Liga Super Malaysia 2021 baharu sahaja menempuhi perlawanan ketiga. Dua kemenangan menentang dua wakil kelab utara iaitu Kedah FC dan Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dan satu kemenangan di Stadium UiTM, Shah Alam menentang UiTM FC menyaksikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sempurna mengumpul sembilan mata penuh, menghasilkan lapan jaringan gol dan paling membanggakan gawang Harimau Selatan sehingga kini masih kebal tanpa bolos.
Sepanjang tiga perlawanan yang telah dilalui, berikut beberapa perkara menarik yang menjadi tumpuan utama;
HASIL FALSAFAH, KEMAJUAN DAN PROJEK PEMBANGUNAN AKAR UMBI
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan sebuah kelab yang mempunyai misi, visi dan aspirasi yang telah diatur dengan rapi sejak kewujudan. DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor juga mahukan JDT sentiasa bersedia untuk berkembang dari musim ke musim. Sentiasa dahagakan kejayaan dan sentiasa berkemahuan tinggi untuk menggapai lebih banyak kemajuan.
Falsafah JDT yang menerapkan kemahuan untuk memenangi setiap perlawanan, kesedaran taktikal dan revolusi permainan kepada bola sepak moden juga tidak pernah berubah. Berikutan kejayaan DYAM Tunku Mahkota Johor mengimplementasikan jalan keluar JDT dari pemikiran retrogresif bola sepak Malaysia, sejarah demi sejarah telah berjaya dicetak sejak 2013.
Sehingga kini, JDT kekal berdiri sebagai sebuah kelab profesional yang dilengkapi pengurusan, fasiliti dan penyokong yang terbaik malah menjadi hub pembangunan akar umbi (Grassroot Development). Menjadikan Arif Aiman dan Muhd Ramadhan Saifullah Usman sebagai contoh, akademi JDT kini dilihat sudah mula memproduksi bakat-bakat muda. Tindakan berani JDT dalam menurunkan bakat-bakat muda ini ketika perlawanan penting telah memberikan mereka peluang dalam merasakan intensiti ketika bermain dengan skuad utama. Faktor kepercayaan dan apresiasi yang dikecapi, pemain-pemain muda ini dilihat lebih matang serta berjaya mempertingkatkan prestasi secara optimum.
FORMULA RAHSIA DYAM TMJ MENARIK PERHATIAN MEDIA ANTARABANGSA DAN TOKOH DUNIA
Rentetan kejayaan JDT yang dicetuskan oleh formulasi spektakular DYAM Tunku Mahkota Johor telah berjaya menarik perhatian dunia.
Untuk makluman, sepanjang bulan ini nama DYAM Tunku Mahkota Johor menjadi sebutan dan amat popular dikalangan media tempatan dan antarabangsa terutamanya daripada Sepanyol. Berita mengenai kredibiliti dan kejayaan baginda dalam masa yang singkat antara berita hangat dibincangkan.
DYAM Tunku Mahkota Johor turut menerima panggilan video daripada beberapa individu yang amat berpengaruh dan intelektual dalam kancah bola sepak dunia seperti presiden La Liga, Javier Tebas dalam perkongsian idea serta membincangkan beberapa isu berkaitan perkembangan bola sepak secara khususnya.
JDT MUNCUL KELAB PERTAMA DALAM SEJARAH PIALA SUMBANGSIH MENJULANG KEJUARAAN EMPAT TAHUN BERTURUT-TURUT
Piala Sumbangsih merupakan perlawanan pembuka tirai bagi musim baharu Liga Super Malaysia. Perlawanan ini pertama kali diperkenalkan pada Liga Malaysia semi-pro musim 1985. Piala Sumbangsih 2021 pula merupakan edisi yang ke 36.
Pada musim ini, satu sejarah telah terlakar apabila DYAM Tunku Mahkota Johor dan JDT muncul sebagai pemilik dan kelab paling lama mempertahankan Piala Sumbangsih setelah berjaya memonopoli kejuaraan selama empat tahun berturut-turut. Satu pencapaian yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana pasukan walaupun berstatus legenda sejak tahun 1985. Untuk rekod, JDT telah merangkul kejuaraan ini sejak tahun 2018 sehingga kini.
Piala ini juga merupakan piala ketiga yang berjaya di julang di stadium penuh kegemilangan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
14 MAC, GENAP SATU TAHUN STADIUM SULTAN IBRAHIM TANPA PENYOKONG
14 Mac 2021, sudah genap satu tahun penyokong Harimau Selatan tidak dibenarkan menjejakkan kaki di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Imbas kembali, tiada siapa sangka, tarikh 7 Mac 2020 ketika perlawanan kedua Liga Super Malaysia 2020 JDT menentang UITM merupakan perlawanan terakhir penyokong hadir ke Stadium Sultan Ibrahim menyaksikan secara langsung kelab kebanggaan ini beraksi. Pada malam itu seramai 24,387 orang penyokong memenuhi stadium ikonik Harimau Selatan. Stadium Sultan Ibrahim juga telah muncul sebagai gelanggang yang merekodkan kehadiran paling tinggi dalam dua perlawanan berturut-turut.
Konsekuensi usaha membendung penularan pandemik Covid-19, satu direktif dari badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) menangguhkan semua perlawanan Liga Super Malaysia 2020.
Maka sekitar 14 Mac 2020, perlawanan keempat menentang Felda United FC menjadi perlawanan terakhir JDT di Stadium Sultan Ibrahim. Namun ketika itu, perlawanan telah mula diadakan tanpa penyokong berdasarkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) serta garis panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) juga Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Penantian satu penyeksaan. Kerinduan penyokong pastinya tidak terbendung. Namun ketika ini seperti satu sinar sudah kelihatan. Mengikut perkembangan sebelum ini, satu usaha giat yang positif dalam membawa masuk penyokong berskala kecil telah dibuat. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan cadangan permohonan kepada pihak berkuasa kapasiti sepuluh peratus penyokong akan diiringi Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat. Jika segala perancangan berjalan lancar dan secara rasmi permisif dikeluarkan, Stadium Sultan Ibrahim akan kembali gegak gempita dengan sorakan penyokong walaupun kehadiran yang dibenarkan dalam kuota terhad.
Akhir kata, musim 2021 masih panjang. Secara konseptualnya, mekanisme memperhebatkan keupayaan komposisi corak pemikiran ‘winning mentality’ adalah fundamental paling penting dalam menghasilkan konsistensi bagi setiap perlawanan yang padat.
“Kelab ini akan sentiasa dikenang kerana pencapaiannya yang luar biasa di dalam dan di luar padang. Kami menetapkan penanda aras dan yang lain mengikutinya. Secara tidak langsung ia mengangkat standard dan imej bola sepak Malaysia”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Luaskan Kuasamu Johor! Berjuanglah!