“Saya berbangga kerana JDT mempunyai strategi perniagaan tersendiri termasuk dari sudut komersial untuk menjana dana dan melabur dalam projek jangka panjang dan bukannya hanya menunggu kerajaan negeri untuk membina infrastruktur malah mengeluarkan dana secara tetap setiap tahun”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah sebuah kelab bola sepak yang kini giat menjalankan usaha bagi membolehkannya berdikari, dengan meneroka pelbagai peluang komersial.
Dalam memanifestasikan misi dan objektif, kerangka kerja terperinci dikoordanasi oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang meliputi penerapan tujuan, sasaran, penyusunan strategi, pelaksanaan program, serta fokus kegiatan telah dilaksanakan hingga akhirnya berjaya mencapai hasil menakjubkan.
KEJAYAAN MENARIK MINAT PENAJA SYARIKAT MEGA MULTI NASIONAL DALAM DAN LUAR NEGARA
Rentetan dari usaha JDT tersebut, JDT dilihat menjadi ikon terbaik dalam menarik minat penaja. Banyak pasukan mula menjadikan JDT sebagai referensi. Ini berikut kejayaan baginda menyakinkan penajaan dalam jangka masa panjang daripada syarikat-syarikat mega multinasional dalam dan luar negara. Dengan kejayaan menarik minat syarikat-syarikat gergasi ini, nilai komersial jenama JDT kini telah berjaya dipertingkatkan.
Terbaharu, sekitar 21 Oktober 2020, menerusi sidang media, secara terbuka DYAM Tunku Mahkota Johor telah mendedahkan bahawa empat syarikat antarabangsa telah berminat bukan sahaja menaja pasukan tetapi menguruskan aktiviti komersial di Stadium Sultan Ibrahim. Sebelum ini, syarikat pembuat jam tangan mewah Swizerland Hublot, menjadi antara syarikat antarabangsa gergasi yang menaja JDT.
MELEBARKAN JARINGAN KERJASAMA DAN PERKONGSIAN IDEA KEPAKARAN ANTARABANGSA
Kerjasama kepakaran antarabangsa adalah penting untuk lonjakan prestasi kelab. Berikutan dengan itu, DYAM Tunku Mahkota Johor telah mengadakan kerjasama dengan beberapa organisasi bola sepak terkemuka dari seluruh dunia. Dengan keterampilan dan reputasi terkini yang dimiliki oleh JDT, ianya amat mudah untuk diaturkan.
Imbas kembali sekitar tahun 2015, JDT berjaya menjalinkan kerjasama bersama kelab gergasi Bundesliga Borussia Dortmund. Pada sekitar tahun 2016, DYAM Tunku Mahkota Johor telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Paris Saint Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, Josep Maria Bartomeu (Barcelona), Chan Lay Hoon (Valencia) dan Florentino Perez (Real Madrid). JDT juga telah memeterai satu memorandum persefahaman bersama kelab J1-League, Hokkaido Consadole Sapporo.
Ianya tidak berhenti disitu, pada tahun-tahun berikutnya, JDT telah berjaya mendapatkan sokongan dari beberapa kelab ternama dunia seperti kelab La Liga, Real Valladolid dan bekas juara Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester City.
MEMPUNYAI BARISAN PEMAIN YANG BERNILAI TINGGI DALAM PASARAN GLOBAL
Untuk mengambil kira potensi kejayaan sesebuah kelab, yang seterusnya dapat menjana pendapatan seharian, pendapatan komersial dan hak penyiaran, kelab yang dibarisi pemain-pemain bernilai sangat berpeluang besar untuk berjaya di lapangan. Nilai prestij dan eksklusif kelab juga akan melonjak berikutan nilai pasaran serta kelab diukur dari Formula Penilaian Pemain (transfermarket) yang telah diguna pakai.
JDT kini dikenali sebagai sebuah kelab yang memiliki pemain-pemain berharga setanding kelab-kelab elit di Asia Tenggara mahupun Asia. Dengan adanya aset pemain-pemain berpotensi dan bernilai ini juga, secara tidak langsung berjaya menarik minat kelab-kelab luar negara untuk memancing pemain-pemain tersebut. Elemen ini akan menjana pendapatan lantas mengukuhkan sumber kewangan kelab.
Imbas kembali, sekitar tahun 2017, JDT memperolehi keuntungan yang besar setelah berjaya menjual pemain import prolifik Juan Martin Lucero dengan nilai AS$2.5 juta seperti didedahkan oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards.
MEMILIKI ASET KEKAL DAN PROJEK REALITI MASA HADAPAN
Di samping pemilikan pemain, pemilikan stadium oleh sesebuah kelab adalah salah satu aset paling relevan pasukan bola sepak. Stadium milik kelab umumnya mewakili lebih banyak peluang untuk menjana pendapatan melalui kehadiran penyokong, hak penyiaran siaran langsung dan lain-lain yang berkaitan.
Stadium Sultan Ibrahim menjadi antara aset paling berharga yang kini dimiliki. Selain itu JDT juga mempunyai aset-aset kekal berharga seperti stadium mini, pusat latihan, pusat rehabilitasi dan ibu pejabat. Setakat ini sahaja aset yang dimiliki oleh JDT boleh mencapai (anggaran) lebih RM500 juta.
Nilai itu akan semakin bertambah berikutan pengumuman rasmi DYAM Tunku Mahkota Johor bahawa kelab itu akan membina pusat latihan baharu yang mempunyai padang bola sepak ‘indoor’ bersaiz penuh dan kemudahan fasiliti yang serba canggih untuk menempatkan semua pasukan dari skuad senior hingga Akademi JDT bersebelahan dengan Stadium Sultan Ibrahim.
Stadium mini untuk Akademi JDT dengan kapasiti dibawah 5,000 tempat duduk juga antara projek masa hadapan yang terbaharu telah dirancang.
MENAMPILKAN MEDIA SOSIAL KELAB BOLASEPAK TERBAIK DALAM MALAYSIA
Tidak dinafikan, terdapat korelasi yang kuat antara kejayaan di lapangan dan penglibatan media sosial yang dinyatakan antara lain seperti jumlah pengikut Facebook, Twitter, Instagram dan YouTube. Oleh itu, dalam formula tersebut pengikut media sosial sebuah pasukan dianggap sebagai petunjuk yang baik untuk populariti dan nilai komersial kelab.
Laman rasmi dan media sosial adalah platform utama mengeratkan ikatan antara kelab dengan penyokong. Laman rasmi JOHOR Southern Tigers (JST) adalah pencetus kesedaran pasukan di Liga Malaysia bahawa betapa pentingnya memperkasakan media sosial rasmi sesebuah pasukan atau kelab.
Mengikut trend terkini, JST selaku media sosial terbaik di dalam negara ini telah menjadi contoh kepada mana-mana pasukan atau kelab yang mahu membangunkan media sosial mereka. Grafik, rakaman video, pengenalan pemain malah penyampaian berita kini menjadi ikutan dan cetak biru media pasukan-pasukan dalam Malaysia.
Akhir penulisan, wawasan menjadikan JDT tampil sebagai sebuah kelab yang berpandangan jauh. Elemen paling penting ini sememangnya kuat ada di dalam diri DYAM Tunku Mahkota Johor. Baginda sentiasa memandang jauh serta melihat apa yang perlu dicapai dalam fasa-fasa mengikut tahun. Pencapaian yang diraih sejak tujuh tahun kewujudan telah berjaya dicapai dengan jayanya, dan kini JDT berdiri sebagai kelab yang mempunyai nilai yang tinggi.
Sumber artikel: Media JST
Hidup Johor Demi Johor