Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan sebuah kelab yang mempunyai misi dan visi yang telah diatur dengan rapi sejak kewujudan. Bermula sebagai sebuah kelab kecil yang mempunyai aspirasi besar dalam menempa kejayaan.
Namun untuk merealisasikannya bukan semudah yang disangka, berbagai-bagai cabaran perlu ditempuhi oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor bersama-sama Harimau Selatan sepanjang perjalanan.
DETIK DIMANA KITA JATUH
“Kegemilangan bola sepak Johor sudah terkubur. Maka untuk memulihkan bukan sesuatu perkara yang mudah. Satu tahun dihabiskan hanya untuk membersihkan semua perkara yang tidak dilakukan secara profesional”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Memperbaiki sesuatu yang telah hampir hancur adalah satu tugas yang amat sukar. Apatah lagi bolasepak Johor telah tidur selama lebih 20 tahun akibat dikendalikan oleh individu-individu yang tidak mempunyai rasa cinta dan ikhlas dalam memajukan bola sepak Negeri Johor. Paling menyedihkan, apabila DYAM Tunku Mahkota Johor mengetahui bahawa pasukan representasi Negeri Johor ketika itu adalah antara pasukan yang dibelenggu dengan barah birokrasi dan korupsi.
Era kejatuhan yang teruk sehingga kebanyakan peminat bola sepak Negeri Johor seakan tidak berminat mengambil tahu, menyokong serta datang menyaksikan perlawanan melibatkan pasukan ini selepas kali terakhir meniti era kegemilangan 1991.
DETIK DIMANA KITA GAGAL
“Hari ini saya akan lakukan apa yang lain tidak mahu lakukan dan esok saya akan mencapai apa yang lain tidak mampu capai”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Itu adalah kenyataan yang telah dikeluarkan oleh DYAM Tunku Mahkota Johor pada 16 Disember 2013 kepada umum. Pada tahun tersebut, JDT hanya mampu menamatkan Liga Super Malaysia pada kedudukan tempat ketiga dan menyaksikan kejuaraan Liga Super Malaysia telah diterbangkan ke seberang tambak apabila LION XII secara mutlak diumumkan sebagai Juara Liga Super Malaysia bagi musim 2013.
Pada tahun tersebut juga JDT gagal mengaut sebarang kejuaraan apabila hanya meraih gelaran naib juara Piala FA dan terkandas di peringkat suku akhir Piala Malaysia. Kekalahan 6-1 di pusingan timbal balik peringkat suku akhir kepada pasukan Kelantan FA dalam saingan Piala Malaysia 2013 adalah detik paling diingati sehingga kini.
DETIK DIMANA KITA BANGKIT
Konsekuensi kegagalan yang dikecapi pada tahun 2013 menjadi indikator konstruksi Empayar Harimau Selatan. Pada tahun 2014, JDT menjuarai Liga Super Malaysia buat julung kalinya dengan mengutip empat puluh mata serta layak ke piala AFC 2015 buat kali pertama. Paling memberangsangkan JDT telah beraksi dua belas perlawanan tanpa kekalahan dalam persaingan Liga Super Malaysia 2014 iaitu bermula dari perlawanan kelapan hingga kesembilan belas.
Namun pada tahun itu, JDT terkandas pada perlawanan separuh akhir Piala FA 2014 dan tewas pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2014.
“Dunia belum berakhir, ianya cuma sedikit halangan dalam perjalanan kita. Jangan berputus asa, pandang ke hadapan, dan seperti yang saya selalu katakan, apabila beluncas menyangkakan dunianya telah berakhir, ianya bertukar menjadi rama-rama”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
DETIK DIMANA KITA SEMBUH
Konseptualisasi falsafah JDT yang mahu menerapkan kemahuan untuk memenangi setiap perlawanan, kesedaran taktikal dan revolusi permainan konvensional kepada bola sepak moden terus diperbaiki dan ditambahbaik dari satu musim ke satu musim.
Maka bagi mencapai hasil yang lebih ideal, optimal dan progresif, DYAM Tunku Mahkota Johor juga tidak jemu untuk belajar kerana baginda sedar bahawa kehidupan tidak pernah berhenti memberi pelajaran. Maka sementara musim baharu membuka tirai, ianya akan diisi dengan menimba ilmu bersama pengurusan kelab-kelab yang berjaya di serata dunia. Ia sebagai bekalan yang bakal dibawa pulang untuk diadaptasi bersama JDT.
Hasilnya, pada sekitar tahun 2015. Kontingensi telah berlaku! JDT berjaya menjadi pasukan tempatan pertama dari Malaysia menjulang piala berprestij Piala AFC 2015, selain memecah monopoli pasukan dari Asia Barat yang sebelum ini silih berganti menjadi juara Piala AFC.
“Kejayaan dicapai apabila seseorang itu menangguhkan kesenangan pada masa kini, untuk mengusahakan matlamat jangka panjang”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
DETIK DIMANA AKHIRNYA KITA MENDOMINASI!
Sebermula naratif musim 2016, JDT tidak menoleh kebelakang lagi. Sejak detik itu hingga terkini, JDT mendominasi Liga Super Malaysia dengan penuh keunggulan sehingga 7 tahun gelaran juara berjaya dipertahankan. Bukan itu sahaja, JDT berjaya memberi saingan yang sengit serta setaraf dengan kelab elit gergasi Asia ketika bersaing dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Rasionalnya, JDT kini berdiri sebagai sebuah kelab profesional yang serba sempurna dilengkapi pengurusan yang efisien, fasiliti, infrastruktur dan penyokong terbaik malah berketerampilan sebagai sebuah kelab profesional yang menjadi hala tuju impian bagi pemain tempatan dan antarabangsa.
“Kita adalah satu-satunya kelab yang mencipta rekod “unbeaten” atau “invincible” dalam saingan Liga Super Malaysia. Bukan sekali tetapi dua kali”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Akhir penulisan, setelah melalui saat kejatuhan, saat kegagalan, saat kebangkitan, saat kesembuhan sehingga saat mendominasi, kualitatif bola sepak Negeri Johor dan JDT berada pada kelas yang berbeza berbanding pasukan lain di Malaysia. Namun kontradiksi dari semua itu, kedudukan ini tidak sesekali memberikan keselesaan hakiki. Perjalanan masih jauh dan ianya tidak akan pernah berhenti. Ketagihan mengejar lebih banyak kejayaan menjadi satu sifat yang telah sebati dalam jiwa DYAM Tunku Mahkota Johor bersama kelab kebanggaan kita ini.
“Saya sentiasa mempunyai impian besar, tetapi saya tidak membuat rancangan hanya untuk diri sendiri”-DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor