Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini berada di landasan yang terbaik dalam mencapai lebih banyak kejayaan. Kejayaan kini telah menjadi satu ketagihan dan organisasi dilihat sentiasa agresif untuk terus menjejak lebih lagi naratif kecemerlangan di masa hadapan.
    Berpegang pada dogma tersebut, keseluruhan komponen dalam organisasi sentiasa berusaha memantapkan pasukan sedia ada, memperkukuhkan lagi jenama, menambah aset bertaraf dunia dan melonjakkan superioriti setiap pemain muda.
    MENAMBAH KEKUATAN HARIMAU SELATAN, MUKA BAHARU YANG AKAN MENYARUNG JERSI MERAH BIRU
    JDT telah melalui perlawanan keenam serta mengungguli singgahsana Liga Super Malaysia 2022, mengesahkan kemaraan melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA 2022 dan layak ke pusingan kalah mati enam belas terbaik Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41 sebelum berehat lebih kurang sebulan bermula 18 Mei 2022.
    Secara rasionalnya, dalam memastikan JDT tidak terlalu selesa seterusnya mengekal momentum pada cabaran mendatang, beberapa pelan kontigensi telah direncana sepanjang tempoh rehat tersebut.
    Maka pada jendela perpindahan kedua untuk Liga Super Malaysia 2022 yang dibuka semula bermula 28 Mei sehingga 24 Jun 2022, Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards telah mengumumkan dalam satu kenyataan rasmi melalui platform media sosial rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) pada 30 Mei 2022 bahawa JDT akan menandatangani beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan pertengahan musim kelak. Pemain-pemain tersebut bakal memantapkan lagi kekuatan skuad Harimau Selatan dalam masa terdekat.
    Bukan sekadar retorik, barisan pemain yang terpilih pastinya adalah dikalangan pemain-pemain bola sepak yang mempunyai karisma, abiliti, kreativiti, kredibiliti dan kualiti spektakular untuk menyarung jersi merah biru ini.
    PENTAS BESAR SPARTAN STADION, STADIUM SULTAN IBRAHIM MEMBAWA JENAMA JDT MELANGKAUI SEMPADAN
    Tanpa sedar, masa telah berlalu dengan pantas. Kini Stadium Sultan Ibrahim telah meniti usia dua tahun dan memasuki pascabaharu dalam era komersialisasi apabila tampil antara stadium terbaik di Asia Tenggara serta mendapat pengiktirafan eksklusif diperingkat global.
    Sekitar 13 April 2021, JDT telah membuka satu lagi lembaran sejarah baharu apabila Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai salah satu lokasi acara Spartan Stadion buat pertama kalinya di Malaysia. Acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 3 dan 4 September 2021 namun terpaksa ditunda akibat pandemik COVID-19 yang mengintimidasi.
    Namun bertarikh pada 1 Jun 2022, melalui perkongsian media sosial rasmi JDT, Stadium Sultan Ibrahim kekal sebagai salah satu gelanggang Spartan Stadion dan acara itu akan diadakan pada 24 September 2022.
    Untuk makluman, Spartan Stadion adalah perlumbaan sejauh 5 kilometer dengan 20 rintangan serta berlangsung di dalam stadium. Diinspirasikan daripada temasya Olimpik pertama hampir 3000 tahun yang lalu, Spartan Stadion telah dibawa kembali bersama format moden, yang diadakan di stadium paling ikonik terpilih di serata dunia sebagai Koloseum.
    ASET BERTARAF DUNIA, STATUS TERKINI PUSAT LATIHAN BAHARU BERKONSEP JATA JDT
    Walaupun JDT sudah mempunyai prasarana dan fasiliti yang cukup lengkap, ia tidak bermakna segala projek naik taraf menemui jalan penamat.
    Sekitar Disember 2019, organisasi JDT telah mengorak langkah terbaharu apabila mengumumkan perancangan pembinaan pusat latihan baharu ‘JDT Compound’ yang berlokasi di Iskandar Puteri pada masa akan datang. Pusat latihan baharu yang mahu dibangunkan kelak akan disasarkan tampil sebagai antara sepuluh terbaik di dunia.
    Umpama impian menjadi kenyataan, pada 23 Mei 2021, media sosial rasmi JDT telah memuatnaik beberapa gambar menunjukkan lokasi sebenar Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) baharu yang sedang giat dibersihkan.
    Bagai menterjemahkan keterujaan, pada 18 Oktober 2021, organisasi JDT telah mendedahkan kepada umum Pelan Lantai dan ilustrasi pusat latihan baharu yang telah dimuktamadkan. Pelan lantai tersebut menunjukkan Pusat latihan baharu akan dibina bertentangan Stadium Sultan Ibrahim. Ianya akan dilengkapi Grandstand Stadium Mini, bangunan JDT III & IV dan Klinik JDT. Paling menarik perhatian bangunan pejabat pentadbiran dua tingkat yang dibina adalah berbentuk jata kebanggaan Harimau Selatan serta dikelilingi 8 buah padang latihan.
    Terbaharu pada 8 Jun 2022, media sosial rasmi JDT telah memuatnaik gambar terkini kerja-kerja meratakan tanah Pusat Latihan baharu tersebut.
    PENGIKTIRAFAN PENUH PENGHARGAAN, AKADEMI JDT PENERIMA PERTAMA ANUGERAH 2 BINTANG AFC
    Hasil kerjasama dan sinergi dinamik dari kelab-kelab terkemuka dunia, JDT telah mendapat suntikan modul-modul latihan yang baharu dalam meningkatkan kualiti permainan dan melonjakkan superioriti setiap pemain muda yang berada dalam akademi JDT.
    Ketika ini, JDT telah menjadi satu-satunya kelab bola sepak di Malaysia yang menyediakan fasiliti bagi pemain akademi pasukan. Hanya dalam beberapa tahun selepas kolaborasi, perkongsian idea dan ilmu dengan kelab-kelab terkemuka tersebut, organisasi JDT telah memiliki 3 pusat latihan dinaiktaraf dengan kemudahan-kemudahan sofistikated dan bertaraf dunia. Segala fasiliti ini dikhususkan khas untuk skuad akar umbi yang berlokasi di Padang Tapak Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bahru, Padang Mawar di Pasir Gudang dan Stadium Mini Taman Ungku Tun Aminah di Skudai.
    Pada 6 Jun 2022, organisasi JDT menjadi perintis apabila Akademi Bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) diiktiraf sebagai akademi bola sepak pertama di Malaysia menerima anugerah status Akademi Dua Bintang (Two-Star Academy) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di bawah AFC Elite Youth Scheme.
    Akhir kata, hasil dari persediaan, kerja keras, dan belajar dari kegagalan, JDT telah mencipta masa hadapan pada hari ini.
    Luaskan Kuasamu Johor!