Ekspedisi musim baharu, ianya signifikan kepada bermulanya kembali langkah perjuangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk mengkonsolidasikan stabiliti, korektif segala kelemahan dan interpolasi senarai kejayaan setiap musim yang berganti.

    Secara eksplisit, selaras dengan konsepsi organisasi, JDT sentiasa menanamkan keinginan tinggi untuk mencapai prestasi maksimum, menetapkan matlamat yang jelas serta tampil dengan semangat menakjubkan pada setiap musim baharu.

    PRA-MUSIM, MENJANA KEYAKINAN MENJELANG MUSIM BAHARU BUAT HARIMAU SELATAN

    Pra-musim adalah waktu paling ideal bagi pemain Harimau Selatan memulihkan kembali kecergasan setelah berehat panjang. Proses ini melibatkan pemulihan dari segi fisiologi dan psikologi pemain.

    Secara konseptualnya, latihan pra-musim merupakan mekanisme terbaik untuk barisan kejurulatihan mengatasi kelemahan yang telah dikenalpasti lantas mengoptimakan tahap kecergasan fizikal dan mental setiap pemain menjelang musim baharu yang akan tiba.

    Seawal 8 Januari 2022, pemain JDT telah menjalani latihan awal pra-musim melalui sesi latihan atas talian. Sekitar 14 Januari 2022, barisan pemain telah dipanggil untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di Pusat Perubatan dan Kecergasan JDT, Padang Seri Gelam. Sesi latihan intensif pula telah dimulakan secara rasmi pada 15 Januari 2022 di Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam sebelum mereka diterbangkan ke Kota Metropolitan Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk siri perlawanan persahabatan pra-musim berintensiti tinggi.

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) sering menjadi destinasi pilihan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia menjalani latihan pra-musim kerana kemudahan-kemudahan sofistikated dan spektakular bertaraf dunia yang ada di negara tersebut.

    Kelab FC Rodina Moscow (Rusia), Kelab MSK Zilina (Slovakia) dan Kelab Riga FC (Latvia) menjadi eksperimental dalam gerakan organisasi JDT merekonsiliasi serta memantapkan skuad Harimau Selatan menghadapi musim baharu yang penuh mencabar.

    Paling menarik, JDT bakal berhadapan dengan FC Spartak Moscow, sebuah kelab bola sepak profesional Rusia dari Moscow dan merupakan sebuah kelab paling berjaya di negara tersebut. Bekas pemain Chelsea FC, Victor Moses antara pemain terkemuka yang beraksi untuk kelab yang digelar ‘Krasno-Belye’ (Merah dan Putih) ini.

    SEBELUM SEPAK MULA LIGA SUPER MALAYSIA BERMULA, PIALA SUMBANGSIH 2022 MENJADI TUGASAN PERTAMA HARIMAU SELATAN

    Penantian satu penyeksaan. Kerinduan penyokong setia Harimau Selatan pastinya akan terlerai pada Sabtu, 26 Februari 2022. JDT akan memulakan cabaran pertama pada musim baharu dalam perebutan Piala Sumbangsih menentang Kuala Lumpur City di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Piala Sumbangsih 2022 merupakan edisi ke 37 sejak ianya diperkenalkan pada tahun 1985. Namun buat julung kalinya, perebutan gelaran pembuka tirai ini akan diasingkan daripada perlawanan pertama Liga Super Malaysia 2022.

    Untuk rekod, tirai Liga Super Malaysia 2022 akan dibuka secara rasmi bermula 4 Mac hingga 16 Julai 2022, diikuti pusingan kedua bermula 19 Julai hingga 17 Sept 2022. JDT akan memulakan kempen persaingan Liga Super Malaysia 2022 dengan bertemu Penang FC pada 4 Mac 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    PIALA FA KEMBALI MEWARNAI, JADUAL PADAT BAKAL MENGUJI SKUAD HARIMAU SELATAN

    Pandemik COVID-19 yang menyerang tanah air telah mengintimidasi serta menjejaskan kerancakan persaingan Liga Malaysia 2020 hingga memaksa badan penganjur Malaysian Football League (MFL) mengeluarkan ultimatum supaya persaingan Liga Super Malaysia dijalankan satu pusingan manakala kempen Piala FA dan Piala Malaysia dibatalkan.

    Pada Musim 2021, MFL telah membuat keputusan untuk mengeluarkan saingan Piala FA daripada kalendar musim 2021 rentetan status pandemik COVID-19 ketika itu masih berada di paras cukup membimbangkan selain kebergantungan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), yang memainkan faktor.

    Namun setelah ditangguhkan dalam dua musim, menjelang musim baharu 2022, sekitar bulan Mac, JDT bakal kembali bersaing didalam perebutan Piala FA edisi ke-33 setelah badan penganjur MFL mengumumkan saingan Piala FA akan kembali mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) 2022 dengan penampilan format baharu.

    LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2022, PENAMPILAN KALI KEEMPAT HARIMAU SELATAN

    Liga Juara-Juara AFC (ACL) adalah hasil penstrukturan baharu yang telah dirangka oleh AFC dengan melakukan penggabungan Piala Pemenang Asia dan Piala Super Asia pada musim 2002/03.

    Sejak itu, Liga Juara-Juara Asia (ACL) menjadi kejohanan tahunan persaingan liga bola sepak paling elit di Asia. Pertandingan yang diselenggara oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berstatus kejohanan tertinggi di Asia dan menjadi impian semua kelab yang bernaung di bawah AFC.

    Pada tahun 2019, JDT selaku kelab pertama dari Malaysia berjaya untuk bersaing ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL). Secara rasionalnya setelah empat musim dalam penampilan pastinya Harimau Selatan semakin matang, memiliki pola pemikiran positif, sentiasa berkemahuan bergelar pemenang dan berkeyakinan tinggi ketika mengharungi perlawanan demi perlawanan dalam kejohanan paling berprestij di Asia tersebut.

    Bermula 15 April 2022 sehingga 1 Mei 2022, JDT akan bersaing dalam peringkat Kumpulan I bersama Kawasaki Frontale, Guangzhou FC, dan pemenang ‘Play Off’ 3 antara Ulsan Hyundai dan Port FC di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41 yang berkonseptualkan perlawanan berpusat atau karnival di lokasi yang akan ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

    Akhir penulisan, keinginan, semangat dan keazaman haruslah lebih kuat daripada keraguan dan ketakutan. Fokus, dedikasi, usaha, tekad dan motivasi adalah salah satu dari asas kejayaan. Ayuh Harimau Selatan! Tetapkanlah fokus, berani, berdiri dan terus progresif bergerak ke hadapan.

    Selamat datang musim 2022! Luaskan Kuasamu Johor!