Umpama mempunyai butang mara laju, musim dua puluh dua puluh terasa sungguh pantas telah berakhir. Kemenangan lima kosong menentang Melaka United di Stadium Hang Jebat memuktamadkan bahawa secara rasminya Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sempurna dimahkotakan sebagai juara tanpa sebarang kekalahan buat kali kedua.
    Dua puluh sembilan mata dengan jurang perbezaan mata yang jauh antara JDT dan pasukan tangga kedua membuktikan Harimau Selatan berada dalam kelas berbeza sehingga tidak mampu dicabar oleh pasukan-pasukan lain di Malaysia.
    Menempuhi format secara separuh liga iaitu bermula daripada perlawanan kelima hingga perlawanan kesebelas bukan sesuatu yang mudah. Sedikit sahaja kesilapan atau tergelincir dari titik fokus dalam perebutan akan mengakibat segala misi akan menemui jalan yang krusial. Namun aplikatif atitud ‘Winning Mentality’ yang telah sebati dalam diri, JDT berjaya melaluinya dengan cemerlang lantas berjaya mempertahankan reputasi unggul sebagai sebuah kelab yang tidak dapat dikalahkan, kebal dan terlalu kukuh pada musim ini.
    TIADA APA MAMPU MERENCATKAN KETAGIHAN MENGEJAR KEJUARAAN
    Tiada sebarang halangan mampu menghalang ketagihan JDT dalam mengejar lebih banyak kejayaan.
    Kerana elemen itu, organisasi JDT dilihat sentiasa mahu mengimplementasi misi walaupun perjalanan persaingan tahun dua puluh dua puluh begitu kabur. Namun JDT sentiasa memandang ke hadapan dalam memastikan tiada seinci ruang bagi pasukan pesaing menganggugugat malah kekal dominan untuk terus berada di puncak singgahsana CIMB Liga Super Malaysia 2020.
    Ketika negara difasa kritikal penularan pandemik COVID-19 sehingga memaksa liga diberhentikan. Para pemain sentiasa dipantau tanpa kelalaian oleh barisan kejurulatihan serta DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Mentaliti, prinsip, disiplin yang tinggi dan terpuji juga telah berjaya ditunjukkan oleh pemain-pemain JDT, menjadikan skuad Harimau Selatan berada pada prestasi optimum untuk memulakan aksi pada bila-bila masa.
    Koordinasi latihan intensif berjadual yang konsisten dilakukan secara atas talian sejak bermula fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehinggalah mendapat kebenaran memulakan latihan secara kontak penuh mengikut prosedur operasi standard (SOP) Am Individu dan SOP Pengurusan yang ditetapkan dilihat direncana dengan sistematik, berkesan dan amat efektif.
    KARISMATIK JUARA BERTAHAN YANG TIDAK MAMPU DISAINGI
    Interpretasi muncul sebagai juara dua puluh dua puluh sebenarnya sudah terlihat sejak dari awal lagi. Imbas kembali, pada 28 Februari 2020 menjadi tanggal pembuka aksi CIMB Liga Super Malaysia 2020. Misi pertama musim baharu mengekalkan kejuaraan Sumbangsih telah berjaya dicapai. Paling tidak dapat dilupakan Piala Sumbangsih merupakan piala pertama berjaya dijulang di stadium paling berprestij dalam Malaysia iaitu Stadium Sultan Ibrahim.
    Pada perlawanan kedua dan ketiga kemenangan berturut-turut berjaya dicetak dengan menundukkan UITM FC dan PDRM FC. 14 Mac 2020, bertemu Felda United FC menjadi perlawanan terakhir sebelum direktif MFL memberhentikan semua perlawanan secara drastik. Sepuluh mata berjaya dikutip sepanjang empat perlawanan yang telah berlangsung. Tiga kemenangan dan satu seri menjadikan Harimau Selatan berada di kedudukan nombor satu sebelum semua perlawanan liga telah digantung.
    Selepas badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan Liga Malaysia dibenarkan bersambung pada 28 Ogos 2020, Harimau Selatan tidak menunggu masa yang lama untuk mencari rentak dan mempamerkan aksi begitu agresif sehingga berjaya mencatatkan keputusan-keputusan yang begitu menakjubkan malah amat mudah memperkotak-katikkan pasukan-pasukan yang dihebahkan sebagai kuasa baharu bola sepak Malaysia.
    ANTISIPASI KESAN DARI KOMBINASI
    Dengan kejuaraan kali ketujuh ini, terbukti kombinasi antara Luciano Figueroa dan Benjamin Mora adalah kombinasi paling terbaik yang bakal tercatat dalam sejarah perjalanan Harimau Selatan. Gandingan Argentina-Mexico ini berjaya mengadaptasi sempurna falsafah dan DNA JDT yang menerapkan kemahuan untuk mendominasi setiap perlawanan, kesedaran taktikal dan revolusi permainan kepada bola sepak moden.
    Gandingan mereka juga dilihat berjaya melahirkan pemain muda yang bercita-cita tinggi hingga mencetuskan peningkatan prestasi yang memberangsangkan seperti Muhammad Ramadhan Saifullah, Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhamad Feroz Baharudin.
    Akhir kata, DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa memantapkan keupayaan psikologi dalam Keluarga JDT. DYAM Tunku Mahkota Johor sentiasa mengingatkan bahawa hanya sifat percaya kepada diri sendiri adalah faktor utama mencapai sesuatu kejayaan hakiki. Baginda juga sentiasa optimis dalam membuktikan segala visi dan misi akan dapat dicapai mengikut tempoh sasaran. Bukan sekadar kata-kata, maka akhirnya TUJUH telah berjaya dibuktikan dengan penuh kegemilangan!
    “Matlamat bukan untuk hidup selama-lamanya, tetapi untuk “Mencipta” sesuatu yang akan hidup selama-lamanya”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
    Sumber artikel: Media JST
    Hidup Johor Demi Johor