Kemenangan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) 0-1 ke atas PDRM FC pada perlawanan kesembilan (LS9) Liga Super Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor menjadi aksi penutup Harimau Selatan pada bulan Ramadan yang lalu.
Ironinya, dengan kemenangan yang dilakar, Harimau Selatan berjaya mengekalkan momentum mengutip mata maksima dalam 4 perlawanan Liga Super Malaysia 2023 termasuk mara ke peringkat suku akhir dalam persaingan Piala FA 2023 pada bulan Ramadan.
Barisan kejurulatihan JDT juga dilihat berjaya mencari solusi efektif mengatasi kelemahan serta mengoptimakan tahap kecergasan fizikal dan mental setiap pemain ketika menempuh perlawanan-perlawanan yang telah berlangsung ketika bulan tersebut.
Selain daripada prestasi spektakular Harimau Selatan, berikut adalah beberapa perkara lagi yang menarik perhatian sepanjang bulan Ramadan;
KONSISTENSI HARIMAU SELATAN SEIRING KONSISTENSI SOKONGAN PENYOKONG
Penyokong yang setia. Ianya adalah salah satu aset terhebat milik JDT. Nilai estetika kelab ini menjadi lebih istimewa apabila mempunyai kelompok penyokong yang menyokong tanpa prejudis serta memiliki perspektif berbeza berbanding penyokong pasukan lain di Malaysia. Dalam keluarga besar ini, partisipasi penyokong bukan sekadar fenomena yang menakjubkan. Ianya juga berkaitan kemampanan dan pemangkin kejayaan Harimau Selatan.
Sepanjang musim baharu 2023, sokongan padu keseluruhan penyokong Harimau Selatan telah diterjemahkan dengan jumlah kehadiran yang begitu memberangsangkan mengikut statistikal 4 perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim sebelum ini.
Imbas kembali, sejumlah 31,889 kehadiran penyokong telah direkod ketika berlangsungnya perlawanan Piala Sumbangsih 2023 antara JDT menentang Terengganu FC pada hari Jumaat, 24 Februari 2023 dan merupakan kehadiran tertinggi Liga Super Malaysia 2023 buat masa ini.
Paling menarik perhatian, ketika JDT melayan kunjungan Kelantan FC pada perlawanan keempat Liga Super Malaysia (LS4) Sabtu, 11 Mac 2023, Stadium Sultan Ibrahim mencatat kehadiran yang menakjubkan apabila seramai 24,404 penyokong Harimau Selatan telah hadir walaupun waktu sepak mula berlangsung di sebelah petang.
Rentetan saingan liga yang tetap berjalan di bulan Ramadan, perlawanan diadakan sedikit lewat dari kebiasaan iaitu sekitar pukul 10.00 malam. Namun ianya bukan menjadi masalah besar buat penyokong Harimau selatan apabila Stadium Sultan Ibrahim masih mencatat kehadiran yang tinggi. Untuk rekod, seramai 19,836 orang penyokong telah hadir ketika aksi keenam Liga Super Malaysia 2023 (LS6) 31 Mac 2023 menentang Sabah FC dan 13,722 orang penyokong telah hadir ketika aksi kelapan Liga Super Malaysia 2023 (LS8) 4 April 2023 menentang Kedah FC.
GANDINGAN JDT DAN YAYASAN JDT MELALUI KEMPEN ‘JDT RAMADAN SPECIAL’
Sejak dari awal kewujudan lagi, JDT amat prihatin mengenai hak setiap kanak-kanak untuk membesar dengan sihat dan gembira, menjalani kehidupan dalam persekitaran selamat juga kondusif, menerima perlindungan perkembangan emosi, nutrisi serta masa depan mereka secara optimum.
Oleh kerana itu, walau dikekang jadual padat, JDT tetap meluangkan waktu berkolaborasi bersama Yayasan JDT untuk berganding bahu dan terlibat secara langsung dalam kerja kebajikan ketika bulan Ramadan melalui Kempen #JDTRamadanSpecial.
Kempen #JDTRamadanSpecial menjadi metaforikal bagi program tanggungjawab korporat (CSR) dengan memberi fokus kepada menyalurkan sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik dan juga memberi sokongan serta komitmen berterusan untuk merealisasikan impian kanak-kanak dan remaja.
Bermula pada tarikh 29 Mac 2023, JDT yang diwakili Oscar Arribas, Safiq Rahim, Sumareh dan Haziq Nadzli bersama Yayasan JDT telah menyampaikan sumbangan serta infaq kepada Rumah Kebajikan Ar-Rayyan, Johor Bahru. Selain itu, program tersebut juga diisi dengan sessi ramah mesra dan aktiviti riadah bersama pemain JDT.
Sekitar 7 April 2023, JDT yang diwakili Aidil Zafuan, Bergson da Silva dan Daniel Amier bersama Yayasan JDT telah menyampaikan sumbangan
keperluan hari raya kepada keluarga mangsa korban Covid iaitu Puan Syarimah di Pendas, Gelang Patah. Puan Syarimah bersama dua anaknya juga dibawa membeli belah pakaian hari raya bersama pemain-pemain JDT.
Sekitar 11 April 2023, JDT yang diwakili Nathaniel Shio Hong Wan, S. Kunalan dan Syafiq Ahmad bersama-sama Yayasan JDT telah berkunjung ke Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Kuo Kuang, Skudai. Berselang beberapa hari selepas itu, pada 17 April 2023, JDT yang diwakil K. Daryl Sham, S. Kunalan dan Ahmad Hazwan Bakri diiringi wakil Yayasan JDT telah berkunjung ke Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Rini, Mutiara Rini.
Selain beramah mesra dan menyampaikan hadiah, para pemain JDT turut disambut dalam suasana meriah oleh para pelajar sekolah-sekolah berkenaan.
Akhir kata, aspek intrinsik iaitu pada empati, sikap, nilai dan motivasi menjadikan JDT sentiasa mempunyai aspirasi untuk melakar lebih banyak sejarah baharu, kekal unggul dan berkarakteristik hebat walaupun berdepan apa sahaja cabaran.
Luaskan Kuasamu Johor!