Inspeksi sepanjang empat perlawanan yang dilalui Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam persaingan Liga Super Malaysia 2023, JDT telah mencatat 4 kemenangan berturut-turut, 12 mata penuh, 17 jaringan dan 1 bolos.
    Kejayaan menundukkan Terengganu FC 2-0 (24 Feb), Kuala Lumpur City FC 0-3 (1 Mac), Negeri Sembilan FC 0-7 (6 Mac) dan Kelantan FC 5-1 (11 Mac) menjadi pemangkin kepada moral pemain untuk kekal konsisten menghadapi musim panjang 2023. Selain itu, beberapa pemain JDT turut mendominasi kedudukan senarai penjaring kejohanan setakat ini antaranya Arif Aiman, Endrick Dos Santos, Fernando Forestieri (3 gol), Corbin Ong, Diogo Luis Santo, Juan Muniz (2 gol) dan Bergson Da Silva (1 gol).
    SHANE LOWRY KEMBALI SETELAH PULIH DARI KECEDERAAN PANJANG
    Kemenangan 1-3 JDT ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Stadium Darul Aman pada 4 Oktober 2022 dalam perlawanan kesembilan belas Liga Super Malaysia 2022 (LS19) menjadi aksi terakhir Shane Lowry bersama JDT pada musim gemilang 2022. Impak pelanggaran pada minit ke-63 mengakibatkan Shane Lowry mengalami kecederaan patah siku dan memaksa beliau untuk berehat panjang.
    Manfaat atas kemudahan fasiliti spektakular serta peralatan canggih yang menggabungjalin disiplin-disiplin seperti perubatan, pemakanan, sosiologi, fisiologi, psikologi dan biomekanik di Pusat Medikal & Kecergasan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), beliau telah berjaya dipulihkan sepenuhnya sebelum jendela musim 2023 dibuka.
    6 Mac 2013 ketika perlawanan ketiga Liga Super Malaysia 2023 (LS3) JDT menentang Negeri Sembilan FC menjadi indikator awal kebangkitan pemain luar negara dari Perth, Australia ini apabila membuat kemunculan semula dengan membarisi kesebelasan utama Harimau Selatan.
    PENDEDAHAN DAN PELUANG DIBERIKAN KEPADA PEMAIN MUDA JDT
    Tindakan berani barisan kejurulatihan JDT dalam menurunkan bakat-bakat muda ketika perlawanan penting telah memberikan mereka peluang dalam merasakan intensiti tinggi ketika beraksi. Faktor prinsip kepimpinan interpersonal, kecerdasan emosi, komunikasi secara empati dan kolaborasi kreatif dalam pembangunan akar umbi, berjaya mempengaruhi pemain-pemain muda ini mencapai prestasi yang diekspektasikan oleh organisasi JDT.
    Pada musim 2023 baharu bermula ini, nama seperti Adam Farhan Mohd Faizal (19 tahun) telah mendapat pengalaman berharga rentetan diberi kepercayaan untuk melakukan debut sulung dalam Liga Super Malaysia oleh Ketua Jurulatih Harimau Selatan Esteban Solari. Beraksi di posisi pertahanan kiri, pemain muda ini dilihat antara prospek Harimau Selatan di masa hadapan.
    Beliau dimasukkan pada minit ke-57 menggantikan La’Vere Corbin Ong ketika perlawanan keempat Liga Super Malaysia 2023 (LS4) antara JDT dan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 11 Mac 2023.
    Namun secara keseluruhannya, ini adalah kali kedua Adam Farhan diberi peluang beraksi dalam perlawanan kompetitif bersama Skuad Utama. Imbas kembali pada 11 November 2022, beliau telah membuat penampilan dalam perlawanan suku akhir kedua kejohanan TM Piala Malaysia 2022 ketika JDT bertemu Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim.
    KONSEPTUAL ORGANISASI JDT DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL
    JDT berperanan lebih besar daripada sebuah kelab yang hanya berjuang dalam permainan bola sepak. Konseptual organisasi ini telah membawa bersama nilai-nilai murni serta mempunyai empati yang kompleks terhadap masyarakat majmuk di Malaysia.
    Rasionalnya selain menerapkan asas perpaduan dikalangan Bangsa Johor serta para penyokong JDT amnya, JDT juga tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Interpretasi ini dibuktikan dengan responsif organisasi JDT dalam memberi pelbagai sumbangan sejak bertahun lalu seperti sumbangan kepada mangsa bencana alam, pembangunan keagamaan, asnaf, orang kurang upaya, merealisasikan impian kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan petugas barisan hadapan.
    Tahun demi tahun, usaha itu berterusan dan tidak pernah berhenti. Terbaharu pada 10 Mac 2023, melalui kenyataan yang dikeluarkan di Laman rasmi JOHOR Southern Tigers, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards menyatakan bahawa DYAM Tunku Mahkota Johor telah menitahkan agar kesemua jualan tiket di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri melibatkan perlawanan Liga Super menentang Kelantan FC (11 Mac), Sabah FC (31 Mac), Kedah FC (9 April) dan perlawanan Piala FA bertemu PDRM FC (14 April) disalurkan kepada mangsa yang terjejas akibat bencana banjir di seluruh negeri Johor.
    Akhir kata, JDT akan meneruskan perlawanan kelima (LS5) Liga Super Malaysia 2023 menentang Selangor FC pada hari Jumaat, 17 Mac 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor.
    Luaskan Kuasamu Johor! Semoga kejayaan milik kita!