
JDT – LEBIH DARI SEKADAR KELAB BOLA SEPAK
“Brand awarenes juga bermaksud pengiktirafan bahawa peranan JDT adalah lebih besar daripada hanya sebuah kelab bola sepak”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
‘Més que un club’ atau bukan sekadar sebuah kelab bola sepak. Seperti Barcelona FC, prinsip itu menjadi akar tunjang dalam organisasi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Dengan usaha kebajikan yang giat dilakukan oleh JDT sejak dari awal kewujudan lagi, maka pada 17 Disember 2020, inskripsi sejarah baharu terukir apabila JDT telah diumumkan akan menjalinkan kolaborasi global bersama organisasi antarabangsa UNICEF pada musim 2021. Sesuatu pengiktirafan yang tidak pernah terduga akan terjadi di Malaysia secara amnya.
Proklamasi penuh penghormatan, UNICEF telah memilih JDT menjadi satu-satunya kelab di Asia yang dilihat berpotensi besar menyampaikan mesej eksplisit mengenai kesedaran bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk membesar dengan sihat dan gembira, menjalani kehidupan dalam persekitaran selamat juga kondusif, melindungi perkembangan emosi, nutrisi serta masa depan mereka secara optimum.
KONSEPTUAL ORGANISASI JDT DAN TANGGUNGJAWAB SOSIAL
Kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh JDT dalam masa yang singkat merupakan satu transformasi yang berjaya dilakukan oleh DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dalam merevolusikan sukan utama tanahair ini.
Rasionalnya selain menerapkan asas perpaduan dikalangan Bangsa Johor serta para penyokong JDT amnya, JDT tidak ketinggalan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR). Interpretasi ini dibuktikan dengan responsif organisasi JDT dalam memberi pelbagai sumbangan sejak bertahun lalu seperti sumbangan kepada mangsa bencana alam, pembangunan keagamaan, asnaf, orang kurang upaya dan merealisasikan impian kanak-kanak yang kurang bernasib baik.
Di artikel ini, beberapa sumbangan yang paling diingati serta mampu memberi kesedaran yang amat tinggi mengenai peranan DYAM Tunku Mahkota Johor dan JDT dalam menggunakan kekuatan sukan menjadi transportasi memperkasakan kepekaan tanggungjawab sosial.
SUMBANGAN KEPADA MANGSA BENCANA
Masih segar dalam ingatan. Pada sekitar bulan Disember 2014, musibah bencana banjir telah melanda negeri-negeri pantai timur Malaysia ketika itu. Puluhan ribu mangsa terbabit dalam bencana tersebut. Persiapan barangan sekolah, buku-buku antara material yang musnah dan perlu bantuan segera memandangkan musim baharu persekolahan 2015 akan bermula.
DYAM Tunku Mahkota Johor yang mana ketika itu masih bergelar Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor telah berbesar hati memberi sumbangan derma kepada SUK Johor, Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terlibat dengan banjir di setiap negeri tersebut.
SUMBANGAN KEPADA MUHAMMAD ERWAN SHAH, KANAK-KANAK CACAT PENGLIHATAN
Pada sekitar 13 Ogos 2016, Muhamad Erwan Shah bin Mohd Fazli, kanak-kanak cacat penglihatan yang berasal dari Perak merupakan antara jutaan peminat dan penyokong setia Harimau Selatan. Impiannya ketika itu adalah bertemu DYAM Tunku Mahkota Johor dan para pemain JDT.
Rentetan dari perkhabaran yang tular hingga ke pengetahuan DYAM Tunku Mahkota Johor, baginda telah berkenan menaja perjalanan Erwan sekeluarga untuk datang menyaksikan perlawanan yang melibatkan JDT. Diterbangkan khas dari Perak dan menginap di sebuah hotel terkemuka di Johor Bahru, Erwan menerima layanan istimewa dari pihak pengurusan dan pemain JDT. Erwan sekeluarga turut dibawa menyaksikan latihan pasukan JDT di Padang Seri Gelam dan bertemu lebih dekat dengan para pemain.
SUMBANGAN KEPADA MUHAMMAD FITRI HAKIM, KANAK-KANAK YANG MENDERITA PENYAKIT JANTUNG KRONIK
Tidak berhenti di situ, kisah Muhammad Fikri Hakim yang menderita masalah jantung kronik kira-kira enam bulan selepas dilahirkan adalah kisah yang sentiasa diingati. Muhammad Fikri Hakim, peminat setia Harimau Selatan sebelum ini telah menyampaikan hasrat dan impian bertemu DYAM Tunku Mahkota Johor.
Perkara itu mendapat perhatian baginda lalu pada 21 April 2016, DYAM Tunku Mahkota Johor berkenan menyampaikan sebiji bola yang ditanda tangani semua pemain JDT, dua jersi yang dicetak nama panggilan manja Muhammad Fikri Hakim iaitu Acan serta sumbangan wang tunai.
Pada kunjungan tersebut juga, DYAM Tunku Mahkota Johor menyatakan bahawa JDT akan membiayai sepenuhnya kos rawatan jantung Muhammad Fikri Hakim.
SUMBANGAN KEPADA MUHAMMAD HAZREEL, KANAK-KANAK YANG MENGHIDAP PENYAKIT KULIT GENETIK
Muhammad Hazreel yang baharu berusia 5 tahun telah menghidap penyakit kulit genetik sejak dari kecil. Menjadikan DYAM Tunku Mahkota Johor sebagai idola dan mempunyai keinginan yang kuat untuk bertemu dengan baginda. Adik Hazreel juga merupakan peminat kecil JDT dan bercita-cita untuk menyaksikan perlawanan membabitkan JDT di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.
Maka pada 4 Oktober 2016, DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor dan DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor serta diiringi YAM Tunku Idris Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor berkenan melawat peminat setia JDT tersebut. Namun hasrat Muhammad Hazreel untuk menonton perlawanan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin tidak dapat ditunaikan atas kapasiti kesihatan beliau.
Pada pertemuan tersebut, DYMM Sultan Johor dan DYAM Tunku Mahkota Johor turut mengurniakan sumbangan bagi menampung segala perbelanjaan perubatan Muhammad Hazreel.
SUMBANGAN YANG BERTERUSAN TANPA MENGIRA STATUS
Sekitar Mei hingga Ogos 2019 DYAM Tunku Mahkota Johor telah meluangkan masa berangkat melawat ke daerah-daerah negeri Johor. Baginda juga berkenan untuk mengurniakan sumbangan kepada anak-anak yatim dan asnaf di semua lokasi-lokasi yang dilawati.
Antara lokasi bertuah tersebut adalah Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Mersing, Masjid IOI, Segamat, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Muar, Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, dan sumbangan kurnia kepada para Mualaf serta Anak-Anak Orang Asli Kampung Simpang Arang, Gelang Patah.
Akhir penulisan, sesungguhnya JDT bukan sahaja mengubah atmosfera bola sepak Malaysia tetapi juga representasi sebuah organisasi yang sentiasa mendokong nilai kemanusiaan, etika dan memiliki kesedaran sivik menakjubkan membantu kemelut sosial kanak-kanak dalam menyusuri arus modenisasi.
“Saya sentiasa mempunyai impian besar, tetapi saya tidak membuat rancangan hanya untuk diri sendiri”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor