22 piala yang terkumpul sejak tahun 2013 menjadikan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai satu-satunya kelab bolasepak paling berjaya dalam sejarah bolasepak Malaysia.

    Dari sudut faktual, sinopsis kejayaan JDT dilengkapi bersama barisan pemain yang bernilai tinggi, pengurusan yang efisien, fasiliti dan prasarana bertaraf dunia serta generasi penyokong yang setia menyokong.

    NILAI DAN IMPAK PENGLIBATAN PENYOKONG SETIA

    Penyokong yang setia. Ianya adalah salah satu aset terhebat milik JDT. Nilai estetika kelab ini menjadi lebih istimewa apabila mempunyai kelompok penyokong yang menyokong tanpa prejudis serta memiliki perspektif berbeza berbanding penyokong pasukan lain di Malaysia.

    Dalam Keluarga besar ini, penglibatan penyokong bukan sekadar fenomena yang menakjubkan. Ianya juga berkaitan kemampanan dan pemangkin percambahan empayar Harimau Selatan.

    Atas kesedaran tersebut, organisasi JDT telah merekonstruksi beberapa strategi penglibatan penyokong iaitu mengetahui apa kemahuan penyokong, berfikir secara holistik tentang keselesaan penyokong, mengkonsolidasikan ikatan kekeluargaan dengan menjadikan penyokong sebahagian daripada ramuan utama dalam ambisi organisasi serta paling utama ialah mengiktiraf serta menghargai penyokong sebagai kewajiban dan polisi.

    MUSIM 2014, HARI PENGHARGAAN PENYOKONG DIANJURKAN BUAT JULUNG KALINYA

    Saban musim, organisasi JDT akan mendedikasikan setiap kejuaraan yang dimenangi kepada seluruh keluarga JDT. Kerana itu, hari penghargaan untuk para penyokong akan diraikan secara besar-besaran termasuk memberi peluang penyokong melihat dengan lebih dekat trofi-trofi yang telah dijulang.

    Ideanya bermula pada 15 November 2014. Imbas kembali, pada tanggal tersebut, buat julung kalinya acara Hari Penghargaan Penyokong JDT secara karnival telah diadakan. Hari Penghargaan yang berlangsung di Dataran Bandaraya bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang telah dihadiri puluhan ribu penyokong Harimau Selatan dari pelbagai ras, bangsa dan agama termasuk dari negeri lain. Penyokong yang hadir telah diraikan dengan pelbagai juadah termasuk KFC, Pizza Hut, BBQ Argentina dan makanan tradisional Johor.

    Tidak stagnasi disitu, pemilik kelab JDT DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang mana ketika itu adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) telah bertitah bahawa kemeriahan dan kegembiraan pada Hari Penghargaan itu lebih bermakna daripada memenangi sebuah piala. Maka atas pertimbangan tersebut, baginda memutuskan bahawa Hari Penghargaan Penyokong JDT secara karnival ini akan menjadi salah satu acara tahunan JDT. Tanpa mengira menang atau kalah, para penyokong Johor tetap akan dihargai dan diraikan.

    TOTAL DOMINASI MUSIM 2022, TERIMA KASIH PENYOKONG JDT!

    Harimau Selatan menutup tirai Musim panjang 2022 dengan begitu cemerlang. Maka bagi meneruskan resam tradisi kelab, pada 24 Disember 2022 kelak, JDT akan mengadakan Hari Penghargaan buat semua penyokong Harimau Selatan di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Paling menarik, penyokong berpeluang melihat hampir semua trofi kejuaraan bola sepak mengikut hireaki yang dipertandingkan di Malaysia iaitu dari peringkat akar umbi sehinggalah divisi utama. Antaranya 4 kejuaraan ‘Quadruple’ Liga Malaysia yang dirangkul oleh skuad utama JDT, 1 trofi edisi terakhir kejohanan Liga Premier yang dimahkotakan kepada skuad JDT II dan 11 trofi yang dimenangi Akademi JDT akan dipamerkan kepada para penyokong.

    Bukan itu sahaja, pada hari tersebut juga, aneka aktiviti menarik telah dirancang seperti jualan ‘food truck’, jualan promosi barangan rasmi JDT dan banyak lagi bakal menanti penyokong JDT.

    Akhir kata, penyokong JDT! Hadirlah beramai-ramai! Jadikan Hari penghargaan penyokong JDT kelak sebagai memorabilia paling indah yang akan sentiasa diingati bagi musim 2022!