Kalendar Liga Malaysia musim 2021 secara rasminya ditutup pada hari Selasa, 30 November 2021. Secara faktualnya, musim 2021 akan sentiasa diingati sebagai musim yang begitu kompleks, padat dengan refleksi emosi dari awal musim hingga tamat kompetisi pada tahun ini.
    Namun introspeksi musim 2021 tetap memperlihatkan bahawa Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berada pada kelas yang sangat berbeza dalam eksplorasi kontinuiti memburu kejayaan- kejayaan baharu.
    KEJAYAAN BUKAN SEKADAR MERAIH PIALA, TETAPI JUGA BERKENAAN KONSISTENSI DALAM PERSAINGAN MEREBUT KEJUARAAN
    Pada musim ini, buat kali kelapan berturut-turut, JDT telah berjaya mempertahankan kejuaraan Liga Super Malaysia 2021 yang juga merupakan edisi ke-18 sejak liga bola sepak profesional di Malaysia diperkenalkan pada tahun 2004. JDT dinobatkan awal sebagai juara Liga Super Malaysia 2021 ketika liga masih berbaki dua perlawanan selepas membenam Sri Pahang 3-0 pada 27 Ogos 2021.
    Interpretasi muncul sebagai juara sebenarnya sudah terpapar awal. Imbas kembali, pada 5 Mac 2021 ketika turun menyempurnakan misi pertama musim baharu iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih, JDT telah berjaya menewaskan cabaran KDA FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan jaringan 2-0.
    Pada tarikh tersebut juga, satu sejarah baharu telah terlakar apabila JDT menjadi kelab paling lama mempertahankan Piala Sumbangsih setelah berjaya memonopoli kejuaraan selama empat tahun berturut-turut. Untuk rekod, JDT telah merangkul kejuaraan ini sejak tahun 2018 sehingga kini.
    Ironinya, pengaruh psikososial atas mentaliti, prinsip dan disiplin yang tinggi serta menakjubkan telah menghasilkan konsistensi bagi JDT. Berpandukan eksistensi elemen tersebut telah menjadi stimulasi kepada ketagihan keseluruhan komponen dalam organisasi mencetak lebih banyak kejayaan.
    KEJAYAAN MEMILIKI PEMAIN YANG BERNILAI TINGGI DALAM PASARAN GLOBAL
    Di samping pembangunan fasiliti, pemilikan pemain yang bernilai tinggi adalah salah satu aset paling relevan pasukan bola sepak. Pemain bintang muda seperti Arif Aiman (19 tahun) antara paling menonjol. Dalam usia semuda itu, beliau telah membuat penampilan sebanyak 31 kali dalam Liga Malaysia 2021, 5 penampilan pada persaingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2021 dan 2 kemunculan bersama pasukan kebangsaan ketika cabaran kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
    Musim 2021 juga merupakan musim cemerlang buat pemain bintang muda Harimau Selatan ini. Satu sejarah baharu tercipta apabila beliau tampil sebagai pemain paling muda menerima anugerah berprestij Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis virtual Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK2021). Selain itu, Arif Aiman juga merangkul dua lagi trofi iaitu Anugerah Penyerang terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.
    Pemain luar negara JDT yang berasal dari Alegrete, Brazil Bergson Gustavo Silveira da Silva pula tampil sebagai mesin gol baharu buat Harimau Selatan. Beliau telah menjaringkan 30 gol sepanjang 32 penampilan bersama JDT lantas diangkat sebagai penerima anugerah Kasut Emas musim 2021 di majlis virtual Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK2021).
    Namun kejayaan itu bukanlah sekadar catatan rekod peribadi. Bukan juga hanya berkenaan kejayaan personal. Namun ianya berkait rapat dengan mekanisme semangat kerja berpasukan yang unggul dalam JDT.
    KEJAYAAN MENARIK MINAT PENAJAAN ANTARABANGSA
    JDT dilihat menjadi ikon terbaik dalam menarik minat penaja. Dari segi kontekstual, koordinasi bersistematik yang merangkumi strategi, masa dan realistik dalam merencanakan hala tuju perjalanan kelab ini telah menjadi medan magnet untuk menarik minat penajaan syarikat-syarikat elit antarabangsa dalam usaha memanfaatkan kekuatan platform penjenamaan masing-masing melalui perkongsian publisiti dan populariti. Kejayaan pelan kontingensi yang dirangka organisasi dalam mendapat kepercayaan jenama antarabangsa ini, lantas mengkonsolidasikan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global.
    Jenama antarabangsa yang telah berkolaborasi bersama JDT adalah NIKE, HUBLOT, UNICEF, Spartan Stadion, SWAG Electric Vehicle, Subway, Aston Martin Racing dan Fraser & Neave (F&N).
    KEJAYAAN MEMBAWA NILAI PERPADUAN DAN MENOLAK UNSUR-UNSUR BERBAUR PERKAUMAN DALAM BOLA SEPAK
    JDT berperanan lebih besar daripada sebuah kelab yang hanya berjuang dalam permainan bola sepak. Konseptual organisasi ini telah membawa bersama nilai-nilai murni serta mempunyai empati yang kompleks terhadap masyarakat majmuk di Malaysia.
    Rasionalnya selain menerapkan asas perpaduan dikalangan Bangsa Johor serta para penyokong JDT amnya, JDT tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial dalam mencambahkan nilai-nilai perpaduan tanpa mengira ras dan agama. Interpretasi ini dibuktikan dengan responsif organisasi JDT untuk memberi kesedaran secara ekstensif menyatakan pendirian menolak sebarang unsur atau diskriminasi perkauman dalam permainan bola sepak.
    Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pula secara terbuka menyediakan ruang inklusif untuk kempen perpaduan sosial dalam mendidik keseluruhan Keluarga JDT mengenai nilai-nilai positif tersebut.
    Sebagai contoh, pada 2 November 2021, ketika perlawanan keempat peringkat kumpulan D TM Piala Malaysia 2021 menentang Sabah FA berlangsung, organisasi JDT telah menyeru lebih kurang 9 ribu penyokong yang berada di Stadium Sultan Ibrahim untuk berdiri dan memberi tepukan gemuruh sebagai inisiatif tanda solidariti kepada N.Thanabalan yang telah menghadapi unsur-unsur berbaur perkauman baru-baru ini.
    Akhir penulisan, kejayaan demi kejayaan realistik yang dijulang oleh organisasi JDT telah menghasilkan fenomena luar biasa terhadap penerimaan, apresiasi, konseptual, budaya, perspektif dan hala tuju kancah bola sepak Malaysia.