JDT Fan Fest 2024 telah berlangsung penuh kemeriahan pada Jumaat, 8 Mac 2024 sempena pembukaan premis barangan rasmi Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), JDT Direct Megastore di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Secara konseptualnya, JDT Fan Fest 2024 merupakan acara pembuka musim yang didedikasikan kepada penyokong JDT. Tidak stagnasi disitu, beberapa lagi perkara menarik melibatkan penyokong antaranya;

    MENGUBAT KERINDUAN, RAIKAN KETIBAAN AIDILFITRI DI STADIUM IKONIK KEBANGGAAN

    Selepas menerima kunjungan kelab bola sepak profesional Liga Thai 1 (T1) Police Tero FC dan Chonburi FC, JDT akan berdepan sebuah kelab bola sepak profesional Singapura iaitu Lion City Sailors FC pada hari Isnin, 8 April 2024 di Stadium Sultan Ibrahim. Berpusat di Bishan, kelab ini bersaing di peringkat teratas sistem liga bola sepak Singapura, Liga Perdana Singapura (SPL).

    Penyokong diseru hadir untuk menyaksikan kombinasi barisan pemain baharu dan lama Harimau Selatan menterjemahkan taktikal ketua jurulatih baharu Hector Bidoglio yang mengendalikan pasukan pada musim 2024-25. Paling menarik, umpama hadiah menjelang Aidilfitri, tiada sebarang bayaran kemasukan dikenakan kepada penyokong yang menonton perlawanan persahabatan berintensiti tinggi tersebut. Maka, leraikan kerinduan, raikanlah pertemuan semula dan ciptalah atmosfera luar biasa di β€˜The-State-Of-The-Art’ Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

    Imbas kembali musim 2023, perlawanan persahabatan di antara JDT dan Juara 6 kali Liga Perdana Singapura (SPL) Albirex Niigata FC telah berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Jun 2023. Perlawanan berkesudahan dengan kemenangan besar JDT 5-1.

    Untuk rekod, sejak musim 2013, hampir kesemua kelab bola sepak dari Liga Perdana Singapura (SPL) seperti Young Lions, Geylang International FC, Hougang United FC, Tampines Rovers FC, Tanjong Pagar United FC dan Balestier Khalsa FC telah mengadakan perlawanan persahabatan bersama JDT.

    PAS BERMUSIM JDT, KEISTIMEWAAN BUAT PENYOKONG

    Pas bermusim JDT diperkenalkan buat pertama kali pada musim 2014 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin. Manakala musim 2019 merupakan tahun terakhir pas bermusim dikeluarkan untuk stadium penuh memorabilia indah tersebut sebelum beralih ke stadium baharu Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada musim 2020.

    Musim demi musim berganti, berbagai-bagai kelebihan yang dinikmati oleh pemegang-pemegang pas bermusim JDT di Stadium Sultan Ibrahim. Antaranya mendapat keutamaan membeli tiket Perlawanan Akhir kejohanan domestik dan Liga Juara-Juara AFC (ACL) serta menyaksikan sesi latihan JDT secara eksklusif di Stadium Sultan Ibrahim.

    Antara keistimewaan yang tidak dapat dilupakan, pemegang pas bermusim JDT diberikan akses percuma menyaksikan perlawanan persahabatan JDT menentang Kelab Gergasi Eropah, Borussia Dortmund (BVB) pada 28 November 2022 di Stadium Sultan Ibrahim. Ketika itu, penyokong dapat menyaksikan pemain JDT berkongsi padang bersama pemain bintang Borussia Dortmund seperti Mats Hummels, Emre Can dan Donyell Malen.

    Pada awal April 2024, melalui platform media sosial rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) telah mengumumkan bahawa Pas Bermusim 2024-25 telah bersedia dibuka kepada umum. Terdapat enam pakej istimewa untuk menjadi pilihan iaitu Bronze (zone A), Bronze (zone C), Silver (zone C), Jewel (Grandstand), Jewel Plus (Grandstand) dan Diamond VIP (Grandstand).

    Dengan memiliki Pas Bermusim tersebut, penyokong berpeluang menikmati ganjaran-ganjaran terbaharu yang ditambahbaik tertakluk kepada pakej pas bermusim antaranya menyaksikan kesemua perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC Elite 2024-25, potongan 10% bagi pembelian barangan rasmi JDT di premis JDT Direct (Stadium Sultan Ibrahim/Toppen) Jelajah Stadium Sultan Ibrahim (JDT Stadium Tour) dan eksplorasi perkarangan Stadium Sultan Ibrahim dengan pengalaman eksklusif menaiki JDT Hummer H2 Limosin rekaan khas.

    Akhir kata, musim baharu 2024-25, sudahkah anda bersedia penyokong Harimau Selatan?

    Luaskan Kuasamu Johor!