Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melalui 14 perlawanan dalam persaingan Liga Super Malaysia 2023. Dengan melakar 14 kemenangan berturut-turut, 42 mata sempurna, 52 jaringan terkumpul dan hanya 2 kali bolos, ianya merupakan catatan terbaik pernah dihasilkan oleh Harimau Selatan sejak musim 2013.
    Fernando Forestieri kini mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan setelah menghasilkan 15 gol. Selain itu, seramai 10 pemain JDT juga turut berada dalam senarai penjaring kejohanan antaranya Bergson Da Silva (9 gol), Arif Aiman, Juan Muniz (5gol), Leandro Velazquez, Diogo Luis Santo, Endrick Dos Santos (4gol), La’Vere Corbin Ong (3gol), Feroz Baharudin, Syahmi Safari, Oscar Arribas (1gol).
    Paling menarik, jaringan akrobatik berkelas dunia Fernando Forestieri pada minit ke-20 ketika JDT menewaskan Terengganu FC 1-2 pada perlawanan ke-14 (LS14) pusingan kedua Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu telah menjadi hadiah istimewa kepada seluruh penyokong JDT sebelum Liga Super Malaysia berehat seketika.
    PENGIKTIRAFAN DALAM DAN LUAR NEGARA BUAT PEMAIN HARIMAU SELATAN
    31 Mei 2023, media sosial rasmi AFC Champions League telah mengumumkan bahawa penyerang sensasi Harimau Selatan Bergson Da Silva telah diundi berada dalam kesebelasan terbaik kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41. Ini merupakan kali pertama pemain Harimau Selatan dinamakan dalam kesebelasan terbaik kejohanan elit Asia tersebut sejak 2019.
    Pada 11 Jun 2023, La’Vere Corbin Ong diumumkan berada dikedudukan kelima bantuan gol terbanyak (3 bantuan gol) Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022. Beliau juga turut tersenarai dalam kelompok 12 pemain pertahanan terbaik dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022.
    Selain itu, jaringan Bergson Da Silva dan Leandro Velazquez tersenarai diantara gol terbaik peringkat Timur Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022. Dalam situasi terkini, gol Leandro Velazquez mendapat peratusan undian paling tinggi berbanding 7 pemain lain dalam undian yang memasuki peringkat separuh akhir 1.
    Imbas kembali, JDT mara ke pusingan kalah mati 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 setelah mengungguli Kumpulan I dengan mengutip 13 mata secara keseluruhan. Paling menarik, Harimau Selatan berjaya mengetepikan cabaran tiga lagi kelab terkemuka Asia yang lain iaitu Kawasaki Frontale, Ulsan Hyundai dan Guangzhou FC lantas merekodkan pencapaian paling terbaik sejak debut pertama JDT di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 4 tahun lalu.
    Pemain JDT juga turut diberi pengiktirafan oleh Persatuan Pemain-pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) melalui Anugerah Pemain Terbaik Bulanan PFAM.
    19 April 2023, sebelum sepak mula perlawanan kesembilan (LS9) Liga Super Malaysia antara PDRM FC dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Arif Aiman Hanapi diumumkan sebagai penerima Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi edisi Februari-Mac 2023.
    Pada 17 Mei 2023, Leandro Velázquez pula diumumkan sebagai Anugerah Pemain Terbaik Bulanan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) bagi edisi April 2023 lantas meneruskan dominasi pemain JDT didalam anugerah tersebut.
    USAHA JDT—UTM MELAHIRKAN PEMAIN BOLA SEPAK YANG BERPENDIDIKAN TINGGI
    Organisasi JDT mempunyai kesedaran mengenai kepentingan keseimbangan akademik dan sukan untuk pembangunan intelek serta kejayaan jangka panjang pelatih Akademi Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Dari sudut kontekstual, keseimbangan dimensi akademik dan sukan amat terbukti mampu melahirkan seorang pemain bola sepak yang memiliki pemikiran kritis, pengurusan masa yang efektif, displin serta berprinsip dan seterusnya mobiliti sosial atau perubahan status sosial pelatih itu di masa hadapan.
    Konsekuensi berdasarkan faktual tersebut, ianya membawa kepada sebuah jaringan kerjasama JDT-Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diwujudkan bermula musim 2015 bagi memperkasakan polisi tersebut.
    Pada 3 Februari 2020, termeterai pelan kerjasama pintar antara UTM-PBNJ-JDT. Melalui kerjasama ini, UTM akan menyediakan fasiliti penginapan yang kondusif kepada 138 pelatih Akademi JDT. Melalui perjanjian tersebut juga, UTM turut menyediakan kemudahan padang latihan serta menyelia utiliti fasiliti yang disediakan. Tidak stagnasi disitu, pelatih Akademi JDT ini turut diberi peluang kemasukan pengajian ke UTM melalui Program Laluan Hijau.
    Terbaharu, pada 7 Jun 2023, satu perbincangan fasa akhir antara JDT-UTM mengenai pelaksanaan Program Diploma Sains Sukan & Kecergasan khas untuk pelatih lepasan sekolah Akademi JDT. Menerusi program tersebut, pelatih Akademi JDT akan ditawarkan untuk mengikuti pengajian peringkat Diploma seterusnya diberi pilihan untuk meruskan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda.
    Akhir kata, semua impian akan terwujud jika kita mempunyai keberanian untuk mengejarnya. Sesungguhnya kejayaan yang besar dimulai dengan impian yang besar.
    Luaskan Kuasamu Johor!