
INOVASI DAN PENAMBAHBAIKAN, MENJADIKAN JDT LEBIH JAUH BERADA DIHADAPAN
“Apabila kami lakukan sesuatu, kami lakukannya dengan hebat! Malang untuk yang lain, mereka telah mengejutkan harimau yang sedang tidur. Sekarang harimau ini telah bangun, cergas dan lebih bermotivasi” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
JDT sentiasa menjadi perintis dan pencetus dalam memecah konseptual konservatisme landskap bola sepak Malaysia. Kesempurnaan objektif, hala tuju yang jelas serta berpandangan jauh amat signifikan kepada DYAM Tunku Mahkota Johor dan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Di masa kelab lain bergelut dengan individu yang lebih berminat mengejar populariti, masalah tunggakan gaji, masih tercari-cari identiti, penswastaan, pemilihan logo dan memburu pemain, JDT sudah jauh melangkah dalam menggapai aspirasi membina sebuah empayar.
REPRESENTATIF SEBUAH ASPIRASI
Pesimistik akan mengeluh kerana ribut, Fatalistik akan berharap cuaca cepat berubah, sementara orang yang realistik akan berusaha menyesuaikan arah layarnya agar kapal dapat berlayar.
Kebanyakan melihat pandemik COVID-19 sebagai suatu tragedi buat arena bola sepak negara, namun bagi DYAM Tunku Mahkota Johor serta organisasi JDT, musibah ini tidak sesekali menghalang fokus untuk terus memandang kehadapan.
Atas kesedaran tersebut, sekitar 28 Ogos 2020, baginda telah bertitah agar penambahbaikan perlu segera dilaksanakan sebelum permulaan musim 2021.
Penambahbaikan merangkumi pelbagai aspek antaranya fasiliti stadium, penyelenggaraan padang, pembaharuan teknologi peralatan latihan serta langkah konstruksi semula laman web Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
PROSES NAIKTARAF FASILITI BERKELAS DUNIA STADIUM SULTAN IBRAHIM
Dalam usaha mengekalkan reputasi Stadium Sultan Ibrahim sebagai stadium terbaik di Asia Tenggara, DYAM Tunku Mahkota Johor telah bertekad bahawa stadium ini harus mengutamakan dua elemen utama iaitu fasiliti berkelas dunia dan mempunyai padang berkualiti tinggi setanding dengan stadium-stadium terbaik di dunia.
Walaupun lapangan rumput Zeon Zyosia sedia ada telah mencapai standard Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA), itu tidak bermakna penambahbaikan akan berhenti serta merta. Sekitar 27 Oktober 2020, lapangan padang Stadium Sultan Ibrahim telah menjalani proses pembaharuan besar-besaran.
Secara eksplisit, perkara ini membuktikan bahawa baginda selaku pemilik JDT tidak leka dalam mempertingkatkan lagi aspek kualiti dan mahukan hanya yang terbaik berada di stadium ini. Disamping itu, pada masa yang sama, kerja-kerja menaiktaraf kawasan tempat duduk penyokong dan mencantikkan lagi kawasan-kawasan di sekitar Stadium Sultan Ibrahim turut sama dibuat.
PROJEK MEGA “JDT COMPOUND” MENJADI KENYATAAN
Stadium Sultan Ibrahim dan bangunan induk Ibu Pejabat JDT menjadi mercu tanda bagi Harimau Selatan. Manakala beberapa projek mega terbaharu bakal diimplementasi tidak lama lagi. Pada 29 Oktober 2020, laman rasmi JOHOR Southern Tigers (JST) telah mendedahkan bahawa pusat latihan baharu merangkumi stadium mini yang berkapasiti 5000 tempat duduk untuk Akademi JDT serta dua padang tertutup khas untuk pemain muda JDT yang berumur 12 tahun sehingga ke skuad utama akan dibina.
Projek ini akhirnya bakal menjadi kenyataan apabila pada 11 Disember 2020, secara rasmi DYAM Tunku Mahkota Johor menyatakan bahawa majlis pecah tanah bagi pusat latihan baharu ini dijangka akan berlangsung tidak lama lagi.
NAIK TARAF DAN PENAMBAHBAIKAN FASILITI PUSAT LATIHAN PROGRESIF DILAKSANAKAN
Merujuk kepada kenyataan rasmi kelab pada 17 Nov 2020, Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam akan melalui proses naiktaraf apabila lapangan padang akan ditambah baik serta lampu limpah sedia ada akan ditukarkan kepada pencahayaan LED walaupun ironinya organisasi telah mempunyai perancangan untuk berpindah ke pusat latihan yang baharu bersebelahan Stadium Sultan Ibrahim.
Tanpa menunggu masa yang lama, pelaksanaan perancangan itu telah dimulakan pada 11 Disember 2020 lalu apabila kerja-kerja menaiktaraf lampu LED baharu bagi Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam telah dimulakan. Bukan itu sahaja, penyelenggaraan padang dan pembinaan sebuah stor juga dibina sebagai fasiliti tambahan kepada pusat rehabilitasi.
PUSAT LATIHAN PASUKAN PELAPIS DAN AKDEMI JDT TURUT TERIMA PENAMBAHBAIKAN
Pada 11 Disember 2020, Pusat Latihan pasukan pelapis JDT yang digunakan oleh skuad JDT II serta skuad-skuad muda Harimau Selatan juga tidak terlepas dari projek naik taraf JDT. Penambaikan pusat latihan tersebut turut berada dalam struktur perancangan dalam memastikan fasiliti yang diberikan kepada para pelatih Akademi JDT adalah setaraf dengan pasukan utama.
Fasiliti seperti padang latihan dan gimnasium di Padang Mawar pula giat ditambahbaik walaupun tiada sebarang kejohanan melibatkan pelatih akademi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Selain itu, dalam memastikan para pelatih mengamalkan menu pemakanan harian seperti ditetapkan oleh pakar pemakanan JDT, sebuah cawangan baharu JDT Cafe akan dibina bersebelahan hostel serba lengkap yang telah disediakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
WAJAH BAHARU LAMAN WEB KELAB BOLASEPAK JOHOR DARUL TA’ZIM
Keperkasaan media sosial Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) amat dititikberatkan kerana ianya dilihat sebagai petunjuk yang baik bagi populariti dan nilai komersial kelab.
Sejak 1 Sept 2020, laman web Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berwajah baharu dan kompak dengan informasi serta bertindak sebagai pengkalan data bagi pemain-pemain JDT.
Pelawat boleh mendapatkan maklumat kelab, analisis data perlawanan, rekod dan statistik perlawanan secara terus melalui laman tersebut.
Untuk makluman, laman web Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah pemenang Laman Web Terbaik pada 2016, 2018 dan 2019 sejak anugerah tersebut diperkenalkan pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016.
Akhir penulisan, organisasi JDT sentiasa memberikan fokus dan perhatian kepada aspek kesempurnaan urus tadbir serta perancangan kewangan untuk penambahbaikan dan naik taraf fasiliti teras. Elemen-elemen tersebut dilihat pemacu utama dalam stabiliti dan kualitatif Harimau Selatan.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor