Belum lagi berakhir, namun musim 2023 sudah dilihat sebagai tahun yang begitu luar biasa berikutan beberapa pencapaian cemerlang telah dicatat setakat ini oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    Dari sudut kontekstual, fenomena ini memprojeksikan bahawa setiap hierarki pasukan Harimau Selatan merangkumi dari pasukan akar umbi sehinggalah ke pasukan utama sentiasa bermotivasi untuk merealisasikan ekspektasi polisi dan falsafah yang telah disasarkan organisasi.

    KEJUARAAN LIGA SUPER MALAYSIA 2023, TROFI KE-25 HARIMAU SELATAN

    27 September 2023. Pada perlawanan ke-22 Liga Super Malaysia 2023 (LS22) menentang PDRM FC di stadium kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, JDT mencatatkan kemenangan 4-0 lantas dinobatkan selaku juara Liga Super Malaysia edisi ke-20 buat kali kesepuluh berturut-turut.

    Bukan sekadar retorik, kejuaraan ‘Perfect 10’ yang dilakar oleh JDT ini seharusnya satu pencapaian epik dan rekod yang sukar dipecahkan oleh mana-mana pasukan di masa hadapan kelak.

    Mengimbas kembali memorabilia indah di dalam kejohanan Liga Super Malaysia 2023, JDT melangsaikan misi pertama musim ini iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih buat kali kelapan dan mengutip mata penuh pada perlawanan pembuka tirai Liga Super Malaysia 2023 dengan menewaskan Terengganu FC 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Selepas itu, mata demi mata berjaya dikutip secara konsisten sehingga selesa di kedudukan superior carta Liga Super Malaysia 2023.

    Tidak mahu terbuai dengan kejayaan, realitinya perjuangan Harimau Selatan belum lagi tamat. Misi mengekalkan status ‘invincible’ buat kali keempat dan mempertahankan rekod kebal Stadium Sultan Ibrahim menjadi indikator dalam baki perlawanan musim ini.

    Dalam situasi terkini, JDT bakal berhadapan dengan 4 lagi baki perlawanan Liga Super Malaysia 2023 iaitu LS23 Kelantan United (28 Oktober 2023), LS24 Kuching FC (24 November 2023), LS25 Sri Pahang (3 Disember 2023) dan menutup tirai persaingan musim ini dengan bertemu Penang FC pada perlawanan ke-26 (17 Disember 2023).

    Paling memberi keterujaan penyokong-penyokong Harimau Selatan, Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim, Alistair Edwards telah mendedahkan bahawa sambutan ekstravaganza Dominasi Sedekad bakal diadakan pada malam perlawanan terakhir Liga Super Malaysia 2023.

    NGAUMAN HARIMAU SELATAN MENGEGARKAN BUMI THAILAND

    Peluang JDT di kompetisi liga bola sepak paling elit di Asia, Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2023/2024 edisi ke-42 kembali terbuka rentetan kejayaan mencatat kemenangan pertama peringkat Kumpulan I mengatasi BG Pathum United pada 3 Oktober 2023 di Stadium BG, Thailand.

    Beberapa perkara menarik yang telah tercatat pada perlawanan tersebut antaranya JDT berjaya menebus kekalahan 3-0 kepada BG Pathum United sekitar 8 tahun dahulu ketika aksi kelayakan kedua Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Leo, Bangkok pada 10 Februari 2015.

    Gol minit ke-14 Bergson da Silva merupakan gol ke-7 peribadi beliau dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) sejak debut dalam kejohanan elit ini pada musim 2021.

    Arif Aiman ​​Hanapi berjaya merekodkan jaringan peribadi beliau di kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) apabila meledak dua gol pada minit ke-7 dan minit ke-78 lantas berjaya melonjakkan nilai pemain muda ini secara drastik sehingga disenarai pendek sebagai #NEOMFutureStars bagi perlawanan ke-2 liga oleh halaman media sosial rasmi AFC Champions League.

    Tidak ketinggalan Juan Muniz juga telah menghasilkan gol pertama peribadi dalam kejohanan elit Asia ini pada minit ke-53.

    Perlawanan seterusnya, JDT akan terbang ke Republik Korea untuk perlawanan terakhir pusingan pertama peringkat Kumpulan I bertemu kelab sensasi Republik Korea (KLeague 1) Ulsan Hyundai FC pada 24 Oktober 2023 di Stadium Ulsan Munsu.

    29 TROFI DIJULANG AKADEMI JDT, INVESTASI YANG BERBALOI

    Produk Akademi JDT menjadi mekanisme utama dalam kesinambungan legasi JDT. Organisasi JDT juga mempunyai kesedaran yang amat kuat tentang kepentingan menginvestasi kepada projek memperkasakan teras akar umbi demi transisi yang kondusif buat empayar Harimau Selatan. Maka segala perancangan terperinci dan efektif telah disusun atur mengiringi sepanjang perjalanan mengimplementasikan aspirasi tersebut.

    Hasilnya bermula pada tahun 2018 hingga 2023, segala investasi ini menerima pulangan berbaloi apabila 28 trofi telah dijulang oleh Akademi JDT. Pencapaian untuk musim 2023 juga dilihat antara paling terbaik apabila 7 trofi telah berjaya dirangkul oleh Akademi JDT setakat ini antaranya JSE International Tournament 2023 (JDT B16), JSSL Singapore International 7s Under 13 (JDT B13), Garuda International Cup lll 2023 (JDT B12), Juara MSSM (JDT B15), Juara MSSM (JDT B17) dan Juara Borneo Cup (JDT B14)

    Tidak stagnasi di situ, pencapaian spektakular Akademi JDT bertali arus pada musim 2023 apabila skuad JDT lll kendalian Javier Jorda Ribera berjaya mempertahankan Piala Presiden buat kali kedua berturut-turut. Untuk rekod, pada musim gemilang 2022, skuad JDT lll berjaya membawa pulang trofi Piala Presiden ke bumi Johor buat kali pertama sejak kali terakhir piala itu dirangkul kira-kira 13 tahun lalu iaitu sekitar tahun 2009.

    Menyelongkar semula nostalgia serta retrospeksi, pada tanggal 11 Mac 2022, Akademi JDT telah dianugerahkan status Akademi Dua Bintang (Two-Star Academy) anjuran badan induk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah AFC Elite Youth Scheme berdasarkan lima kriteria khas meliputi aspek kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan.

    Akhir kata, usaha giat yang diperjuangkan oleh organisasi JDT telah menghasilkan fenomena luar biasa terhadap pencapaian, apresiasi, konseptual, budaya, perspektif dan hala tuju empayar kebanggaan ini!

    What Can You Do?