Meniti pertengahan musim 2023, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat kekal berada pada prestasi optimum serta reseptif mengimplementasi misi walaupun berdepan cabaran yang sukar dalam setiap kompetisi.
Secara konseptualnya, kekuatan moral dalam ketagihan mencatat sejarah baharu menjadi formulasi pelonjak semangat untuk setiap unit dalam keluarga JDT untuk lebih berambisi, berdaya saing, berintegriti, membawa bersama nilai-nilai murni serta sentiasa setia menyokong antara satu sama lain.
JDT KONSISTEN MENYOKONG SEGALA USAHA UNICEF
Gagasan kerjasama JDT-UNICEF bukan sahaja mengubah atmosfera bola sepak Malaysia tetapi juga representasi koalisi yang mendokong nilai kemanusiaan, etika dan memiliki kesedaran sivik menakjubkan membantu kemelut sosial kanak-kanak dan remaja dalam menyusuri arus modenisasi.
Mencecah usia tiga tahun kerjasama bersama UNICEF, JDT sering menyokong apa sahaja kempen atau program yang dilaksanakan oleh organisasi tersebut. Antaranya sokongan dan komitmen berterusan tentang kepentingan mendapatkan vaksin sebagai perisai perlindungan kesihatan setiap kanak-kanak dari wabak merbahaya.
Terbaharu, pada 24 April 2023, JDT dan UNICEF sekali lagi bergabung tenaga melancarkan kempen ‘FOR #WorldImmunizationWeek (24-30 Apr 2023). Sempena Minggu Imunisasi Sedunia ini juga, melalui mesej#BuildBackImmunity, JDT-UNICEF bakal membantu lebih ramai kanak-kanak mendapat vaksin rentetan kes maut disebabkan wabak seperti polio dan campak semakin meningkat.
Imbas kembali, ketika pascapemulihan Pandemik Covid-19, kolaborasi JDT dan UNICEF menterjemahkan titik persamaan apabila berganding bahu melancarkan kempen #SayYesToVaccine bagi memerangi fenomena global tersebut.
STADIUM SULTAN IBRAHIM MELONJAKKAN NILAI DAN REPUTASI JDT
22 Februari 2020 telah menjadi sebahagian anotasi dari lipatan sejarah bola sepak Negeri Johor apabila Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dirasmikan dalam acara yang penuh menakjubkan. Dengan hasil pembinaan yang begitu teliti ianya menjadi aset kekal paling berharga milik organisasi JDT.
Tanpa sedar, masa telah berlalu dengan pantas. Pada 22 Februari 2023, Stadium Sultan Ibrahim bakal meniti usia tiga tahun dan memasuki pascabaharu dalam era komersialisasi.
Stadium Sultan Ibrahim telah mendapat berbagai-bagai pengiktirafan eksklusif diperingkat global antaranya diangkat sebagai pemenang undian awam Stadium Of The Year pada tahun 2020 dan kedudukan kelima kategori utama Stadium Of The Year dari laman Web Poland iaitu StadiumDB.com serta tersenarai antara beberapa stadium terpilih di seluruh dunia yang menjadi tuan rumah acara Spartan Stadion yang terkemuka di peringkat antarabangsa pada 24 September 2022.
Terbaharu, Stadium Sultan Ibrahim terus menerima limpahan pengiktirafan antarabangsa. Sekitar 26 April 2023, Stadium Sultan Ibrahim menjadi wakil Malaysia pertama dijemput untuk menganggotai Persatuan Pengurusan Venue (Asia dan Pasifik) di Asia-Pacific Venue Industry Congress ke-30 yang akan berlangsung dari 21 hingga 23 Mei di Melbourne, Australia.
Jemputan ini merupakan satu penghormatan lantas mengkonsolidasikan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global. Untuk makluman, Persatuan Pengurusan Venue (VMA) adalah badan untuk venue industri profesional di Australia, New Zealand dan Asia dengan lebih 900 keahlian, mewakili lebih 300 venue utama dari pelbagai sektor termasuk venue sukan dan bukan sukan.
RAIKAN AIDILFITRI DI STADIUM IKONIK KEBANGGAAN
Beberapa hari lagi, JDT akan meneruskan perlawanan kesepuluh (LS10) Liga Super Malaysia 2023 menentang Kelantan United pada hari Sabtu, 13 Mei 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.
Konsekuensi hampir sebulan tanpa sebarang perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim, kerinduan penyokong Harimau Selatan pastinya akan terubat pada detik itu.
Maka, leraikan kerinduan, raikanlah pertemuan semula dan semarakanlah cahaya Aidilfitri. Penyokong Harimau Selatan diseru untuk hadir bersama-sama mengiringi pemain Harimau Selatan berjuang mengekalkan rekod cemerlang maraton 11 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri sejak 24 Jun 2022 dalam kejohanan Liga Super Malaysia. Bukan sekadar retorik, sokongan padu penyokong Merah Biru menjana motivasi dan potensi keseluruhan pasukan untuk terus mencatat keputusan positif.
Mengimbas kembali memorabilia indah, 9 April 2023 merupakan kali terakhir JDT beraksi di gelanggang sendiri. Disaksikan oleh 13,722 orang penyokong yang hadir, JDT telah mencatat kemenangan besar keatas Kedah FC 6-0 pada aksi kelapan Liga Super Malaysia 2023 (LS8).
Paling menarik perhatian, gol-gol JDT disumbangkan oleh enam penjaring berbeza iaitu Fernando Forestieri, Muhamad Feroz Baharudin, Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi serta Leandro Velazquez lantas memastikan skuad Harimau Selatan melakar kemenangan bergaya Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Akhir kata, tiada ketakutan, tiada alasan dan tiada sempadan. Kejar impian dan jadikannya kenyataan Harimau Selatan!
Selamanya Johor Darul Ta’zim! Luaskan Kuasamu Johor!