Jendela Liga Super Malaysia 2022 telah dibuka secara rasmi bermula 4 Mac 2022 hingga 16 Julai 2022 untuk pusingan pertama, diikuti pusingan kedua bermula 19 Julai hingga 17 Sept 2022.
    Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) telah memulakan kempen persaingan Liga Super Malaysia 2022 dengan melayani kunjungan Kelab Penang FC pada 4 Mac 2022 di stadium ikonik kebanggaan Harimau Selatan iaitu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
    Kontinuiti dari kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih 2022, rentak kemenangan Harimau Selatan diteruskan apabila berjaya menundukkan Penang FC dengan keputusan 1-0. Jaringan Bergson da Silva pada minit ke-70 telah menjadi mukadimah naratif persaingan Liga Super Malaysia musim 2022 ini.
    HIPERPEKA PROTEKSI SERTA BERTANGGUNGJAWAB KEATAS KARIER PEMAIN MUDA, RAMADHAN KEMBALI BERAKSI
    Impak JDT dalam kolaboratif bersama kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia telah memberi peluang kepada organisasi JDT untuk meluaskan horizontal jaringan usahasama dari pelbagai aspek dalam jangka masa yang panjang. Antaranya adalah bidang perubatan sukan. Satu perkongsian kepakaran penting dalam memastikan karier pemain terutamanya pemain muda tidak berakhir akibat kecederaan.
    Pemain muda JDT, Ramadhan Saifullah antara pemain muda yang menerima tuah hasil dari kolaboratif tersebut. Imbas kembali, sekitar bulan Ogos 2021, beliau mengalami kecederaan serius ketika sesi latihan intensif. Setelah dikenalpasti tahap kecederaan pemain muda ini, tanpa berlengah, Ramadhan telah diterbangkan oleh organisasi JDT ke Barcelona, Sepanyol bagi menjalani pembedahan yang dilakukan oleh pakar bedah sukan, Dr Juan Manuel Boffa. Beliau merupakan konsultan kepada Manchester City, pakar sains sukan dan pendidikan jasmani serta mempunyai pengalaman luas dalam pembedahan ortopedik dan traumatologi.
    Untuk rekod, kali terakhir Ramadhan Saifullah beraksi adalah pada 7 Julai 2021 ketika perlawanan peringkat kumpulan G Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 menentang Ratchaburi FC yang berkonseptualkan perlawanan berpusat atau karnival di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok, Thailand.
    Akhirnya selepas menjalani proses rawatan pemulihan lebih kurang 6 bulan, tanggal 4 Mac 2022, ketika perlawanan LS1 Liga Super Malaysia 2022 JDT menentang Penang FC telah menjadi indikator awal kebangkitan Ramadhan Saifullah apabila dimasukkan pada minit ke-87. Pemain ini kelihatan cergas sepenuhnya ketika diturunkan menggantikan Fernando Forestieri.
    DEBUT MOUSSA, HONG WAN DAN SYAHMI SAFARI
    Beberapa pemain baharu JDT telah membuat debut atau penampilan pertama di perlawanan pembukaan Liga Super Malaysia 2022 tempoh hari. Antaranya ialah pemain luar negara Moussa Sidibé, pemain kacukan Malaysia Nathaniel Shio Hong Wan dan pemain tempatan Muhammad Syahmi Safari.
    Retrospeksi satu persatu detik pemain-pemain baharu ini diperkenalkan kepada umum.
    Sekitar 28 Januari 2021, JDT yang sentiasa membuat kejutan telah mengumumkan bahawa pengurusan kelab berjaya mencapai satu persetujuan bersama atau pra-kontrak untuk menandatangani pemain kacukan Malaysia berusia 20 tahun, Nathaniel Shio Hong Wan dari kelab Wolverhampton Wanderers.
    13 Januari 2022, Syahmi Safari diumumkan sebagai pemain tempatan baharu Harimau Selatan. Pemain berusia 23 tahun yang beraksi di posisi pertahanan kiri menjadi antara pemain muda yang bertuah diberi penghormatan dibawa ke Ibu Pejabat JDT untuk majlis rasmi menandatangani kontrak bersama JDT dengan menaiki limousin mewah Chrysler 300C milik DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor.
    Ketika jelajah pra-musim bagi persediaan musim baharu 2022 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), sekitar 21 Januari 2022, organisasi JDT telah mengumumkan bahawa Moussa Sidibé, yang berasal dari Bamako, Mali namun mempunyai kerakyatan Sepanyol tampil sebagai tenaga import baharu JDT. Kelab terakhir pemain sayap berusia 27 tahun itu adalah Costa Brava dari Primera División RFEF yang dipinjamkan oleh kelab asal dari La Liga 2 (Segunda División) SD Ponferradina.
    SORAKAN PENYOKONG ADALAH REPRESENTASI NGAUMAN HARIMAU SELATAN
    Musim baharu kali ini dilihat lebih mencabar. JDT bakal mengharungi jadual panjang yang begitu padat. Sebagai contoh, selepas beberapa hari mengharungi perlawanan LS2 Liga Super Malaysia 2022 bertemu Sarawak United pada 9 Mac 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, JDT perlu menghadapi cabaran pusingan pertama Piala FA 2022 sekitar pertengahan bulan Mac ini.
    Dari segi kontekstual, hasil dari pengaruh psikososial atas mentaliti, prinsip dan disiplin yang tinggi, segala cabaran itu pasti akan dilalui dengan aksi konsisten, dinamik dan bertenaga lantas mengimplementasi setiap misi dengan jayanya. Namun semua itu lebih sempurna apabila setiap perjuangan sentiasa diiringi sokongan padu dari penyokong setia Harimau Selatan.
    Penyokong Harimau Selatan. Generasi penyokong terbaik bola sepak yang autoritatif. Ianya bukan rahsia lagi. Penyokong JDT merupakan antara penyokong terbaik yang mewarnai kejohanan bola sepak tanah air. Dengan kesetiaan tahap tertinggi menjadikan mereka tidak berkira untuk membelanjakan sebahagian wang untuk menyokong percambahan pasukan kebanggaan ini.
    Secara konseptualnya, interpretasi kekuatan kelab bukan sahaja berkaitan dengan pemain, jurulatih, infrastruktur, fasiliti atau teknologi tetapi juga berkaitan dengan hebatnya penyokong yang tidak jemu menyokong. Kerana gelombang sokongan hebat dari penyokong adalah formula paling efektif bagi membina kekuatan moral keseluruhan skuad Harimau Selatan dalam perjalanan musim baharu yang penuh cabaran.
    Bukan sekadar retorik, penentu kejayaan bukan sahaja berkenaan pengurusan, barisan jurulatih dan pemain, tetapi juga partisipasi penyokong setia yang sentiasa bersama jatuh bangun kelab tanpa menghiraukan segala rintangan yang mendatang. Sokonglah tanpa prejudis, kerana sorakan anda adalah representasi kepada ngauman Harimau Selatan.
    Akhir penulisan, musim 2022 masih panjang. Hanya sokongan dari penyokong yang akan menjadi pemangkin dan pencetus semangat Harimau Selatan dalam mengharungi intensiti tekanan hebat kelak.
    Maksimakan sokongan! Ayuh penuhkan stadium kebanggaan demi Harimau Selatan!
    Luaskan Kuasamu Johor!