Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat kekal fokus dan berada pada landasan yang sebenar dalam iltizam merealisasikan tanda aras yang telah disasarkan oleh organisasi.

    Situasi terkini, JDT telah berjaya mencatat kemenangan ke-18 berturut-turut, mengumpulkan 54 mata, 69 jaringan, 3 bolos lantas menjadikan ianya sebagai satu pencapaian luar biasa sejak 2013.

    PANCAWARNA JULAI 2023, KONSISTENSI HARIMAU SELATAN

    Julai 2023 menyaksikan kesinambungan catatan gemilang Harimau Selatan. Bermula perlawanan ke-15 (LS15) Liga Super Malaysia 2023 bertemu Kuala Lumpur City pada 3 Julai 2023, JDT berjaya meneruskan siri jaringan besar yang terhasil di Stadium Sultan Ibrahim dengan menewaskan pasukan pelawat 6-1.

    8 Julai 2023, bertempat di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. JDT yang beraksi pada perlawanan ke-16 (LS16) Liga Super Malaysia 2023 sekali lagi mengutip mata penuh dengan kemenangan 2-0 keatas Negeri Sembilan FC.

    Sekitar 14 Julai 2023, Harimau Selatan berpesta gol pada perlawanan ke-17 (LS17) Liga Super Malaysia 2023 ketika menewaskan tuan rumah Kelantan FC 0-5 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru.

    Sabtu, 22 Julai 2023. JDT telah merangkul kejuaraan Piala FA 2023 setelah meranapkan harapan Kuala Lumpur City 2-0. Paling istimewa, Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim menjadi saksi supremasi Harimau Selatan dinobatkan sebagai juara Piala FA buat kali ketiga.

    Kemenangan 2-0 JDT keatas Selangor FC pada perlawanan ke-18 (LS18) Liga Super Malaysia 2023 di stadium sofistikated, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri menjadi aksi penutup yang sempurna buat Harimau Selatan pada bulan Jun 2023. Kemenangan itu juga memperkukuhkan dominasi JDT di singgahsana Liga Super Malaysia 2023 dengan berkelebihan 14 mata berbanding pasukan pesaing yang menduduki tangga kedua liga.

    MEMASUKI OGOS 2023, KONTINUITI MISI BAHARU HARIMAU SELATAN

    Selepas menjulang trofi Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim pada 22 Julai 2023, kontinuiti misi baharu JDT di Kejohanan Piala Malaysia 2023 kini pula menanti.

    Untuk makluman, Piala Malaysia 2023 merupakan edisi ke-97 serta tahun ke-102 penubuhannya sejak 1921. Rentetan mengalami revolusi format persaingan yang begitu radikal pada musim 2022, tiada lagi perlawanan peringkat kumpulan seperti kelaziman tradisi kejohanan tertua di rantau Asia itu dianjurkan.

    Pada musim 2023 ini pula satu lagi kelainan dalam penganjuran kompetisi ini. Persaingan Piala Malaysia bukan lagi menjadi kejohanan penutup tirai musim tahunan bola sepak negara apabila telah dijadualkan bermula sebelum tamatnya kempen Liga Super Malaysia 2023.

    Imbas kembali, hasil undian Piala Malaysia yang telah diadakan pada pada Khamis, 15 Jun 2023, JDT bakal memulakan cabaran di peringkat kalah mati ‘Round of 16’ secara timbal balik bertemu Kelantan FC pada Jumaat, 4 Ogos 2023 di gelanggang lawan dan 19 Ogos 2023 di Stadium Sultan Ibrahim.

    Menyelongkar semula nostalgia, JDT dinobatkan sebagai juara kejohanan tersebut buat pertama kalinya pada tanggal 4 November 2017. Lebih 40,000 penyokong setia Harimau Selatan menjadi saksi kejayaan JDT menjulang Piala Malaysia 2017 dengan menundukkan Kedah FA 2-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

    Musim demi musim berlalu, sehingga kini, JDT telah berjaya menjulang sebanyak tiga kali trofi Piala Malaysia iaitu pada musim 2017, 2019 dan 2022.

    Akhir kata, raikan kemenangan, dakaplah kejayaan, berbangga dan julanglah ia semahunya, tetapi jangan terlalu berpuas hati dengannya.

    Luaskan Kuasamu Johor!