
JDT BAKAL MEMBINA PUSAT LATIHAN BERTARAF DUNIA DALAM USAHA JUARA MALAYSIA TERSEBUT MEMBURU KEGEMILANGAN DI PENTAS BENUA
(Terjemahan artikel Sports Talk Florida, media sukan antarabangsa)
Johor Darul Ta’zim sedang membina salah satu fasiliti bola sepak paling canggih di Asia.
Juara Malaysia itu telah mendedahkan pelan pembinaan kompleks latihan seluas 39 ekar yang terletak bertentangan Stadium Sultan Ibrahim, gelanggang rasmi kelab di selatan Malaysia.
Ia akan menempatkan semua pasukan JDT bermula dari akademi hingga skuad senior. Pembinaannya dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun.
Skalanya cukup mengagumkan. Pelbagai padang rumput. Padang latihan tertutup. Pusat sains sukan dan rehabilitasi. Suite analisis prestasi. Fasiliti perubatan. Penginapan pemain. Gimnasium. Stadium mini. Auditorium. Semuanya di bawah satu bumbung, dalam satu kawasan, dibina mengikut piawaian antarabangsa.
Projek ini digerakkan oleh Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang juga merupakan pemilik kelab. Di bawah kepimpinan Baginda, JDT telah memenangi dua belas kejuaraan liga Malaysia berturut-turut, memecahkan pelbagai rekod di dalam dan luar negara, serta membina skuad dan infrastruktur yang setanding dengan kuasa besar bola sepak Asia. Pusat latihan baharu ini merupakan langkah seterusnya.
Ia hadir ketika musim yang cukup bersejarah. JDT kini berada dalam rekod tanpa kalah dan bakal mengharungi aksi final piala domestik pada 23 Mei. Operasi harian kelab dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Luis Garcia, bekas penyerang Barcelona dan Liverpool yang pernah memenangi Liga Juara-Juara UEFA di Anfield pada tahun 2005. Pelantikan beliau tahun lalu memberi isyarat kepada usaha lebih mendalam ke arah standard Eropah dalam setiap aspek pengurusan kelab.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, JDT telah membawa masuk pemain dan staf dari Eropah serta Amerika Selatan sambil meletakkan diri mereka sebagai kelab paling bercita-cita tinggi di rantau ini. Kompleks baharu tersebut mengukuhkan lagi hala tuju itu dan membuka ruang lebih besar untuk pencapaian yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Dalam satu kenyataan, kelab memaklumkan fasiliti tersebut akan menyokong pembangunan akar umbi dan akademi selain pasukan utama. Kelab turut menegaskan visi Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor adalah untuk memastikan JDT terus kekal kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa untuk jangka masa panjang.
Sumber: https://sportstalkflorida.com/…/jdt-to-build-world…/
Hidup Johor Demi Johor
