Konseptualisasi falsafah Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah sentiasa menanamkan keinginan tinggi untuk mencapai prestasi maksimum, menetapkan matlamat yang jelas serta tampil dengan semangat baharu pada setiap musim.
    Interpretasi yang tidak boleh disangkal. Ianya telah diterjemahkan secara eksplisit ketika perlawanan Piala Sumbangsih 2022 di Stadium ikonik kebanggaan, Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
    Imbas kembali, perlawanan Piala Sumbangsih musim 2022 telah berlangsung pada hari Sabtu, 26 Februari 2022. Misi pertama Harimau Selatan musim ini iaitu mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih berjaya dilaksanakan dengan penuh bergaya. Kejayaan menamatkan cabaran Kuala Lumpur City 3-0 membawa kepada jaringan terbesar pernah dihasilkan oleh JDT sepanjang 7 kali menjulang Piala Sumbangsih.
    Pada tarikh tersebut juga, satu sejarah baharu telah terlakar dihadapan lebih 15,000 penyokong Harimau Selatan apabila JDT tampil sebagai kelab paling lama mempertahankan Piala Sumbangsih setelah berjaya memonopoli kejuaraan selama lima tahun berturut-turut. Untuk rekod, JDT telah merangkul kejuaraan ini sejak tahun 2018 sehingga kini.
    Selain dari itu, berikut merupakan beberapa perkara-perkara menarik berlaku sepanjang hari perlawanan;
    PENYAMPAIAN TROFI ABK SEBELUM PERLAWANAN PIALA SUMBANGSIH 2022
    Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) merupakan anugerah bola sepak tahunan berprestij yang dianjurkan oleh badan penganjur Malaysian Football League (MFL). Pada tarikh yang sama, iaitu sebelum bermulanya secara rasmi perlawanan Piala Sumbangsih 2022, Malaysian Football League (MFL) telah menyampaikan trofi Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK2021).
    Antara yang menerima anugerah itu adalah pemain bintang muda Harimau Selatan Arif Aiman Mohd Hanapi.
    Pada anugerah kali ini, beliau telah mencatat sejarah menjadi pemain paling muda menerima anugerah utama, Pemain Paling Bernilai (MVP) sepanjang penganjuran Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) yang bermula sekitar musim 2005/2006. Tidak stagnasi disitu, Arif Aiman juga merangkul dua lagi trofi iaitu Anugerah Penyerang terbaik dan Anugerah Pemain Muda Terbaik.
    Pemain luar negara JDT yang berasal dari Alegrete, Brazil Bergson Gustavo Silveira da Silva pula diangkat sebagai penerima anugerah Kasut Emas. Pemain prolifik berusia 30 tahun itu pada mulanya hadir sebagai pemain pinjaman sebelum ditandatangani secara tetap pada 20 Mei 2021. Untuk rekod, beliau telah menjaringkan 30 gol sepanjang 32 penampilan bersama JDT pada musim 2021.
    JDT terus unggul gah dipersada bola sepak negara apabila mempertahankan anugerah pasukan terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK2021). Ini merupakan pengiktirafan kali keempat berturut-turut dan kali kelima selepas menungguli pada tahun 2014, 2016, 2018, 2019 dan 2021.
    Selain itu, beberapa lagi pemain JDT turut menerima Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2021 (ABK2021) iaitu Fernando Rodriguez (Penjaring Terbanyak Liga Premier 2021), Farizal Marlias (Penjaga Gol Terbaik) dan Matthew Davies (Pertahanan Terbaik).
    KERINDUAN PENYOKONG TERUBAT, NAZMI FAIZ MENJARINGKAN GOL PERTAMA MUSIM 2022 DAN DEBUT JARINGAN FERNANDO FORESTIERI
    Kerinduan yang terubat. Itu rasional emosional yang boleh didefinisikan kepada keseluruhan penyokong setia JDT. Pada perlawanan Piala Sumbangsih 2022, Stadium Sultan Ibrahim kembali digegarkan dengan sorakan penyokong. Laungan ‘Luaskan Kuasamu Johor’ telah memecah keheningan malam sunyi Iskandar Puteri. Tona merah biru telah mengisi ruang-ruang tempat duduk penyokong yang sudah lama kosong. Walaupun kehadiran yang dibenarkan tertakluk dalam kuota yang ditetapkan, suasana tetap meriah dan cukup memberi kegusaran pada pihak lawan yang bertandang.
    Ketika itu, seperti meraikan kehadiran penyokong setia, Nazmi Faiz Mansor muncul sebagai penjaring pertama JDT musim ini pada minit ke-26.
    Debut mempersonakan pemain luar negara baharu JDT, Fernando Forestieri telah menghasilkan gol kedua yang begitu spektakular pada minit ke-31.
    Pada minit ke-84, Afiq Fazail menambah gol ketiga lantas memuktamadkan kemenangan mutlak buat Harimau Selatan.
    ORGANISASI JDT DAN KUALA LUMPUR CITY BERBESAR HATI MENYUMBANGKAN HASIL KUTIPAN TIKET PIALA SUMBANGSIH KEPADA UNICEF
    Bukan sekadar sebuah kelab bola sepak. Prinsip itu menjadi akar tunjang dalam organisasi JDT.
    Menjengah tahun kedua kolaborasi JDT dan UNICEF, titik persamaan gagasan ini semakin menyerlah dalam memperjuangkan sentimen #ForEveryChild iaitu memperjuangkan hak kanak-kanak untuk membesar dengan sihat dan gembira, menjalani kehidupan dalam persekitaran selamat juga kondusif, melindungi perkembangan emosi, menerima pendidikan yang berkualiti serta perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi.
    Sesungguhnya JDT bukan sahaja mengubah atmosfera bola sepak Malaysia tetapi juga representasi sebuah organisasi yang sentiasa mendokong nilai kemanusiaan, etika dan memiliki kesedaran sivik menakjubkan dalam membantu kemelut sosial kanak-kanak dalam menyusuri arus modenisasi.
    Setelah tamatnya perlawanan Piala Sumbangsih 2022, satu majlis penyerahan replika cek kepada wakil UNICEF telah diadakan rentetan organisasi JDT memutuskan untuk menderma kesemua hasil kutipan tiket kepada pertubuhan kemanusiaan dan pembangunan kanak-kanak itu. Paling menarik, Kuala Lumpur City FC juga bersetuju untuk bersama-sama melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut.
    Akhir penulisan, aspek intrinsik iaitu pada sikap, nilai dan motivasi menjadikan organisasi JDT sentiasa mempunyai aspirasi untuk mencatat lebih banyak sejarah baharu, kekal unggul berdiri bersama mentaliti kemenangan yang sukar dicalar, serta tampil berkarakteristik hebat setiap kali menjelang musim baharu.