Liga Juara-Juara AFC (ACL) adalah kejohanan tahunan persaingan liga bola sepak paling elit di Asia. Pertandingan yang diselenggara oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berstatus kejohanan tertinggi di Asia dan menjadi impian semua kelab yang bernaung di bawah AFC.
    Bermula tahun 2019, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku kelab pertama dari Malaysia berjaya untuk bersaing ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC (ACL). Selepas itu, pada tahun-tahun berikutnya sehingga kini, JDT telah menjadi wakil tunggal Malaysia ke dalam kejohanan paling berprestij di Asia tersebut.
    Secara rasionalnya setelah empat musim dalam penampilan pastinya Harimau Selatan semakin matang, memiliki pola pemikiran positif, sentiasa berkemahuan bergelar pemenang dan berkeyakinan tinggi ketika mengharungi perlawanan demi perlawanan.
    MUSIM 2022, PENGANJURAN PERLAWANAN LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) SECARA BERPUSAT DI STADIUM SULTAN IBRAHIM DAN STADIUM TAN SRI DATO HAJI HASSAN YUNOS
    Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2022 edisi ke-41 masih berkonseptualkan perlawanan berpusat atau karnival dan merupakan kesinambungan penganjuran musim 2020 di Doha, Qatar dan musim 2021 di Bangkok, Thailand.
    Bagi musim 2022 ini, JDT telah terpilih menjadi tuan rumah bagi konkurensi peringkat Kumpulan I bermula 15 April 2022 sehingga 1 Mei 2022. Dua venue akan digunakan iaitu di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin dan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
    JDT akan bersaing bersama Juara liga utama Jepun (J1 League) musim 2021 Kawasaki Frontale, kelab tempat ketiga Liga Super China (CSL) musim 2021 Guangzhou FC, serta bekas Juara Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2020 dan kelab tempat kedua liga utama Republik Korea (KLeague 1) musim 2021 Ulsan Hyundai.
    Antara pemain-pemain yang akan menjadi tumpuan adalah penjaring terbanyak J1 League Leandro Damião (Kawasaki Frontale) dan pertahanan kental skuad kebangsaan Republik Korea Kim Tae-hwan (Ulsan Hyundai).
    JADUAL PADAT PERINGKAT KUMPULAN I LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2022 MENANTI HARIMAU SELATAN
    Kira detik, hanya tinggal beberapa hari sahaja sebelum JDT memulakan aksi pada Jumaat, 15 April 2022 menentang Kelab bola sepak terkemuka Republik Rakyat China Guangzhou FC dan tanggal itu menjadi indikator awal perjuangan getir persaingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) bagi musim 2022.
    Edisi kali ini dilihat lebih mencabar. JDT bakal mengharungi jadual peringkat kumpulan yang begitu padat. Selepas mengharungi perlawanan pembuka tirai kelak, JDT akan turun menentang Ulsan Hyundai FC pada 18 April 2022, Kawasaki Frontale pada 21 April 2022 dan seterusnya mengharungi pusingan kedua peringkat kumpulan dengan bertemu Kawasaki Frontale pada 24 April 2022, Guangzhou FC pada 27 April 2022 dan diakhiri dengan pertemuan Ulsan Hyundai FC pada 30 April 2022.
    Dari segi kontekstual, hasil dari pengaruh psikososial atas mentaliti, prinsip dan disiplin yang tinggi, akan membentuk imuniti lantas menjadikan JDT kekal konsisten, dinamik dan bertenaga. Namun semua itu lebih sempurna apabila setiap perjuangan sentiasa diiringi sokongan padu dari penyokong setia Harimau Selatan.
    INTROSPEKSI MEMORABILIA INDAH HARIMAU SELATAN DI PENTAS LIGA JUARA-JUARA AFC (ACL) 2019 SEHINGGA 2021
    Keseluruhan barisan kejurulatihan dan pemain JDT telah menunjukkan komitmen serta konsentrasi yang menakjubkan dalam cabaran Liga Juara-Juara AFC (ACL) sejak debut pertama JDT pada musim 2019.
    Menyelongkar semula nostalgia serta retrospeksi kejohanan elit tersebut pada musim 2019, tarikh 8 Mei 2019 menjadi antara pencapaian terbaik Harimau Selatan setelah berjaya membuat kejutan terhebat ketika menentang gergasi Jepun, Kashima Antlers di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin. Pada aksi Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) itu, JDT berjaya menundukkan kelab terkemuka Asia tersebut dengan jaringan 1-0.
    Masih segar dalam ingatan, pada 3 Mac 2020 berlangsungnya perlawanan kedua JDT dalam persaingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2020. Ketika itu, JDT turun menentang juara Piala FA Republik Korea, Suwon Samsung Bluewings. Keseluruhan pemain Harimau Selatan mempamerkan aksi luar biasa seterusnya melakar kejutan dengan membenam kelab gergasi liga utama Republik Korea (KLeague 1) itu 2-1 pada aksi Kumpulan G di Stadium Sultan Ibrahim.
    Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2021 yang berlangsung pada 22 Jun hingga 7 Julai 2021 juga penuh warna warni, kita dapat menyaksikan bagaimana impian Safiq Rahim untuk beraksi di Liga Juara-Juara AFC (ACL) menjadi kenyataan, debut gemilang pemain termuda JDT beraksi di kejohanan tertinggi Asia iaitu Arif Aiman ketika berdepan Nagoya Grampus serta Muhd Ramadhan Saifullah Usman mencatat sejarah menjadi pemain paling muda menjaringkan gol untuk Harimau Selatan di Liga Juara-Juara AFC (ACL) juga ketika bertemu Nagoya Grampus.
    Akhir kata, fokus, dedikasi, usaha, tekad dan motivasi adalah salah satu dari asas kejayaan. Ayuh Harimau Selatan! Tetapkanlah fokus, berani, berdiri dan terus progresif bergerak ke hadapan.
    Selamat berjuang Merah Biruku!