Pencetus revolusi, pelakar sejarah, pencipta rekod dan pemecah tradisi amat signifikan dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

    Konsekuensi daripada elemen tersebut, JDT telah menerima pelbagai pengiktirafan dan anugerah dalam dan luar negara, malah ada di antaranya tidak pernah dimiliki oleh mana-mana pasukan bola sepak walaupun bergelar legenda dan paling tua di Malaysia.

    PENGIKTIRAFAN DARI MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR)

    Malaysia Book of Records (MBOR) adalah badan rasmi yang mengiktiraf pemegang rekod, pemecah rekod dan bertindak sebagai pencatat pencapaian luar biasa dalam Malaysia. JDT merupakan satu-satunya kelab Liga domestik yang telah menerima sijil pengiktirafan Malaysia MBOR.

    Sekitar 24 Januari 2018, JDT telah menerima 4 pengiktirafan di atas pencapaian ‘spectacular’ serta menakjubkan sejak tahun 2013.

    Pengiktirafan itu meliputi 4 pencapaian. Pertama, JDT menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara memenangi Piala AFC pada tahun 2015. Kedua, JDT menjadi pasukan pertama muncul juara Liga Super empat musim berturut-turut dari tahun 2014 hingga 2017. Ketiga, JDT berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah selama 4 tahun di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin iaitu pada tahun 2013 hingga 2017 dan keempat, JDT mencatat rekod tanpa kalah dalam semua 22 perlawanan Liga Super Malaysia pada musim 2016.

    Pada 19 Julai 2019, termanifestasi sejarah baharu apabila sekali lagi JDT dianugerahkan sijil pengiktirafan MBOR apabila berjaya memperbaharui rekod sendiri yang dibuat pada tahun 2018 berikutan tampil sebagai kelab pertama di Malaysia memenangi Liga Super sebanyak enam kali berturut-turut iaitu pada tahun 2014 hingga 2019.

    KELAB PERTAMA ASIA TENGGARA YANG MENERIMA ANUGERAH SUPERBRANDS

    Superbrands adalah badan bebas dan arbiter penjenamaan. Superbrands telah mewujudkan Anugerah Superbrands sebagai satu medium penghormatan kepada sesuatu jenama yang berpotensi dan paling bernilai di pasaran. Anugerah ini juga dianggap sebagai ‘Oscars penjenamaan’ dalam dunia korporat.

    Pada 31 Oktober 2018, dalam majlis ‘Superbrands Malaysia Tribute Event’ yang berlangsung di Kuala Lumpur, JDT menerima pengiktirafan dari Superbrands untuk kategori Kelab Sukan manakala Southern Tigers Sdn Bhd menerima pengiktirafan untuk kategori Barangan Rasmi.

    Buat julung kalinya, pengiktirafan ini diberikan kepada sebuah kelab bola sepak Asia Tenggara lantas melonjakkan lagi penjenamaan JDT di peringkat global.

    JDT KELAB TERBAIK PIALA AFC SEPANJANG DEKAD

    Pada 3 Febuari 2020, satu penghormatan buat JDT apabila dicalonkan sebagai Kelab Terbaik Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Sepanjang Dekad. Undian tersebut dilaksanakan secara atas talian dan diadakan selama seminggu di laman web rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

    Hasilnya, pada 9 Febuari 2020, JDT berjaya mengetepikan cabaran empat lagi pasukan terkemuka setelah berjaya mendapat undian 80 peratus mengatasi Kelab Air Force (12 peratus), Qadsia FC (6 peratus), Kuwait FC (2 peratus) dan Al Ahed (1 peratus) lantas dinobatkan sebagai Kelab Terbaik Piala AFC Sepanjang Dekad.

    AKADEMI JDT PENERIMA PERTAMA ANUGERAH AHLI EMAS PIAGAM SUPARIMAU FAM

    Piagam SupaRimau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah diwujudkan pada tanggal 4 Mei 2019 dengan mekanisme meningkatkan taraf akademi bola sepak negara serta memastikan peringkat akar umbi sentiasa berada dalam landasan yang tepat. Piagam ini juga bertindak sebagai indikator kelayakan akademi bagi menyertai Liga Akar Umbi FAM. FAM juga telah membahagikan kepada beberapa peringkat piawaian melalui anugerah yang diberikan iaitu Ahli Gangsa (asas), Ahli Perak (lanjutan) dan Ahli Emas (Unggul).

    Pada 4 Ogos 2020, organisasi JDT menjadi perintis apabila pengurusan Akademi Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) diiktiraf sebagai akademi bola sepak pertama di Malaysia menerima anugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Setiausaha Agong FAM, Stuart Ramalingam menjelaskan bahawa pemilihan pasukan masa depan Harimau Selatan itu adalah berdasarkan lima kriteria khas meliputi aspek kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan.

    MENERIMA PENGIKTIRAFAN DAN ANUGERAH SUKAN DALAM NEGARA

    Kejayaan dan sumbangan JDT juga amat dihargai serta diakui oleh pengamal media arus perdana. Antaranya adalah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM). Sekitar 13 April 2016, dalam majlis Anugerah SAM-100PLUS 2015, JDT menjadi kelab pertama liga super Malaysia yang telah dianugerahkan Anugerah Khas 100PLUS. Anugerah berprestij kewartawanan sukan itu diberikan kerana mengiktiraf kejayaan kontingensi JDT dalam kempen Piala AFC pada tahun 2015.

    Anugerah Sukan Negara merupakan majlis anugerah sukan tahunan berprestij yang dianjurkan oleh Majlis Sukan Negara bermula tahun 1966. JDT adalah satu-satunya kelab bola sepak dalam negara yang menerima Anugerah Khas sejak kategori anugerah khas ini diperkenalkan pada tahun 1986. Imbas kembali, pada 13 Mac 2018, JDT menerima Anugerah Khas 2017 atas penghargaan dari sumbangan, kejayaan dan pencapaian yang dicapai oleh JDT.

    Selain itu, JDT terus unggul gah dipersada bola sepak negara apabila mempertahankan anugerah pasukan terbaik buat kali ketiga berturut-turut pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2020 Virtual selepas menungguli pada tahun 2018 dan 2019.

    Akhir kata, penghargaan, pengiktirafan dan anugerah yang diterima JDT membuktikan bahawa implementasi yang dilakukan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor telah menghasilkan fenomena luar biasa terhadap konseptual, budaya, perspektif dan hala tuju sukan utama Malaysia ini yang selama ini terbelenggu dengan fundamental tipikal, lapuk dan konservatif.

    “Salah satu cara untuk berjaya bukanlah dengan mencari dana untuk bertanding dari tahun ke tahun, tapi untuk membangunkan organisasi yang mampu berdikari dan berdaya saing untuk jangka masa panjang”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor