Penajaan NIKE kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengalami sirkulasi revolusi yang sangat sistematik. Bermula dengan menaja jersi menggunakan reka bentuk sedia ada sehinggalah JDT mencatat sejarah baharu dalam bola sepak negara apabila mendapat pengiktirafan menerima kit jersi tajaan NIKE yang direka khas dan mempunyai konsep tersendiri.
Ironinya saban musim, kerana ketinggian prestij hasil dari kolaborasi JDT-NIKE, rekaan jersi musim baharu adalah antara perkara yang dinantikan dan detik paling ditunggu oleh semua penyokong. Sudah menjadi tradisi, satu acara rasmi pelancaran jersi baharu JDT bersama video pengenalan serta gimik bakal diadakan serentak di serata daerah seluruh negeri Johor.
ERA BAHARU, SIMBOLIK REKAAN DAN KOMBINASI WARNA JERSI NIKE UNTUK JDT
Imbas kembali, bermula tahun 2019, rekaan jersi yang diterima JDT mempunyai simbolik disebalik penampilan. Tajaan jersi NIKE dilihat begitu istimewa berikutan material jersi berteknologi terkini, lebih dinamik dan berkualiti. Untuk rekod, NIKE telah menggunakan teknologi tekstil Dri-FIT dan jersi yang dikeluarkan diperbuat 100% daripada polyester.
Pada tahun itu, JDT menerima dua variasi jersi melibatkan rekaan jersi tuan rumah dan tempat lawan sekaligus menjadikan penampilan pertama JDT di saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019 dan saingan Liga Super Malaysia musim 2019 berketerampilan lebih eksklusif.
Paling menarik, selain mengekalkan warna rasmi bendera Negeri Johor iaitu merah biru pada jersi tuan rumah, NIKE mengeluarkan rekaan bewarna ungu bagi versi jersi tempat lawan yang diilhamkan daripada model Ferrari iaitu ‘LaFerrari’ milik DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor. Kereta berkuasa tinggi 949HP dan diperbuat sepenuhnya dari serat karbon (carbon fiber) ini merupakan koleksi yang dikeluarkan secara terhad oleh pengeluar kereta mewah yang berpengkalan di Itali. Untuk makluman, kereta ini hanya ada 499 unit di dunia.
Pada musim 2020 pula, jersi JDT didatangkan dengan dua variasi iaitu jersi bertona kombinasi warna merah dan biru untuk tuan rumah manakala jersi berwarna putih di tempat lawan. Konseptual jersi tuan rumah bagi musim 2020 diinspirasikan daripada bendera Johor iaitu sama seperti musim sebelum ini. Jersi kedua untuk tempat lawan berwarna putih yang melambangkan stadium baharu JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim. Lilitan berwarna emas di bahagian lengan dan leher pula membawa simbolik kejayaan yang dilakar JDT.
Pada musim 2020, NIKE turut mengeluarkan dua edisi yang berbeza iaitu edisi pemain (player issue) dan edisi penyokong (fans issue).
MUSIM 2021, METAFORIKAL PESONA KILAUAN DAN KEUTUHAN BERLIAN
Retrospeksi musim 2021, jersi JDT didatangkan dengan dua variasi. Jersi berleher bulat kombinasi tona biru dan merah bagi versi tuan rumah manakala jersi berkolar bertona putih, biru dan merah bagi versi tempat lawan. Konsepsi jersi bagi musim 2021 kekal berpaksikan warna-warna keramat bendera Negeri Johor, keutuhan dan kilauan berlian serta representasi kepada tema musim 2021 iaitu ‘Diamonds Are Forever’. Buat julung kalinya, logo UNICEF di bahagian hadapan jersi Harimau Selatan menjadi penambah nilai komersial jersi pada musim tersebut.
Pada musim 2021 juga, NIKE mengeluarkan dua edisi yang berbeza untuk jualan kepada umum iaitu edisi penyokong (fans issue) bagi jersi versi tuan rumah dan edisi pemain (player issue) bagi jersi versi tempat lawan. Paling istimewa, DYAM Tunku Mahkota Johor telah menanggung sebahagian harga jersi Nike JDT 2021 (versi tempat lawan) sebagai hadiah istimewa kepada penyokong bersempena dengan ulang tahun pertama Stadium Sultan Ibrahim.
Sambutan dari penyokong JDT terhadap jersi musim 2021 amat luar biasa apabila sebanyak 8,600 jersi habis terjual sebaik sahaja dibuka untuk jualan pada hari
pelancaran iaitu pada 25 Febuari 2021.
Hasil jualan RM1.6 juta telah direkodkan dalam tempoh beberapa jam sahaja melalui belian secara bersemuka di pusat jualan rasmi JDT Store dan menerusi platform belian dalam talian di laman web rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) dan Shopee.
KONTINUITI KOLABORASI YANG BERSIFAT SUPRANASIONAL
Tajaan NIKE adalah berkaitan dengan nilai komersial, publisiti dan kebanggaan bagi JDT. Ia juga melibatkan penjenamaan di peringkat global yang efektif. Penajaan NIKE ke atas JDT adalah satu pengiktirafan tertinggi membabitkan pasukan bola sepak di negara ini kerana nilai penajaan tersebut adalah yang termahal dalam sejarah bola sepak tanah air.
Melihat pada keserasian aspirasi dan hala tuju penajaan JDT-NIKE, akhirnya telah mendorong NIKE terus menaja JDT bermula musim 2014, 2015, 2017, 2018, 2019, 2020 dan 2021.
Penajaan itu merangkumi empat pasukan di bawah naungan organisasi Harimau Selatan iaitu JDT, JDT II (Liga Perdana), JDT III (Piala Presiden), JDT IV (Liga Belia) dan akademi JDT.
Dalam satu kenyataan pada 29 Januari 2020, DYAM Tunku Mahkota Johor mendedahkan bahawa JDT akan lebih lama bekerjasama dengan NIKE dan melibatkan perancangan jangka masa panjang pada masa hadapan. Perkara ini dikuatkan lagi apabila pada 1 Febuari 2020 Ketua Pemasaran Sukan Nike Malaysia dan Thailand, Ernest Rodrigues mengumumkan untuk meneruskan tajaan jersi JDT sehingga tahun 2023.
EKSISTENSI INTERPOLASI KONSENSUS YANG IDEAL
Sekitar 9 Ogos 2017, laman facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers (JST) telah mengumumkan bahawa JDT menjadi satu-satunya kelab dalam Malaysia yang bukan sahaja menerima tajaan kit jersi tetapi juga melibatkan penajaan dari segi dekorasi stadium dan juga pusat latihan JDT. Pihak NIKE telah bersetuju untuk mendekorasi Pusat Latihan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) di Padang Seri Gelam, Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos Larkin dan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan panel-panel iklan jenama NIKE dan JDT.
Paling menarik perhatian, berlokasi di salah satu sudut tempat duduk penyokong Stadium Sultan Ibrahim, telah terlihat dengan jelas logo mega “Swoosh” menghiasi bahagian tempat duduk dan kini menjadi salah satu mercu tanda ikonik stadium.
Konsekuensi usaha membendung penularan pandemik Covid-19, direktif dari badan pengurusan liga tempatan, Malaysia Football League (MFL) masih tidak membenarkan kehadiran penyokong menjelang musim baharu 2021. Maka untuk menutupi kelompongan ruang-ruang tempat duduk penyokong, pada tanggal 5 Mac 2021, Stadium Sultan Ibrahim telah memperlihatkan kain rentang bersama grafik berslogan Nike ‘JDT (Sport) Can’t Be Stopped’ sebagai indikator kerjasama JDT bersama jenama sukan antarabangsa tersebut tetap utuh walaupun berdepan dengan situasi yang amat krusial.
Akhir penulisan, bukan sekadar retorik, kolaborasi JDT-NIKE adalah mengenai nilai, interpretasi, kualitatif dan eksklusif. Maka, sudahkah anda bersedia untuk menjadi pemilik terawal jersi Harimau Selatan semasa hari pelancaran kelak?
Just do it! Masanya hampir tiba!
“Together we believe, unstoppable we become”