“Dalam kehidupan ianya sangat penting untuk menyedari siapa diri kita dan dimana kita. Anda boleh mempunyai impian, tetapi harus realistik. Hiduplah dalam realiti dan bukan hanya berhalusinasi” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Sebuah impian memerlukan kesungguhan luar biasa untuk direalisasi. Dengan impian, ia membuatkan organisasi sentiasa progresif menuju destinasi.
DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah meletakkan impian demi impian dalam memastikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi sebuah empayar yang dinamik. Di saat segelintir individu dalam pasukan bola sepak Liga Malaysia yang baharu bereksprementasi dengan penswastaan hanya gemar memanipulasi impian supaya mendapat publisiti murahan untuk mewujudkan polemik.
Dalam naratif perjalanan JDT dari sejak mula hingga sekarang, impian diacu sendiri oleh DYAM Tunku Mahkota Johor. Dari sekecil impian bercambah menjadi besar, lalu berjaya menguatkan kelab kerdil ini menjadi sebuah kelab yang dominan dan sangat tersohor.
JDT MERAWAT BOLA SEPAK MALAYSIA YANG UZUR
“Setelah menjenamakan semula JDT sejak 2013, kita bukan sahaja telah mentransformasikan pasukan kita, malah mengubah seluruh landskap bola sepak Malaysia” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Masih ingat? Suatu masa dahulu, berpuluh-puluh tahun sebelum ini, liga Malaysia hanya dipandang sebagai sebuah liga yang tidak kompetitif, tiada berdaya saing dan tiada kualitatif. Ketika itu, liga penuh dengan birokrasi, penuh dengan korupsi dan dijajah sekelompok individu yang bersikap evasif.
Manakala ketika mana-mana pasukan Malaysia beraksi di kejohanan yang menghimpunkan kelab-kelab dari luar negara, wakil dari Malaysia hanya menjadi pelengkap perlawanan dan tidak mampu bersaing dengan setara.
Konsekuensinya kita tertinggal jauh dengan kemajuan dan peningkatan kelab-kelab nusantara. Malah untuk menewaskan kelab dari Indonesia dan Singapura juga kita langsung tidak berdaya!
Landskap regresif bola sepak Malaysia telah berubah sekelip mata apabila kebangkitan dan revolusi radikal DYAM Tunku Mahkota Johor terhadap JDT. Dalam masa hanya beberapa tahun, kerana kesempurnaan konstruksi, impian mengubah interpretasi orang luar terhadap Liga Malaysia telah berjaya diimplementasi.
Tapi sayang. Kebanyakan orang Malaysia telah dibutakan dengan kekaburan faktual. Akibat terlalu obses dan paranoid terhadap JDT dan DYAM Tunku Mahkota Johor, segala sumbangan JDT dipandang hanya sekecil partikel.
IMPAK CETUSAN REVOLUSI BERMULA DARI SELATAN
Imbas kembali, Liga Juara-Juara Asia (ACL) adalah hasil penstrukturan baharu yang telah dirangka. Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) melakukan penggabungan Piala Pemenang Asia dan Piala Super Asia antara musim 2002-2003.
Sejak itu, Liga Juara-Juara Asia (ACL) menjadi kejohanan tahunan liga bola sepak paling elit di Asia. Berstatus kejohanan tertinggi di Asia, menjadi impian semua kelab yang bernaung di bawah AFC bukan suatu perkara rahsia.
Untuk makluman, tiada rekod pasukan dari Malaysia berjaya bersaing dalam peringkat kumpulan sejak penjenamaan semula. Ketika itu, bersaing dalam kejohanan prestij seperti Liga Juara-Juara Asia (ACL) pula hanya seperti impian yang amat mustahil direalisasikan oleh wakil dari Liga Malaysia.
Impian tidak selamanya menjadi impian. Pada tahun 2019, JDT selaku kelab pertama dari Malaysia berjaya meloloskan diri untuk bersaing ke peringkat kumpulan.
Pada 8 Mac 2019, JDT telah membuat kejutan terhebat ketika menentang gergasi Jepun, Kashima Antlers di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos. Pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) JDT berjaya menundukkan kelab elit itu dengan satu jaringan tanpa bolos.
Satu pencapaian kontingensi berikutan reputasi unggul Kashima Antlers sebagai juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2018, yang mana pernah melangkah jauh sehingga ke perlawanan akhir bertemu barisan bintang Los Blancos di FIFA Club World Cup 2016.
Mulai daripada sejarah yang dicatatkan oleh JDT, perspektif dan mentaliti konvensional pasukan Malaysia telah berubah. Bila dulunya hanya mementingkan pertandingan Piala Malaysia, kini mereka lantang melaungkan slogan mahu bertempur ke pentas Asia!
Dahulu tanpa JDT mereka semua hanya menikus. Bila JDT mencetuskan revolusi baharu mereka berani menongkah arus?
JURANG DAN PERBEZAAN YANG SANGAT KETARA
“Terdapat jurang yang besar antara anda dan JDT”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Impian DYAM Tunku Mahkota Johor adalah menubuhkan sebuah pengurusan organisasi yang sentiasa efisien dan efektif. Kerana itu, pengurusan sentiasa ditambahbaik supaya sentiasa kondusif mencapai objektif.
Baginda juga amat memberikan fokus dan perhatian terhadap aspek kesempurnaan urus tadbir dan perancangan kewangan untuk fasiliti teras. Elemen-elemen tersebut dilihat pemacu utama dalam perkembangan mutu dan kualiti JDT yang berjaya diselaras.
Jika dibuat komparatif dengan pasukan lain di Malaysia, terdapat satu jurang yang amat besar. Kualiti dan kemajuan yang dikecapi JDT, terlampau jauh untuk dilihat hingga memerlukan bantuan binokular.
KELAB TERAWAL YANG DIIKTIRAF OLEH AFC
Pada tahun 2017, kaedah pelesenan kelab buat julung kalinya telah diperkenalkan. Setiap persatuan bola sepak negara anggota Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) harus mengeluarkan lesen namun ditimbang tara AFC dalam menentukan kelayakan sesebuah pasukan.
JDT mendapat pengiktirafan setelah menjadi pasukan terawal dalam Malaysia berjaya mendapatkan lesen tersebut. Disaat lain-lain pasukan masih disorientasi, kacau-bilau, serabut dan masih dalam situasi kelam-kabut.
Paling menarik, JDT telah menerima pujian dalam setiap formalisme, fungsional serta operasional. Kerana mempunyai pengurusan yang mampu untuk mengurus tadbir, mempunyai sumber kewangan yang mencukupi, menggunakan dana secara telus serta serius dalam membina sebuah kelab bola sepak yang berketerampilan profesional.
Badan induk Asia itu juga mengagumi setiap usaha-usaha drastik JDT dalam menyediakan kemudahan dan fasiliti yang sempurna khas buat para pemain. Dikala ada pasukan di Malaysia, hanya mampu menumpang kasih dan meminta simpati prasarana pasukan pesaing yang lain.
Akhir kalam, revolusi bola sepak Malaysia adalah bermula dari kemunculan Harimau Selatan. Hanya mereka yang berfikiran tidak rasional dan berhalusinasi sahaja yang mampu menafikan segala rumusan kenyataan.
“Di sesetengah tempat di dunia ianya disebut sebagai motivasi. Sesetengah pula menyebut sebagai kesombongan. Sesetengah lagi memanggilnya kemegahan. Muhammad Ali, Peninju Terhebat Sepanjang Zaman pula pernah mengatakan,’Tak mengapa bermegah jika anda boleh membuktikannya’” – DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.
Dayung sudah ditangan, perahu sudah di air,
Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel : Media JST
Hidup Johor Demi Johor
.