HARIMAU SELATAN — STABILITI MEREALISASIKAN MISI SATU DEKAD

    20 perlawanan berlangsung, 20 kemenangan berturut-turut, 60 mata terkumpul, 79 jaringan terhasil dan hanya bolos 4 kali sejak Liga Super Malaysia 2023 membuka tirai persaingan pada 24 Februari 2023. Inilah definisi keindahan kesempurnaan konsistensi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) musim ini.

    JDT menjaringkan 39 gol dari 10 perlawanan di tempat lawan manakala Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi terciptanya 40 gol yang terhasil dari 10 perlawanan yang berlangsung. Selain itu, JDT masih mengekalkan rekod cemerlang maraton 17 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri sejak 24 Jun 2022 dalam kejohanan Liga Super Malaysia.

    Paling menarik, satu pengalaman berbaloi bagi para penyokong Harimau Selatan apabila dihidangkan dengan jaringan-jaringan besar yang meledak di Stadium ikonik ini antaranya kemenangan 5-1 keatas Kelantan FC pada 11 Mac 2023, 4-0 ke atas Sabah FC pada 31 Mac 2023, 6-0 ke atas Kedah FC pada 9 April 2023, 6-1 ke atas Kelantan United pada 13 Mei 2023, 6-1 ke atas Kelantan United pada 3 Julai 2023 dan terbaharu, 5-0 ke atas Perak FC pada 13 Ogos 2023.

    Tidak stagnasi di situ, JDT kini menghampiri angka 100 jaringan untuk satu musim dalam liga domestik. Bukan sekadar retorik, sekiranya berjaya direalisasikan, ianya merupakan satu lagi coretan sejarah baharu buat kelab. Untuk makluman, JDT mencatat 14 jaringan untuk kejohanan Piala FA 2023 dan 5 gol untuk kejohanan Piala Malaysia 2023 menjadikannya 98 gol telah terkumpul setakat ini.

    PUSAT MEDIKAL DAN KECERGASAN JDT SOLUSI TERBAIK PEMULIHAN PEMAIN

    Di sebalik pencapaian menakjubkan tersebut, beberapa pemain bintang JDT telah dibelenggu kecederaan panjang antaranya penjaring terbanyak Liga Super Malaysia 2023 setakat ini Fernando Forestieri, penyerang prolifik Diogo Luis Santo dan perancang tengah berpengalaman Leandro Velazquez.

    Imbas kembali, perlawanan ke-16 (LS16) Liga Super Malaysia 2023 pada 8 Julai 2023 menjadi aksi terakhir Diogo Luis Santo sebelum beliau disahkan mengalami kecederaan. Pada 22 Julai 2023, penyerang sensasi JDT Fernando Forestieri pula mengalami kecederaan setelah dikasari pada minit-minit akhir Perlawanan Akhir Piala FA 2023. Sekitar 29 Julai 2023 ketika bertemu Selangor FC pada perlawanan ke-18 (LS18) Liga Super Malaysia 2023, Leandro Velazquez turut mengisi senarai pemain bintang Harimau Selatan yang mengalami kecederaan.

    Namun dari segi kontekstual, manfaat atas kemudahan fasiliti spektakular serta peralatan canggih yang menggabungjalin disiplin-disiplin seperti perubatan, pemakanan, sosiologi, fisiologi, psikologi dan biomekanik di Pusat Medikal Dan Kecergasan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), proses pemulihan pemain-pemain ini pastinya dapat disegerakan.

    PERKARA MENARIK MENGENAI HARIMAU SELATAN DI BULAN OGOS 2023

    Pada bulan Ogos 2023, Harimau Selatan dilihat giat berusaha memberikan tumpuan paling maksimum dalam mengharungi jadual yang padat dan tempoh rehat yang minimum.

    Beberapa perkara yang telah menarik perhatian umum pada bulan Ogos setakat ini antaranya Bergson da Silva telah mencatatkan jaringan hatrik kedua beliau musim ini dan hatrik ketujuh peribadi sejak 2021 ketika menewaskan Sabah FC 1-5 pada perlawanan ke-19 (LS19) Liga Super Malaysia 2023 di Stadium Likas, Kota Kinabalu.

    Pemain luar negara JDT yang berasal dari Sao Paulo, Brazil, Heberty Fernandes berjaya mengadaptasi falsafah kelab dengan pantas apabila menghasilkan 3 gol dalam 3 penampilan dalam Liga Super Malaysia 2023 dan 2 gol di ‘Round of 16’ pusingan pertama Piala Malaysia 2023.

    Sekitar 12 Ogos 2023, JDT yang sentiasa membuat kejutan mengesahkan telah menandatangani pemain kelahiran Fukuoka, Jepun, Takahiro Kunimoto dari Casa Pia A.C (Liga Portugal Betclic). Untuk rekod, pemain tengah ini pernah beraksi untuk kelab gergasi Asia seperti Gyeongnam FC dan Jeonbuk Hyundai Motors FC (KLeague 1).

    Menutup bulan Ogos, perlawanan ke-21 (LS21) Liga Super Malaysia 2023 menentang Kedah FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Sabtu, 26 Ogos 2023 merupakan perlawanan terakhir JDT sebelum Liga Super Malaysia 2023 berehat untuk beberapa minggu.

    Akhir kata, penyokong Harimau Selatan diseru untuk hadir bersama-sama mengiringi pemain Harimau Selatan di perlawanan kedua (2nd leg) peringkat ‘Round of 16’ Piala Malaysia 2023 menentang Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 19 Ogos 2023 ini.

    Semoga kita berjaya meneruskan kemaraan Harimau Selatan!

    Luaskan Kuasamu Johor!