Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah melepasi halangan peringkat kalah mati ‘Round of 16’ dan kini sedang bersiap sedia berjuang di dua pusingan peringkat Suku Akhir Piala FA 2024. Dalam pada masa yang sama, JDT mengekalkan rentak kemenangan dan terus konsisten mengutip mata penuh dalam kejohanan Liga Super Malaysia 2024-25.

    LANGKAH BERTENAGA MENUJU PERINGKAT SUKU AKHIR PIALA FA 2024

    Kemenangan 4-0 JDT ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN) pada 15 Jun 2024, peringkat kalah mati ‘Round of 16’ di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri telah mengesahkan kemaraan JDT ke peringkat seterusnya.

    Beberapa perkara menarik yang telah tercatat pada perlawanan tersebut antaranya debut pertama pemain luar negara baharu JDT kelahiran Espírito Santo, Brazil, Murilo Henrique. Beraksi di posisi pertahanan kiri, pemain berjersi nombor 11 ini diberikan mandat beraksi sehingga tamat perlawanan.

    Gol minit ke-61 Romel Morales dan gol minit ke-82 Francisco Geraldes merupakan debut jaringan masing-masing sejak menyarung jersi Harimau Selatan.

    Masuk menggantikan Oscar Arribas pada minit ke-58, pemain bintang berpotensi tinggi Harimau Selatan, Arif Aiman ​​Hanapi membuat penampilan pertama musim ini setelah tidak beraksi beberapa bulan akibat kecederaan. Tanpa menunggu lama, pada perlawanan ini juga, beliau berjaya membuka akaun jaringan musim 2024-25 setelah meledak satu gol melalui sepakan penalti pada minit ke-94.

    JDT dijadualkan bakal bertemu Malaysia University Football Team (MUFT) dalam aksi timbal balik peringkat suku akhir Piala FA 2024. Badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) telah mengesahkan bahawa tarikh rasmi pertembungan itu akan berlangsung pada 29 Jun 2024 di lokasi yang akan diumumkan kemudian (1st leg) dan 5 Julai 2024 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri (2nd leg).

    12 MATA SEMPURNA, HARIMAU SELATAN BERADA DI PUNCAK LIGA SUPER MALAYSIA 2024-25

    Ironinya, sosiobudaya penganjuran dan tatacara perjalanan pasif Liga Super Malaysia 2024-25 tidak sama sekali merencatkan fokus Harimau Selatan. Selepas mencatat kemenangan besar 1-5 ke atas Kuala Lumpur City pada perlawanan ketiga (LS3) Liga Super Malaysia 2024-25 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 25 Mei 2024, JDT meneruskan rentak kemenangan dengan menewaskan Sri Pahang FC 3-0 pada 22 Jun 2024, perlawanan keempat (LS4) Liga Super Malaysia 2024-25 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Jaringan hatrik Heberty Fernandes pada minit 4’, 66’ dan 87’ telah mencetuskan kemenangan keempat berturut-turut Harimau Selatan lantas mengekalkan kedudukan di puncak Liga Super Malaysia 2024-25 sejak Mei 2024. Untuk rekod tambahan, hatrik tersebut merupakan hatrik peribadi pertama pemain luar negara JDT yang berasal dari Sao Paulo, Brazil ini sejak membuat debut sulung bersama JDT pada 29 Julai 2023.

    Tidak stagnasi disitu, kemenangan itu menyaksikan JDT merentasi 64 perlawanan tanpa tewas dalam keseluruhan perlawanan Liga Super Malaysia sejak 30 April 2021. JDT turut meneruskan rekod cemerlang maraton 23 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri sejak 24 Jun 2022 dalam kejohanan Liga Super Malaysia termasuk 32 perlawanan tanpa tewas digelanggang sendiri dalam keseluruhan perlawanan Liga Super Malaysia sejak 25 Julai 2021.

    JDT akan meneruskan aksi kelima (LS5) Liga Super Malaysia 2024-25 dengan berkunjung ke Stadium Likas, Kota Kinabalu menentang Sabah FC pada Khamis, 13 Julai 2024, 8.15 malam.

    Akhir kata, ketika dalam sebuah perjuangan terdapat cabaran yang besar, bermakna keberhasilan yang menanti juga lebih besar. Kami lihat, kami mahu, kami usaha, kami dapat.

    Luaskan Kuasamu Johor!