan Ibrahim turut sama dibuat.

    Akhir penulisan, penentu kejayaan bukan sahaja berkenaan pengurusan, barisan jurulatih dan pemain, tetapi juga partisipasi penyokong setia yang sentiasa bersama tidak kira rintangan yang mendatang. Pengurusan, Jurulatih, Pemain dan Penyokong harus menjadi satu. Antisipasi perpecahan pula bakal mengakibatkan struktural Empayar unggul ini berdepan kehancuran.

    Kepercayaan penyokong adalah ramuan paling berkesan dalam kejayaan pasukan ini. Sentiasa meletakkan kepercayaan penuh kepada organisasi demi kegemilangan Harimau Selatan. Dengan kepercayaan yang diberikan, yang jatuh akan segera bangkit, yang lemah pasti akan menjadi gagah. Bersatulah, kita berjuang bersama-sama!

    Selamanya Merah Biru. Demi Johor, cinta ini tidak pernah luntur!