Perjuangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Liga Super Malaysia 2023 secara rasminya berehat seketika selepas perlawanan ke-21 (LS21) menentang Kedah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu, 26 Ogos 2023.

    Bukan sekadar retorik, perlawanan tersebut akan diingati seluruh penyokong Harimau Selatan sebagai perlawanan yang begitu kompleks dan padat dengan refleksi emosi setakat ini.

    Seterusnya perlawanan ke-22 Liga Super Malaysia 2023 (LS22) JDT hanya akan bersambung pada hari Selasa, 29 September 2023 menentang PDRM FC di stadium kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    NGAUMAN HARIMAU SELATAN TIDAK AKAN BERHENTI

    Karakteristik JDT di kejohanan Liga Super Malaysia musim 2023 ini telah memecah belenggu pemikiran parokial dalam arena bola sepak tanah air apabila mencatat deretan rekod baharu yang menakjubkan, luar biasa dan berada dalam kelas yang tersendiri. Dari segi kontekstual, pengaruh psikososial atas mentaliti, prinsip dan disiplin yang tinggi berjaya diutilisasikan sepenuhnya oleh organisasi untuk membentuk imuniti seterusnya menjadikan JDT terus dominan, dinamik dan bertenaga.

    Sentimen itu terbukti secara eksplisit. Melintasi perlawanan ke-21 setakat ini, JDT dalam intensiti tepat di kedudukan superior carta Liga Super Malaysia 2023 dengan mengaut 61 mata lantas menterjemahkan kutipan mata paling tinggi sejak 2013. Tidak stagnasi disitu, JDT masih kebal dengan catatan maraton rekod tanpa tewas dalam semua perlawanan Liga Super Malaysia sejak 14 September 2021.

    Dalam situasi terkini, JDT bakal berhadapan dengan 5 lagi baki perlawanan Liga Super Malaysia 2023 iaitu LS22 PDRM FC (29 September 2023), LS23 Kelantan United (29 Oktober 2023), LS24 Kuching FC (24 November 2023), LS25 Sri Pahang (3 Disember 2023 dan menutup tirai persaingan musim ini dengan bertemu Penang FC pada perlawanan ke-26 (17 Disember 2023).

    Dalam saingan Piala Malaysia 2023 pula, JDT berjaya mara ke peringkat Suku Akhir Piala Malaysia 2023 dan akan bertemu Negeri Sembilan FC dalam aksi timbal balik pada satu tarikh yang bakal diumum secara rasmi oleh badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) kelak.

    KIRA DETIK SEPAK MULA LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2023, PENAMPILAN KALI KELIMA HARIMAU SELATAN

    Pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/24 edisi ke-42 kembali ke format asal apabila bakal dilangsungkan secara timbal balik setelah tiga musim berkonseptualkan perlawanan berpusat atau karnival iaitu bermula musim 2020 di Doha, Qatar diikuti musim 2021 di Bangkok, Thailand.

    Pada musim 2022 pula, buat pertama kalinya, JDT telah terpilih menjadi tuan rumah bagi peringkat Kumpulan I. Konkurensi yang bermula 15 April 2022 sehingga 1 Mei 2022 itu telah menggunakan dua venue iaitu Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Imbas kembali, musim 2022 juga menyaksikan JDT menjuarai Kumpulan I dengan mengutip 13 mata secara keseluruhan. Paling menarik, Harimau Selatan berjaya mengetepikan cabaran tiga kelab terkemuka Asia yang lain iaitu Ulsan Hyundai, Kawasaki Frontale dan Guangzhou FC untuk lolos ke pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 lantas merekodkan pencapaian paling terbaik sejak debut pertama JDT di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 4 tahun lalu.

    Untuk musim 2023/24, hasil dari undian pada Khamis, 24 Ogos 2023 yang berlangsung di AFC House, Bukit Jalil, umpama pertempuran repetisi, JDT telah diundi sekali lagi bersaing dalam peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) edisi ke-42 bersama Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai manakala satu lagi slot pemenang ‘Play Off’ telah diisi oleh BG Pathum United FC.

    Perlawanan JDT di peringkat Kumpulan I bakal berlangsung bermula 19 September 2023 hingga 12 Disember 2023. JDT akan memulakan cabaran dengan menentang Kawasaki Frontale pada Selasa, 19 September 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

    Secara rasionalnya setelah lima musim dalam penampilan pastinya Harimau Selatan semakin matang, memiliki pola pemikiran positif, sentiasa berkemahuan bergelar pemenang dan berkeyakinan tinggi ketika mengharungi perlawanan demi perlawanan dalam kejohanan paling berprestij di Asia tersebut.

    Akhir kata, kejayaan adalah tentang perjuangan, usaha, optimisme, dan tidak pernah menyerah.

    Merah takkan pernah kabur, Biru takkan sesekali luntur. Luaskan Kuasamu Johor!