Segalanya tentang konsistensi, dedikasi, keazaman, fokus dan keinginan untuk menang. Representatif sebahagian superstruktur elemen yang menyokong konstruksi Empayar Harimau Selatan.

    Memasuki Jun 2024, berikut beberapa perkara menarik yang menjadi tumpuan;

    PEMBURUAN HARIMAU SELATAN DALAM PIALA FA 2024 SUDAH BERMULA

    Piala FA 2024 edisi ke-34 mewarnai kancah Liga Malaysia (Liga-M) dengan penampilan format baharu. Berbanding 20 pasukan pada musim lalu, hanya 16 pasukan terdiri daripada 13 pasukan dari Liga Super Malaysia dan 3 pasukan dari Liga Semi-Pro A1 Malaysia akan bertanding dalam kompetisi yang menawarkan slot automatik Asia ini.

    Hasil undian Piala Malaysia yang telah diadakan pada Khamis, 16 Mei 2024, cabaran Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di dalam kejohanan Piala FA 2024 bermula di peringkat kalah mati ‘Round of 16’ bertemu Kelantan Darul Naim FC (KDN) pada 15 Jun 2024 di Stadium Sultan Ibrahim.

    Menyelongkar retrospeksi kejohanan Piala FA musim lepas, Harimau Selatan telah dinobatkan sebagai juara edisi ke-33 Piala FA 2023 pada Sabtu, 22 Julai 2023 setelah meranapkan impian Kuala Lumpur City 2-0 hasil gol yang disumbangkan oleh Nathaniel Shio Hong Wan dan Leandro Velazquez. Paling istimewa, Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi supremasi Harimau Selatan dinobatkan sebagai juara Piala FA buat kali ketiga.

    Untuk rekod, JDT telah menjulang kejuaraan ini sebanyak 3 kali iaitu pada edisi ke-27 (2016), edisi ke-32 (2022) dan edisi ke-33 (2023).

    NGAUMAN SKUAD MUDA JDT, JDT FUTSAL DAN JDT RACING TEAM BERGEMA

    Piala Presiden 2024 merupakan kejohanan yang dikhaskan untuk remaja bawah 20 tahun telah memasuki musim ke-36 sejak penubuhannya pada tahun 1986. Pada persaingan Piala Presiden 2024 setakat 6 perlawanan yang telah berlangsung, JDT lll mendahului 7 lagi pasukan lain dalam Kumpulan A dengan kutipan 14 mata hasil dari 4 kemenangan dan 2 seri. Abdul Raziq Abd Rahman mengungguli senarai penjaring terbanyak kejohanan apabila menyumbang 7 gol.

    Piala Belia adalah pertandingan bola sepak remaja untuk pemain bawah 18 tahun di Malaysia. Seperti Piala Presiden, kejohanan ini juga termasuk dalam hireaki pertandingan pembangunan bola sepak Malaysia di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

    Merentasi 8 perlawanan dalam persaingan Piala Belia 2024, Skuad JDT IV mencatat 6 kemenangan dan 2 seri lantas mengungguli carta Kumpulan B dengan 17 mata. Paling menarik, JDT IV muncul sebagai kelab paling banyak menghasilkan jaringan dengan 27 gol terkumulatif setakat ini. Abid Safaraz Rozaidi merupakan penyumbang gol terbesar JDT IV apabila menjaringkan 6 gol.

    Tidak stagnasi disitu, cabang sukan lain mewakili JDT turut sama cemerlang antaranya JDT Futsal yang kini merupakan pendahulu peringkat kumpulan Liga Premier Futsal Malaysia 2024 (MPFL) Divisyen 1 dengan 21 mata hasil dari 7 kemenangan berturut-turut dalam 7 perlawanan berlangsung.

    Situasi terkini dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 pula, kejayaan meraih 4 podium dalam 3 pusingan melonjakkan Hafizh Syahrin Abdullah (JDT Racing Team) ke tampuk kedudukan teratas pelumba kategori kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) apabila mengumpul 81 mata secara keseluruhan.

    Akhir kata, kejayaan belum muktamad, kegagalan bukan penamat. Keberanian menempuh cabaran itulah paling penting. Maka berharaplah yang baik, usahakanlah yang terbaik.

    Ayuh Johor! Luaskan Kuasamu!