Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melalui perlawanan Piala Sumbangsih 2022, dua perlawanan Liga Super Malaysia 2022 dan melepasi pusingan pertama Piala FA 2022 sebelum direktif Malaysian Football League (MFL) supaya persaingan liga domestik berehat seketika sebelum bersambung semula pada awal bulan April kelak.
Sepanjang bulan Mac 2022, berikut beberapa perkara menarik yang menjadi tumpuan utama;
MAC 2022, KESINAMBUNGAN CATATAN GEMILANG PRODUK AKADEMI JDT
5 Mac 2022, Akademi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya menambah koleksi kejuaraan rentetan skuad JDT B13 telah menjuarai kejohanan Yakult Aidil Zaquan Cup 2022. Pada perlawanan akhir konkurensi tersebut, JDT B13 telah menewaskan TSS Selangor dengan keputusan 1-0.
Selain itu, beberapa pemain Akademi JDT turut meraih anugerah kategori individu yang diperkenalkan iaitu Arayan Hakeem Norizam (Pemain Paling Bernilai), Isma Harith Isyamuddin (Pemain Terbaik), Hakiim Rosli (Penjaga Gol Terbaik) dan Shakeel Saharizan (Best of 8 Player).
Pada tanggal 11 Mac 2022, Akademi JDT telah dianugerahkan status Akademi Dua Bintang (Two-Star Academy) anjuran badan induk Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah AFC Elite Youth Scheme berdasarkan lima kriteria khas meliputi aspek kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan.
Pada 13 Mac 2022 pula ketika perlawanan pusingan pertama Piala FA 2022 antara JDT dan BRM FC di Stadium Sultan Ibrahim, produk Akademi JDT yang beraksi bersama JDT ll iaitu K.Daryl Sham telah membuat penampilan dalam skuad utama buat kali pertama. Tindakan berani barisan kejurulatihan JDT dalam menurunkan Daryl Sham pada minit ke-60 membawa kepada jaringan pertama peribadi pemain muda ini bersama skuad utama pada minit ke-84.
TEORETIKAL PENGGILIRAN PEMAIN, PERSEDIAAN PRAKTIKAL UNTUK MUSIM YANG PANJANG
Sebermula perlawanan Piala Sumbangsih musim 2022 yang telah berlangsung pada 26 Februari 2022 sehingga kepada perlawanan pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac 2022, JDT telah mengimplementasi strategikal penggiliran pemain secara terancang apabila membariskan pemain-pemain yang berbeza pada setiap perlawanan.
Secara konseptualnya, teoretikal ini perlu dipratikkan agar JDT mempunyai sebuah skuad berkualiti berskala besar yang superior untuk menghadapi empat kejohanan iaitu Liga Super Malaysia, Piala FA, Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan Piala Malaysia.
Mengikut kenyataan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, pada musim 2022 ini, JDT berpotensi bermain lebih kurang 50 perlawanan sepanjang musim. Konsekuensi berdasarkan faktual tersebut, hanya proses penggiliran dilihat sebagai solusi efektif dalam membantu perkembangan pemain mencapai prestasi yang diekspektasikan oleh organisasi JDT.
Menurut beliau lagi, impak penggiliran juga akan membantu perkembangan di JDT II apabila pemain-pemain muda ini dapat menimba pengalaman berharga beraksi bersama pemain yang berpengalaman, sekali gus memastikan transisi inklusif ke pasukan senior seperti naratif kejayaan Arif Aiman Hanapi dan Ramadhan Saifullah.
JARINGAN SAFIQ RAHIM SETELAH KALI TERAKHIR PADA 4 TAHUN YANG LEPAS
Kemenangan 10-0 JDT ke atas wakil Liga M3, BRM FC dalam aksi pusingan pertama Piala FA 2022 pada 13 Mac 2022 memberi seribu satu makna buat pemain legenda JDT, Safiq Rahim apabila berjaya menjaringkan satu gol pada minit ke-7. Untuk rekod, kali terakhir beliau menjaringkan gol untuk JDT adalah pada 20 Julai 2018, iaitu kira-kira 4 tahun yang lalu ketika perlawanan Liga Super Malaysia 2018 menentang pasukan Kelantan FA di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.
Retrospeksi memorabilia detik kembalinya Safiq Rahim setelah meninggalkan JDT pada tahun 2018.
Sekitar 10 Februari 2021, organisasi JDT yang sentiasa membuat kejutan, telah mengumumkan bahawa pengurusan kelab mencapai satu persetujuan untuk membawa pemain ini kembali. Inspeksi kejayaan pemain tengah ini sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan sejak musim 2013 antaranya adalah kejayaan menjulang Piala AFC 2015, mendakap piala paling berprestij kejohanan domestik Liga Super Malaysia 2014, 2015, 2016, 2017, 2018 dan 2021, Piala FA 2016 serta Piala Malaysia 2017.
MEMPERSEMBAHKAN GANDINGAN JDT, UNIVERSAL MUSIC, JOE FLIZZOW DAN SNOOP DOGG
JDT kini giat menjalankan usaha bagi membolehkannya berdikari, dengan merangka pelan kontingensi dalam memperluaskan lagi nilai komersial dan pendedahan jenama JDT ke peringkat global. Satu proposisi dari sekadar nama bagi sebuah kelab yang muda dalam Malaysia ke sebuah jenama terkemuka.
Terbaharu, satu sejarah lagi telah tercipta.
Konsepsi organisasi JDT yang sentiasa menjadi pencetus dan perintis telah mengumumkan bahawa syarikat muzik paling ikonik dan berpengaruh di dunia iaitu Universal Music, melalui Universal Music Malaysia telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama bersama JDT. Untuk makluman, Universal Music memiliki rangkaian luas serta mengendalikan muzik rakaman, penerbitan muzik, barangan dagangan dan kandungan audiovisual di lebih 60 negara serata dunia.
Pada hari yang sama juga organisasi JDT telah melancarkan tayangan perdana video muzik eksklusif bertajuk ‘Pioneers’. Paling memberi keterujaan lagu tersebut adalah hasil kolaborasi antara artis legenda hip hop tanah air Joe Flizzow dan artis legenda hip hop dunia Snoop Dogg dengan potensi menarik lebih 75 juta tontonan.
Akhir kata, untuk perlawanan seterusnya, JDT akan meneruskan perlawanan LS3 Liga Super Malaysia 2022 menentang Kuala Lumpur City pada hari Rabu, 6 April 2022 di Stadium KLFA, Cheras. Ini adalah pertemuan kedua bagi kedua-dua pasukan bagi musim 2022, setelah kali terakhir bertembung ketika bersaing di kejohanan berbeza iaitu perebutan Piala Sumbangsih 2022 pada 26 Februari 2022 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Luaskan Kuasamu Johor! Berjuanglah!