“Kami Jatuh, Kami Berkecai, Kami Gagal. Tetapi kemudian Kami Bangkit, Kami Sembuh, Kami Mengatasi dan Kami Mencipta Sejarah berulang-ulang kali. Jangan Sesekali Putus Asa dan Sentiasa Bersemangat. Tiada apa Yang Mustahil dalam Hidup dan Kejayaan tiada batasnya”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Perjalanan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) amat istimewa. Dari awal kewujudan hingga bergelar tujuh kali juara. Rasionalnya dengan hanya menyebut nama JDT, ramai yang paranoia. Dengar sahaja nama ini, ada yang serta merta lemah hypothermia.
Itu adalah realiti. Realiti yang tidak akan mungkin terbalik dalam rotasi. Lebih tujuh tahun tidak berubah keadaan dan situasi. Tidak pernah diam walaupun sesaat untuk merevisi. Namun, Harimau Selatan tetap gah bertakhta mendominasi. Tidak pernah berhenti, sentiasa menujah laju lancar bertukar setiap transmisi.
“Dekorasi seorang genius”
Dibentangkan dalam susur perjalanan satu-persatu matlamat. Dengan tulang empat kerat, DYAM Tunku Mahkota Johor kerah sepenuh kudrat. Resusitasi sebuah organisasi yang dulunya uzur dan tenat, lalu terbina empayar terunggul sepanjang abad.
Memperbaiki sesuatu yang telah hampir hancur adalah satu tugas yang amat sukar. Apatah lagi bola sepak Johor telah tidur selama lebih dua puluh tahun akibat dikendalikan oleh individu-individu yang berambisi bangkar.
Paling menyedihkan, apabila DYAM Tunku Mahkota Johor mengetahui bahawa pasukan representasi negeri Johor ketika itu adalah antara pasukan yang dibelenggu dengan barah birokrasi dan korupsi. Meniti era kejatuhan yang memalukan sehingga kebanyakan penyokong beranggapan bola sepak negeri Johor sudah dibunuh, lalu dikebumi tanpa autopsi.
Namun negeri Johor amat bertuah mempunyai seorang adiwira yang berjaya memulihkan reputasi. Bila DYAM Tunku Mahkota Johor hadir sebagai seorang pejuang ikhlas yang mempunyai variasi dalam agenda perpaduan juga inovasi. Sifat kepimpinan dan wawasan jauh pula telah jadi kombinasi. Faktor indikator kelab ini mencapai kejayaan sejak sejarah eksistensi.
Inkarserasi dalam kubus ruang masa. Berkoyan-koyan rasa gembira dapat dirasa. Setiap tahun tidak lekang dengan kejayaan. Mimpi Bangsa Johor benar-benar menjadi kenyataan. Umpama riba ditimpa sang rembulan. Kurnia dari baginda dengan syukur kita simpan rapi dalam kenangan.
Berdirinya Harimau Selatan kini bukan sahaja sebagai sebuah kelab bola sepak dalam identiti yang termutasi, tetapi membawa kepentingan menaikkan nama Bangsa Johor supaya tidak dipandang rendah jadi aspirasi.
“Saya tidak dilahirkan dan dididik untuk bercakap kosong. Jika saya bercakap mengenai sesuatu perkara, saya akan laksanakan. Kalau saya berjanji, saya akan berusaha merealisasikan janji itu. Insya’Allah”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor”
Sehangat piroklastik matlamat mengalir”
Manifestasi matlamat. Matlamat DYAM Tunku Mahkota Johor tidak pernah salah alamat. Atas predikat coretan ini telah terikat. Sesungguhnya matlamat telah menjadi azimat keramat. Kerana matlamat, Harimau Selatan menjadi gah, unggul, terampil dan hebat.
Paling membanggakan, prediksi sesetengah pihak bahawa kewujudan Harimau Selatan dianggap hanya seketika dapat mampu bertahan telah dipatahkan. Kata-kata hinaan dan cacian berjaya dicampak jauh di tapak pelupusan, hingga satu saat mereka diam tidak mampu lagi membuat ulasan. Bila melihat empayar selatan terbina penuh kemasyhuran.
Bila musim berganti. Niat mereka tidak pernah mati. Bersungguh mahu melihat taring Harimau kelak akan hilang. Namun akhirnya mereka pula yang menjadi hidangan dalam kandang. Hati mereka remuk, jiwa yang hitam telah merebuk.
Konsekuensinya kini JDT sentiasa menjadi perintis dan pencetus dalam memecah konseptual konservatisme landskap bola sepak Malaysia. Dalam diam, setiap langkah yang dibuat oleh JDT akan menjadi perhatian serta dicemburui sentiasa.
“Saya tidak tahu bermain apa-apa alat muzik, tetapi apa sahaja bunyi yang saya alunkan, mereka tetap menari. Pada penghujungnya, setiap wira memerlukan penjahat”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
“Implementasi aspirasi musim baharu”
Tidak berapa lama lagi, musim baharu Liga Malaysia akan membuka tirai persaingan. Lalu panji perjuangan sudah bersedia untuk dikibarkan. Bila kira detik hati pula rasa berdebar. Palpitasi laju akibat menular perasaan tidak sabar. Manakala satu Malaya kini sudah mula bangkit dari kasur. Umpama terkena bedilan Lela Rentaka mereka terkejut dari dengkur.
Penampilan Harimau Selatan pastinya menjadi naratif imej tumpu. Antigen pengubat rindu penyokong setia yang semakin tepu. Tidak kurang juga banyak mata liar yang tidak letih menunggu.
Mencari isu terbaharu menjadi modal datang mengganggu.Ketika ini, DYAM Tunku Mahkota Johor telah mempersiapkan Harimau Selatan supaya lebih mantap pada musim dua ribu dua puluh satu yang bakal menjelang. Indikator bahawa baginda serius untuk menghadapi musim panjang dengan cemerlang. Akan ada beberapa kesateria baharu menjadi taruhan skuad Harimau Selatan memperkuatkan strategi dan formasi. Sebagai transisi menambah swadaya optimum buat Harimau Selatan supaya terus konsisten dalam beraksi.
Akhir kalam, JDT tetap agresif dalam meneruskan rentak kejuaraan pada musim baharu kelak. Sentiasa memastikan, langkah tidak tersasar dalam mengatur kejayaan mutlak. Malah tidak sesekali gentar dengan apa sahaja reputasi kelab yang dicanang sebagai gergasi. Siap sedia bertempur tanpa sekelumit rasa sangsi!
“Covid-19 telah memberi kesan kepada banyak perkara tetapi terdapat banyak juga perkara positif untuk Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tahun ini. Kami dapat merasmikan stadium baharu yang serba canggih, mengumumkan perancangan hebat untuk terus kehadapan dan yang terakhir sekali, kami memenangi semua trofi yang dipertandingkan tahun ini — Piala Sumbangsih dan Liga Super Malaysia. Mari kita ambil sudut positif ini ke tahun 2021 dan berusaha untuk mendapatkan hasil yang lebih positif lagi untuk JDT”- DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor
Merah itu darahmu, biru itu nyawamu.Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air,Elok kata dalam muafakat, buruk kata luar muafakat.
Sumber artikel: Media JST