HARIMAU SELATAN — PARADIGMA KEAZAMAN, KEBANGKITAN DAN KEPERCAYAAN
Liga Malaysia musim 2022 secara rasminya berehat seketika pada hari Rabu, 18 Mei 2022. Secara faktualnya, sepanjang bulan Januari sehingga Mei 2022 akan sentiasa diingati sebagai tempoh yang begitu kompleks dan padat dengan refleksi emosi.
Namun introspeksi sepanjang perlawanan yang telah dilalui sama ada di kejohanan domestik atau antarabangsa telah memperlihatkan bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berada pada kelas yang sangat berbeza dalam eksplorasi kontinuiti memburu kejayaan- kejayaan baharu.
SKUAD HARIMAU SELATAN MENGUNGGULI CARTA LIGA DAN PENJARING TERBANYAK
JDT telah melalui perlawanan keenam dalam persaingan Liga Super Malaysia 2022 serta mengesahkan kemaraan melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA 2022 sebelum direktif Malaysian Football League (MFL) supaya persaingan liga domestik berehat seketika.
Lima kemenangan, satu seri menyaksikan JDT mengumpul enam belas mata serta masih kekal mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2022.
Selain itu, beberapa pemain JDT turut mendominasi kedudukan senarai penjaring terbanyak kejohanan domestik setakat ini antaranya Bergson da Silva 9 gol (Liga Super Malaysia 2022), Fernando Forestieri 5 gol (Piala FA 2022) dan Fernando Rodriguez 6 gol namun berkongsi tempat dengan tiga lagi pemain pasukan lain (Liga Premier 2022).
KETAJAMAN PENYUDAH BERGSON, GOL PANTAS FORESTIERI DAN TIGA PENAMPILAN PENJAGA GOL DI LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2022
Bergson da Silva tampil sebagai pemain paling menyerlah buat Harimau Selatan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022. Ketajaman penyudah pemain luar negara JDT yang berasal dari Alegrete, Brazil ini diterjemahkan apabila berjaya menghasilkan 6 gol dalam 6 perlawanan malah merupakan jaringan terbanyak pernah dicatatkan oleh seorang pemain JDT sepanjang 4 musim bersaing di kompetisi tahunan liga bola sepak paling elit di Asia tersebut.
Pemain berjersi nombor sembilan ini juga telah mencetak jaringan hatrik pertama JDT sepanjang beraksi dalam kejohanan berprestij tersebut. Gol tersebut disumbangkan ketika perlawanan pembuka tirai pada 15 April 2022 menentang kelab bola sepak terkemuka Republik Rakyat China Guangzhou FC.
Untuk makluman, Bergson da Silva kini berada pada kedudukan kedua penjaring terbanyak kejohanan setakat ini berkongsi tempat bersama Zeca (Daegu FC) ketinggalan 2 gol dibelakang Edmilson Junior (Al-Duhail SC) yang telah menghasilkan 8 gol.
18 April 2022, perlawanan kedua pusingan pertama peringkat Kumpulan I Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 menjadi antara pencapaian terbaik Fernando Forestieri. Pemain luar negara JDT yang berasal dari Rosario, Argentina ini berjaya menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-3 ketika memberi kejutan terhebat kepada kelab gergasi Republik Korea, Ulsan Hyundai FC. Jaringan Fernando Forestieri tersebut merupakan jaringan terpantas yang telah dihasilkan pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 zon timur.
Sebermula perlawanan peringkat kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 yang telah berlangsung pada 15 April 2022 sehingga 21 April 2022, JDT telah menurunkan ketiga-ketiga penjaga gol iaitu Farizal Marlias, Haziq Nadzli dan Izham Tarmizi. Ironinya pelan kontingensi ini dilihat sebagai bukti bahawa JDT mempunyai barisan pemain yang berkualiti dan sentiasa bersedia memberikan komitmen yang diekspektasikan oleh organisasi JDT.
SOKONGAN PENYOKONG, PENAWAR EFEKTIF HARIMAU SELATAN
Organisasi, pasukan dan penyokong. Kuatnya afiliasi antara satu sama lain, menjadikan organisasi ini sentiasa berinteraksi dan saling memerlukan. JDT telah berjaya mengkonsolidasikan ikatan kekeluargaan dengan menjadikan penyokong sebahagian daripada ramuan utama dalam ambisi organisasi melakar sejarah baharu.
Konsekuensi berdasarkan faktual tersebut, partisipasi penyokong dalam setiap perlawanan menjadi penawar paling efektif dalam menambahbaik semangat keseluruhan pasukan sama ada ketika berdepan titik rendah dalam perjuangan atau hanya selangkah untuk meraikan kejayaan.
Kemenangan epik menewaskan Ulsan Hyundai pada 30 April 2022 antara bukti kukuh bahawa penyokong merupakan penawar paling efektif dalam menambahbaik semangat keseluruhan pasukan ketika melalui waktu-waktu krusial untuk terus berjuang.
Ironinya, sokongan padu keseluruhan penyokong Harimau Selatan sama ada ketika berlangsungnya perlawanan Liga Domestik atau Antarabangsa telah diterjemahkan dengan jumlah kehadiran ke stadium yang begitu menakjubkan.
Akhir kata, ketika dalam sebuah perjuangan terdapat cabaran yang besar, keberhasilan yang menanti juga lebih besar. Sempurnakanlah usaha dengan doa, kemudian bersabar menunggu hasil yang sempurna.
Berehatlah seketika Merah Biruku!