Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengutip 3 mata penuh pada aksi kedua (LS2) Liga Super Malaysia 2024-25 dengan menewaskan Negeri Sembilan FC 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. Dengan keputusan yang diraih, JDT kini mengungguli liga dengan mengumpul 6 mata, 6 jaringan dan 1 bolos.

    Selain itu, berikut merupakan beberapa perkara-perkara menarik sepanjang perlawanan tersebut berlangsung;

    BERGSON MELEDAK GOL KE 116 DAN KONTINUITI LEGASI NOMBOR TUJUH

    18 Mei 2024 ketika perlawanan (LS2) Liga Super Malaysia 2024-25, Bergson da Silva tampil sebagai pemain paling menyerlah buat Harimau Selatan. Ketajaman penyudah beliau diterjemahkan dengan menghasilkan 2 jaringan berganda yang dijaringkan pada minit 12’ dan 17’.

    Dengan 2 jaringan yang dihasilkan, penjaring terbanyak sepanjang zaman JDT ini telah mengumpulkan 116 gol sejak menyarung jersi Harimau Selatan pada 2 Mac 2021. Menyelongkar nostalgia, pemain prolifik berusia 33 tahun itu pada mulanya hadir sebagai pemain pinjaman sebelum ditandatangani secara tetap pada 20 Mei 2021. Beliau telah menjaringkan debut gol untuk JDT pada 13 Mac 2021 ketika menewaskan UiTM FC 0-4 di Stadium UiTM, Shah Alam.

    Perlawanan (LS2) Liga Super Malaysia 2024 juga menjadi saksi detik bermulanya era baharu legasi nombor 7 JDT setelah selama sedekad jersi bernombor itu disarung oleh pemain lagenda Aidil Zafuan Abd Radzak. Kini nombor 7 akan menjadi label kod rasmi kepada pemain luar negara baharu JDT yang berasal dari Rosario, Argentina iaitu Jalil Juan José Elías. Pada perlawanan tersebut, pemain yang beraksi di posisi tengah bertahan tersebut telah melakukan debut pertama mempersonakan sebelum digantikan dengan Nathaniel Shio Hong Wan pada minit 68’.

    RUANG INKLUSIF STADIUM SULTAN IBRAHIM. KEMENANGAN, KEMERIAHAN DAN KESELAMATAN YANG BERBALOI

    Kemenangan keatas Negeri Sembilan FC menyaksikan JDT kini melalui 62 perlawanan tanpa tewas dalam keseluruhan perlawanan Liga Super Malaysia sejak 30 April 2021. JDT turut meneruskan rekod cemerlang maraton 22 kemenangan berturut-turut di gelanggang sendiri sejak 24 Jun 2022 dalam kejohanan Liga Super Malaysia termasuk 31 perlawanan tanpa tewas digelanggang sendiri dalam keseluruhan perlawanan Liga Super Malaysia sejak 25 Julai 2021.

    Paling menarik perhatian, walaupun waktu sepak mula berlangsung di sebelah petang, Stadium Sultan Ibrahim kekal mencatat kehadiran yang memberangsangkan. Kunjungan penyokong juga dimeriahkan dengan beberapa premis baharu di perkarangan stadium seperti 𝗜𝗞𝗘𝗔 𝗛𝗢𝗠𝗘 𝗙𝗔𝗜𝗥 (𝟭𝟴-𝟯𝟭 𝗠𝗲𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟰) yang pertama seumpamanya dianjurkan di sebuah stadium bola sepak, Kedai cenderahati rasmi JDT Direct Megastore yang dibuka secara rasmi pada 8 Mac 2024 serta premis makanan dan minuman ringan JDT Eng’s Pop Corn yang menawarkan berbagai variasi perisa bertih jagung.

    Dalam menjamin keselamatan deligasi kedua-dua pasukan termasuk tetamu kehormat serta keseluruhan penyokong, 165 Marshall stadium dan 1076 anggota merangkumi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah dikerahkan bertugas sepanjang waktu perlawanan berlangsung.

    Tidak stagnasi disitu, seramai 25 anggota Unit Khas (Elite) TSNJ Askar Timbalan Setia Negeri Johor (JMF) di bawah pimpinan Pegawai Pemerintah yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor turut dititahkan berkawal bagi memastikan keselamatan berada pada tahap tertinggi.

    Untuk maklumat tambahan, Unit Khas (Elite) TSNJ ditubuhkan pada 7 Julai 2008 di bawah pimpinan DYAM Pemangku Sultan Johor dimana ketika itu baginda masih bergelar DYAM Raja Muda Johor serta menyandang jawatan Pegawai Turus 2 Operasi dan Latihan. Unit khas dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor ini mempunyai kemahiran dan kepakaran istimewa bertempur serta terlatih khusus untuk melindungi keluarga Diraja Johor dalam apa jua situasi.

    Akhir kata, untuk perlawanan seterusnya, JDT akan meneruskan perlawanan ketiga (LS3) Liga Super Malaysia 2024-25 menentang Kuala Lumpur City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada hari Sabtu, 25 Mei 2024, 5.30 petang.

    Ayuh Merah Biruku! Teruskan perjuangan ini!