Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) representatif sebuah organisasi yang tidak akan berhenti melakukan perubahan demi perubahan malah sentiasa memberikan fokus serta perhatian kepada aspek kesempurnaan urus tadbir dan perancangan kewangan untuk fasiliti teras. Wang dialirkan pada saluran yang betul selaras dengan konsepsi organisasi agar kontinuiti pembangunan prasarana serta fasiliti perlu dilakukan secara besar-besaran.
    PUSAT LATIHAN JDT, PUSAT LATIHAN PALING SEMPURNA
    Antara yang menerima sirkulasi transisi radikal dan drastik adalah Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor. Sekitar tahun 2016, padang latihan tertutup JDT adalah antara fasiliti paling awal telah didirikan dan merupakan saraf tunjang kepada Pusat Latihan JDT.
    Fasiliti spektakular JDT yang dikenali sebagai Padang Latihan Tertutup Dato’ Suleiman Mohd Noor adalah Padang latihan tertutup pertama yang diiktiraf oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana mengikut spesifikasi dari segi saiz, pencahayaan dan kualiti rumput sintetik yang terbaik.
    Deretan peralatan terkini dibawa masuk bagi melengkapi fasiliti padang latihan tertutup ini dalam memberi impak latihan terbaik kepada pemain-pemain Harimau Selatan. Antaranya, pada 4 Mac 2021, JDT Cycling Studio sudah sempurna dibangunkan. Satu inovatif latihan berkonseptual berbasikal dalaman direkayasa untuk mempertingkatkan keupayaan kardiovaskular pemain. Sekitar 5 April 2021, JDT telah mendedahkan kepada umum Auditorium terbaharu JDT yang telah bersedia untuk dimanfaatkan. Auditorium yang boleh memuatkan hampir 50 orang itu akan menjadi ‘war room’ membincangkan secara terperinci mengenai lawan mereka yang seterusnya, meninjau kekuatan, kelemahan, langkah taktikal, ancaman posisi, formulasi kemenangan dan eksprimentasi strategi.
    Pada 15 April 2021 pula, kelab telah memperolehi ‘Ball Launcher’ (Pelancar Bola). Pelancar bola ini menampilkan kapasiti lebih dari 200 bola per jam dan mempunyai kemampuan untuk meniru jarak putaran, ketinggian dan kelajuan yang berubah-ubah bagi setiap biji bola.
    BINTANG DUNIA KAGUM DENGAN APA YANG DIMILIKI EMPAYAR HARIMAU SELATAN
    Ironinya di sebalik kemajuan inovasi prasarana dan fasiliti hebat ini, JDT telah membuka mata dunia. Sekitar 12 Julai 2018, bintang terkemuka Sepanyol dan FC Barcelona, Gerard Piqué telah dibawa melawat ke Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor. Beliau begitu terkejut malah amat kagum melihat prasarana bertaraf antarabangsa milik JDT dan menyatakan bahawa JDT adalah kelab yang tepat untuk pemain berkembang dalam karier bola sepak.
    Pada 14 Mac 2019 “The Phenomenon” Ronaldo Luís Nazário de Lima juga amat teruja ketika melawat fasiliti Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam, Johor dan menyifatkan bahawa JDT adalah sebuah kelab yang mempunyai struktur dan projek masa depan yang hebat.
    Pada 1 Julai 2019, beberapa pemain legenda serta bekas bintang dunia seperti Robert Pires dan Louis Saha yang menyertai perlawanan amal JDT All Stars hadir ke Pusat Latihan Padang Seri Gelam bagi menjayakan Klinik Kejurulatihan bersama Akademi JDT. Setelah melihat aset kekal yang dimiliki JDT, pemain-pemain ini optimis menyatakan fasiliti yang dibangunkan adalah terbaik serta mempunyai kelas tersendiri malah akan menjadi medan magnet menarik ramai pemain bintang berhijrah ke skuad Harimau Selatan.
    SEGALANYA BARU BERMULA NAMUN IANYA MENAKJUBKAN
    Tidak stagnasi disitu, walaupun JDT sudah mempunyai prasarana dan fasiliti yang cukup lengkap, ia tidak bermakna segala projek naik taraf menemui jalan penamat. Sekitar Disember 2019, organisasi JDT telah mengorak langkah terbaharu apabila mengumumkan perancangan pembinaan pusat latihan baharu ‘JDT Compound’ yang berlokasi di Iskandar Puteri pada masa akan datang. Pusat latihan baharu yang mahu dibangunkan kelak akan disasarkan tampil sebagai antara sepuluh terbaik di dunia.
    Umpama impian menjadi kenyataan, pada 23 Mei 2021, melalui platform media sosial rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) telah memuatnaik beberapa gambar menunjukkan lokasi sebenar Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) baharu yang sedang giat dibersihkan.
    Bagai menterjemahkan keterujaan, pada 22 Jun 2021 pula, organisasi JDT telah mendedahkan kepada umum Pelan Lantai dan ilustrasi pusat latihan baharu yang telah dimuktamadkan. Pelan lantai tersebut menunjukkan Pusat latihan baharu akan dibina bertentangan Stadium Sultan Ibrahim. Ianya akan dilengkapi dengan pelbagai jenis padang termasuk padang tiruan dan ‘indoor’, stadium mini, asrama belia, gimnasium, pusat medikal, kolam renang serta auditorium. Paling menarik perhatian bangunan pejabat pentadbiran dua tingkat yang dibina adalah berbentuk jata kebanggaan Harimau Selatan.
    Lukas Podolski, pemain bintang Jerman antara individu yang teruja mendengar perkhabaran tersebut. Menerusi hantaran komen di halaman rasmi instagram JOHOR Southern Tigers (JST), jelas beliau amat kagum dengan anjakan kemajuan yang berjaya direalisasikan oleh organisasi JDT.
    Terbaharu pada 18 Oktober 2021, halaman JST sekali lagi mendedahkan ilustrasi secara terperinci mengenai pusat latihan baharu tersebut. Antara ilustrasi yang dimuatnaik adalah susun atur dan lakaran kawasan Grandstand Stadium Mini, bangunan JDT III & IV, Klinik JDT serta bangunan dua tingkat berjata JDT yang dikelilingi 8 buah padang latihan.
    Akhir kata, implementasi yang dilakukan oleh organisasi JDT telah menghasilkan fenomena luar biasa terhadap konseptual, budaya, perspektif dan hala tuju serta melonjakkan martabat bola sepak Negeri Johor secara khususnya.
    “JDT doing JDT things!”
    Sumber artikel: Media JST