Persaingan sihat merupakan istilah yang kerap digunakan di dalam sukan bola sepak. Istilah ini juga sangat kuat diperkatakan sebagai satu jalan alternatif paling ideal bagi setiap pemain yang bercita-cita untuk menjadi yang terbaik. Namun untuk menjadi yang terbaik mereka perlu terlebih dahulu bersaing dengan pemain lain yang berada dalam pasukan yang sama.

    ELEMEN PENTING DALAM MEMBINA KELAB YANG UNGGUL

    Pesaingan sihat antara pemain adalah elemen penting dalam peningkatan prestasi pemain. Ianya juga merupakan fundamental utama bagi mewujudkan sebuah pasukan profesional yang mempunyai nilai kompetitif, berdaya saing dan berkemampuan mengekalkan prestasi secara konsisten dalam apa jua perlawanan tempatan mahupun antarabangsa.

    Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sentiasa berada dalam kitaran dimana setiap pemain harus bekerja keras untuk bersaing mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama. Sebesar mana reputasi atau nama seseorang pemain tempatan mahupun pemain luar negara, mereka masih perlu memastikan kesungguhan dan usaha maksima membuktikan kemampuan.

    KESEIMBANGAN PERSAINGAN DALAM PASUKAN

    Kesemua pemain yang dipilih mewakili JDT adalah dikalangan para pemain terbaik. Masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri sekaligus menjadikan persaingan merebut tempat kesebelasan utama begitu mencabar. Namun dari segi sudut positif, ianya menjadi alteratif pemacu swadaya pemain supaya lebih bersemangat untuk memberikan aksi terbaik sepanjang sessi latihan.

    Dengan adanya pemain-pemain terbaik dalam skuad Harimau Selatan, ianya juga dapat mewujudkan keseimbangan persaingan antara pemain apabila semua pemain memerlukan antara satu sama lain untuk memaksa diri bagi melonjakkan prestasi mereka dari hari ke hari.

    PERSAINGAN YANG MENINGKATKAN PRESTASI PEMAIN

    Ironinya sesetengah pemerhati bola sepak tempatan merasakan adalah satu kesilapan bagi seseorang pemain itu memilih JDT sekiranya hanya duduk dibangku simpanan. Ini adalah satu tanggapan yang dikategorikan sebagai bersifat antipersaingan. Dengan wujudnya ideologi antipersaingan ini akan mengakibatkan prestasi seseorang pemain itu tidak dapat dicapai secara optimum.

    Di JDT, pemikiran negatif, regresif dan antipersaingan itu sama sekali tidak dibenarkan berada disini. Pemain dimotivasikan supaya terus mempertingkat daya usaha sehingga mencapai hasil yang dimahukan.

    Walaupun persaingan hebat antara pemain-pemain Harimau selatan dapat dilihat secara jelas, namun ianya tidak bermakna akan mengakibatkan pemain itu dibelenggu masalah depresi.

    Ini kerana elemen kekuatan ikatan kekeluargaan. Di JDT, semangat kekeluargaan yang kuat telah dahulu dipaksikan dalam jiwa setiap pemain. Kuatnya ikatan tersebut, menjadikan keseluruhan pemain berada dalam suasana tenang dan harmoni walaupun hakikatnya perlu bersaing hebat untuk merebut tempat.

    PERSAINGAN MENJADIKAN PEMAIN
    MUDA SEMAKIN MATANG

    Pembangunan akar umbi adalah perkara lazim yang menjadi keutamaan dalam kesinambungan kejayaan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Dengan kesedaran yang kuat atas kepentingan teras jangka hayat Harimau Selatan, segala perancangan terperinci telah diaturkan demi kelancaran perjalanan mengimplementasikan aspirasi tersebut. Antaranya membawa pemain-pemain muda yang dilihat berpotensi untuk bersaing merebut tempat dalam skuad utama.

    Hasilnya, pemain-pemain muda kini semakin meningkat kesan dari persaingan sihat dalam pasukan rentetan JDT berani menurunkan bakat-bakat muda ini merasakan depresi bermain dengan skuad utama.

    Perancangan ini juga dilihat berjaya melahirkan pemain muda yang bercita-cita tinggi. Ianya terjadi setelah pemain-pemain tersebut akan sedaya upaya menjadi sehebat pemain-pemain senior hingga mencetuskan peningkatan prestasi yang unggul.

    Ini telah dibuktikan oleh pemain muda berbakat Harimau Selatan iaitu Arif Aiman Mohd Hanapi dan Muhd Ramadhan Saifullah Usman yang kini berada pada prestasi memberangsangkan apabila berjaya memberi saingan merebut tempat dikalangan pemain lebih senior dalam pasukan.

    Imbas kembali beberapa tahun yang lalu dengan menjadikan Safawi Rasid serta Afiq Fazail sebagai contoh, mereka hanya bermula sebagai pemain muda yang sering memanaskan bangku simpanan atau bermula dari JDT ll. Namun atas usaha giat dan tidak mengalah dalam bersaing, akhirnya usaha mereka membuahkan hasil apabila menjadi antara pemain yang konsisten mengisi kesebelasan utama Harimau Selatan.

    Akhir kata, tidak boleh disangkal lagi peranan JDT amat besar dalam membantu menaiktaraf kualiti pemain-pemain tempatan. Dengan segala fasiliti, infrastruktur, pusat latihan bertaraf dunia serta persaingan sihat, akhirnya telah memberi impak yang besar kepada persembahan pemain-pemain JDT yang dipilih beraksi untuk negara.

    Sumber artikel: Media JST

    Hidup Johor Demi Johor